TEKS UCAPAN Y.A.B. DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN, KETUA MENTERI SABAH, SEMPENA MAJLIS PERASMIAN BANGUNAN WISMA TANAH DAN UKUR, PADA 29 DISEMBER 2010

DI DEWAN WISMA TANAH DAN UKUR, KOTA KINABALU

 

 

Terlebih dahulu marilah kita melafazkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya, kita dapat bersama-sama di Majlis Perasmian Wisma Tanah dan Ukur. Saya merakamkan penghargaan dan terima kasih serta tahniah kepada Pengarah dan semua warga Jabatan Tanah dan Ukur sempena majlis yang penuh bermakna ini.

 

Sesungguhnya kejayaan pembinaan Wisma Tanah dan Ukur yang tersergam indah ini jelas membuktikan komitmen tinggi Kerajaan Negeri untuk meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan khususnya Jabatan Tanah dan Ukur kepada rakyat; meningkatkan kutipan hasil tanah sebagai sumber hasil Kerajaan Negeri; dan, menyediakan ruang bekerja yang kondusif  kepada kakitangan Jabatan Tanah dan Ukur  supaya dapat memberikan  perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan.

 

Dalam konteks ini, saya amat berpuas hati dan bangga kerana sejak beroperasi pada bulan Julai 2007 di bangunan ini, banyak usaha penambahbaikan telah dilaksanakan untuk meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan terutama di bahagian ‘core business’ atau tugas-tugas utama. Buktinya Jabatan Tanah dan Ukur telah berjaya mengutip hasil tanah tahunan yang tertinggi pernah dicapai oleh jabatan ini, pada bulan November 2010. Syabas dan tahniah saya ucapkan.

 

Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif baru dalam pemberimilikan tanah bagi menjaga kepentingan Anak Negeri Sabah dan memastikan bahawa hak milik tanah anak negeri (Native Titles) tidak sewenang-wenangnya dijual atau dipajakkan. Oleh itu, Kerajaan Negeri telah mengeluarkan geran-geran komunal kepada penduduk kampung dengan melibatkan  Anak Negeri ‘in-situ’ sebagai ‘beneficiary’ dalam geran berkenaan.

 

Geran-geran komunal ini dibangunkan oleh agensi Kerajaan Negeri atau pihak swasta tanpa dicagarkan bagi tujuan pembangunan perladangan secara komersial. ’Beneficiary’ bagi geran berkenaan akan menjadi pemegang saham kepada syarikat usaha sama perladangan tersebut dan dalam masa yang sama menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk kampung.

 

Dalam pada itu, saya juga menyambut baik beberapa inisiatif dan penambahbaikan yang sentiasa dilaksanakan oleh pengurusan Jabatan Tanah dan Ukur. Antaranya memendekkan jangka masa memproses pengukuran tanah sehinggalah pengeluaran geran tanah dan kaedah baru memproses permohonan tanah TOL untuk pengambilan pasir dan batu. Begitu juga dengan usaha memendekkan tempoh pemprosesan pendaftaran urus niaga tanah menggunakan sistem Land Dealings Electronic Submission System (LADESS).  Saya berharap tempoh ini boleh disingkatkan lagi seperti mana yang dilaksanakan oleh beberapa negeri di Semenenjung dan juga di negara Singapura. Usaha ini amat signifikan kerana ia merupakan agenda negara dan kejayaan kita dalam melaksanakan penambahbaikan ini akan menyumbang kepada usaha kerajaan untuk meningkatkan lagi indeks daya saing negara di peringkat global. Hakikatnya, semua penambahbaikan tersebut telah meningkatkan kualiti perkhidmatan Jabatan Tanah dan Ukur dan seterusnya memudahkan rakyat serta lebih bersifat mesra pelabur.

 

Selain itu, pengurangan kadar premium tambahan sebanyak 80 peratus daripada kadar premium sebelumnya untuk pelanjutan tempoh pajakan tanah bagi rumah kediaman, membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri untuk membela nasib rakyat dengan memastikan rumah-rumah yang diduduki kekal menjadi milik mereka, sebaik sahaja tempoh pajakan tanah hampir tamat. Manakala kadar premium tambahan untuk menukar syarat tanah pertanian kepada pembangunan perumahan, komersial atau industri telah juga dikurangkan sejak bulan April 2008 bagi memastikan pasaran hartanah kekal pada paras yang mampu dimiliki oleh sebahagian besar rakyat di negeri ini.

 

Melalui Program Transformasi Kerajaan (GTP) pula, di bawah Makmal/Lab Bumiputera Sabah & Sarawak, kerajaan komited untuk memastikan Tanah-tanah Hak Milik Ikut Adat (Native Customary Right Land)  akan dapat dikeluarkan geran individu atau pun geran komunal. Di samping itu, melalui Sabah Land Information System (SALIS), Kerajaan Negeri akan membangunkan bank data tanah terbiar (Idle Native Land Bank) yang merangkumi keluasan lebih kurang 140,000 hektar bagi memudahkan agensi-agensi pelaksana seperti SLDB dan LIGS merancang pembangunan tanah terbiar secara komersial melalui usaha sama dengan pemilik tanah yang berkenaan.

 

Dengan mengusahakan tanah terbiar yang berskala besar secara komersial dan pintar, ia boleh memberi impak positif kepada peningkatan sosioekonomi rakyat dan sumber pertumbuhan ekonomi negeri. Oleh itu, usaha Jabatan Tanah dan Ukur untuk menubuhkan Unit Tanah Anak Negeri adalah amat sesuai untuk memastikan kejayaan GTP di bawah Makmal/Lab Bumiputera Sabah.

 

Bagi menjamin usaha-usaha penambahbaikan dalam meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan dapat memberi manfaat yang besar kepada rakyat dan peningkatan hasil kepada Kerajaan Negeri secara mapan, saya menyeru agar Jabatan Tanah dan Ukur terus meningkatkan tindakan penguatkuasaan undang-undang terhadap pencerobohan tanah-tanah kerajaan, pengambilan batu dan pasir secara haram dan pengorekan tanah tanpa permit untuk mengelak kehilangan hasil dan pencemaran alam sekitar yang merupakan aset kepada industri pelancongan di negeri ini.

 

Sebelum mengakhiri ucapan, sekali lagi saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada pengurusan Jabatan Tanah dan Ukur kerana telah berjaya melaksanakan penambahbaikan untuk meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan dalam pengurusan dan pentadbirannya. Saya yakin sekiranya amalan baik seperti ini terus dibudayakan dan ditingkatkan diiringi komitmen dan semangat berpasukan yang tinggi,  matlamat Jabatan Tanah dan Ukur untuk menjadi jabatan yang lebih berdaya saing menjelang tahun 2013 akan menjadi kenyataan. Semoga warga Jabatan Tanah dan Ukur akan lebih efisien dan cemerlang dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada negeri dan rakyat pada keseluruhannya.

 

Sekian, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.