TEKS UCAPAN Y.A.B. DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN, KETUA MENTERI SABAH, DI MAJLIS PELANCARAN KEMPEN MENANAM SEJUTA POKOK ANJURAN JABATAN PELAJARAN NEGERI SABAH, DI PUSAT KO-KURIKULUM NEGERI, KEM MALANGANG KIULU TUARAN, PADA 10 NOVEMBER 2010

 

Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin-Nya, kita dapat sama-sama berkumpul pada pagi ini sempena Majlis Pelancaran Kempen Menanam Sejuta Pokok anjuran Jabatan Pelajaran Negeri Sabah.  Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua yang hadir bagi menjayakan kempen murni ini.  Saya yakin, kehadiran kita pada pagi ini menunjukkan keprihatinan serta komitmen padu kita untuk sama-sama menyemarakkan lagi semangat menyayangi, melindungi, memelihara dan memulihara alam sekitar yang merupakan khazanah berharga negara dan juga dunia.

 

Kita sedia maklum bahawa hutan merupakan sumber asli dunia yang penting sejak zaman-berzaman lagi. Sesungguhnya hutan adalah sumber asli yang banyak menyumbang kepada kesejahteraan rakyat. Di Malaysia, hutan tropika di negara ini telah diurus dengan baik untuk menyumbang secara berterusan dalam penghasilan pelbagai produk dan perkhidmatan bagi tujuan pembangunan sosioekonomi negara.

 

Kesedaran bagi menjaga dan memelihara khazanah hutan serta alam sekitar ini turut diterjemahkan di peringkat dunia menerusi sambutan Hari Perhutanan Sedunia dan Hari Alam Sekitar Sedunia yang disambut pada setiap tahun. Apa yang kita harapkan ialah agar kedua-dua hari penting ini akan terus disambut secara besar-besaran supaya semangat sayangkan hutan dan alam sekitar dapat dipupuk dan disemai secara berterusan dalam kalangan masyarakat terutamanya generasi muda dari peringkat sekolah lagi.  Pelbagai program dan aktiviti yang berkaitan dengan usaha menyayangi, melindungi, memelihara dan memulihara hutan dan alam sekitar hendaklah terus diperhebatkan.  Aktiviti menanam pokok-pokok hutan hendaklah dijadikan sebagai aktiviti utama pada setiap tahun dalam usaha kita memelihara dan memulihara alam sekitar ini.

 

Dalam hubungan ini, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Jabatan Pelajaran Negeri Sabah kerana telah berjaya menganjurkan Kempen Menanam Sejuta Pokok dalam kalangan warga pendidikan di negeri ini.  Baru-baru ini, saya juga telah melancarkan satu program yang sama di Sandakan yang dianjurkan oleh salah sebuah bank terkemuka di negara ini. Sesungguhnya saya berasa amat gembira melihat komitmen dan kesungguhan banyak pihak dalam sektor awam dan korporat untuk sama-sama menjayakan program ini di Negeri Sabah. Usaha bijak lagi murni ini seharusnya dicontohi oleh organisasi yang lain agar usaha memelihara dan memulihara alam sekitar dapat kita jalankan sepanjang masa.

 

Saya difahamkan, pelbagai jenis pokok seperti pokok buah-buahan, pokok pelindung, pokok bunga, pokok hiasan dan pokok herba akan ditanam dalam kempen ini.  Apa yang pasti, penanaman pelbagai jenis pokok ini yang turut memiliki pelbagai kegunaan bukan hanya sekadar memenuhi matlamat kempen ini sahaja, tetapi juga dapat memberi manfaat kepada masyarakat.  Oleh itu, saya berharap agar kempen-kempen seperti ini akan diperbanyakkan lagi pada masa akan datang supaya kita dapat merealisasikan hasrat menanam sejuta pokok di negara ini.

 

Pada hemat saya, usaha memelihara dan memulihara alam sekitar kita ini memerlukan perancangan jangka masa pendek dan jangka masa panjang.  Program-program untuk jangka masa pendek sememangnya telah banyak dilaksanakan ketika ini termasuklah program menanam sejuta pokok ini. Namun, kita juga mestilah menyediakan perancangan untuk jangka masa panjang bermula dari sekarang supaya apa yang kita usahakan pada masa ini akan terus dijayakan oleh generasi akan datang.

 

Untuk itu, saya berpendapat ada baiknya generasi muda khususnya mereka yang masih berada di bangku sekolah terus didedahkan dengan pendidikan alam sekitar secara formal supaya mereka memperoleh pengetahuan tentang pentingnya penjagaan alam sekitar kepada kehidupan manusia sejagat. Pendedahan awal seperti ini sememangnya berbaloi memandangkan generasi muda sekarang akan mewarisi kehidupan pada masa akan datang dan merekalah yang menjadi harapan untuk meneruskan serta memperkasakan lagi dasar-dasar pemuliharaan alam sekitar pada dekad seterusnya.

 

Dalam konteks ini, saya amat menyambut baik usaha yang diambil oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia yang memperkenalkan Program Rakan Alam Sekitar di sekolah-sekolah.  Langkah ini bukan sahaja berupaya memberi kefahaman dan kesedaran yang mendalam kepada para pelajar berhubung penjagaan alam sekitar, tetapi juga membolehkan para pelajar sendiri terlibat secara aktif dalam setiap aktiviti-aktiviti pemuliharaan yang dianjurkan.  Malah, ada sekolah-sekolah yang turut menjalin kerjasama pintar dengan badan-badan korporat bagi menjayakan program penjagaan alam sekitar ini. 

 

Oleh itu, saya berharap agar pihak Jabatan Pelajaran Negeri Sabah akan terus mempelopori usaha-usaha seperti ini bersama-sama dengan jabatan-jabatan lain di negeri ini demi menjamin kelangsungan hidup generasi kini dan akan datang menerusi aktiviti-aktiviti penjagaan alam sekitar secara berterusan.

 

Sebelum mengakhiri ucapan ini, sekali lagi saya bagi pihak Kerajaan Negeri merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua yang hadir pada pagi ini bagi menjayakan Kempen Menanam Sejuta Pokok anjuran Jabatan Pelajaran Negeri Sabah ini. Mudah-mudahan usaha murni yang sama-sama kita jayakan ini akan membolehkan kita terus menikmati suasana kehidupan yang makmur dan sejahtera, yang pasti akan turut dikongsi bersama oleh seluruh hidupan dunia yang lain.

 

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya melancarkan Kempen Menanam Sejuta Pokok Jabatan Pelajaran Negeri Sabah 2010 ini dengan rasminya.

 

Sekian, terima kasih.