TEKS UCAPAN Y.A.B. DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN, KETUA MENTERI SABAH, SEMPENA PERASMIAN MAJLIS PENYAMPAIAN HADIAH MELUKIS KAD HARI GURU PERINGKAT SABAH 2010, PADA 20 SEPTEMBER 2010, DI MAGELLAN GRAND BALLROOM, SUTERA HARBOUR RESORT

KOTA KINABALU

 

Terlebih dahulu saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak penganjur atas kesudian mengundang saya hadir pada petang ini bagi menyempurnakan perasmian Majlis Penyampaian Hadiah Melukis Kad Hari Guru Peringkat Negeri Sabah 2010 ini. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ‘Selamat Hari Guru’ kepada semua guru yang hadir dalam majlis ini dan juga kepada seluruh warga pendidik di Negeri Sabah.

 

Saya juga mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Persatuan Guru-guru Cina Sabah (NGO) dan Persatuan Guru-guru Besar SRJK (C) Daerah Kota Kinabalu serta Majlis Guru Besar Kota Kinabalu atas kejayaan mengadakan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang Pertandingan Melukis dan Reka Cipta Kad Ucapan Hari Guru Peringkat Negeri Sabah pada tahun ini.

 

Sesungguhnya apa yang dilakukan oleh pihak penganjur ini merupakan suatu usaha murni khususnya bagi mengenang budi dan jasa guru dalam mendidik anak bangsa.  Justeru, aktiviti yang dianjurkan oleh Persatuan Guru-guru Cina Sabah dan Persatuan Guru-guru Besar SRJK (C) Daerah Kota Kinabalu serta Majlis Guru Besar Kota Kinabalu ini seharusnya menjadi ikutan dan contoh teladan kepada pihak-pihak lain untuk menganjurkan program-program seperti ini.

 

Seperti yang kita sedia maklum, menyampaikan ucapan terima kasih kepada guru-guru kita merupakan suatu amalan yang mulia dan amat digalakkan dalam kalangan murid-murid sekolah. Malah, ucapan ‘Terima Kasih Cikgu’ juga sepatutnya menjadi amalan kita khususnya bagi para ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang sedang bersekolah.  Tambahan pula, budaya berterima kasih sememangnya telah menjadi sebahagian daripada gaya hidup kita di negara ini sebagai tanda penghargaan kepada pihak yang telah menabur khidmat dan bakti kepada masyarakat.

 

Tema perayaan Hari Guru pada tahun ini iaitu, “Guru Membina Negara Bangsa” amat bertepatan dan selari dengan hasrat kerajaan untuk memberi pendidikan yang berkualiti kepada semua rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan kaum demi merealisasikan matlamat Gagasan 1Malaysia.

 

Dalam konteks ini, aspek pembangunan modal insan seharusnya digabungkan dengan nilai-nilai yang baik. Oleh yang demikian, usaha menganjurkan Pertandingan Melukis dan Reka Cipta Kad Ucapan Hari Guru ini telah menepati apa yang dihasratkan oleh kerajaan. Murid-murid sememangnya perlu diberi bimbingan berterusan agar mereka sentiasa menghormati guru-guru bukan sahaja sewaktu mereka bersekolah, tetapi juga semasa mereka sudah tamat persekolahan.

 

Saya yakin dan percaya, menerusi aktiviti seumpama ini murid-murid berpeluang menyatakan perasaan kasih sayang dan terima kasih mereka terhadap guru-guru dengan melukis berpandukan kemahiran ICT serta menulis ungkapan-ungkapan yang baik dan menarik bagi menggambarkan rasa penghargaan terhadap jasa baik dan pengorbanan guru.  Pada hemat saya, inilah cara terbaik bagi murid-murid meluahkan perasaan mereka melalui hasil lukisan menerusi penggunaan ICT, di samping menggalakkan penguasaan kemahiran ICT dalam kalangan para pelajar yang akhirnya berupaya menjadikan generasi kita sebagai generasi yang maju dan membangun dalam pelbagai aspek kehidupan.

 

Saya difahamkan Pertandingan Melukis dan Mencetak Kad Ucapan Hari Guru ini telah memasuki tahun keenam penganjurannya, selepas kali pertama diadakan pada tahun 2005. Saya juga dimaklumkan bahawa karya-karya yang menang dalam pertandingan ini telah ditaja percetakannya oleh Kinabalu Foundation dalam 3 bahasa, iaitu Bahasa Cina, Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris yang kesemuanya sebanyak seratus enam puluh ribu keping untuk diedarkan secara percuma ke sekolah-sekolah serta pasaran di seluruh Negeri Sabah dan juga Semenanjung Malaysia.

 

Untuk itu, saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pelajar yang memenangi Pertandingan Melukis Kad Ucapan Hari Guru pada tahun ini. Seharusnya para pelajar yang memenangi hadiah sempena pertandingan ini berasa bangga kerana selain menerima hadiah pada hari ini, lukisan mereka juga dicetak menjadi Kad Ucapan Hari Guru dan diguna pakai orang ramai bagi merakam terima kasih kepada guru mereka.  Ini merupakan satu penghormatan yang besar kepada para pelajar yang bertungkus-lumus menjana idea-idea kreatif bagi menghasilkan kad-kad ucapan yang menarik.

 

Saya yakin para ibu bapa juga tentunya berasa bangga serta akan berkongsi kejayaan anak-anak mereka. Untuk itu, saya juga merakamkan ucapan terima kasih kepada para ibu bapa pelajar-pelajar yang memenangi hadiah pada hari ini.  Saya percaya melalui bimbingan dan asuhan para ibu bapa serta ditambah pula dengan didikan daripada para guru, maka para pelajar kita akan menjadi manusia yang bagus akal dan baik budinya.  Inilah modal insan yang perlu sama-sama kita lahirkan untuk kita terus memakmurkan negara ini.

 

Akhirnya, sekali lagi saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada pihak penganjur atas kejayaan menganjurkan Pertandingan Melukis dan Reka Cipta Kad Ucapan Hari Guru dan juga majlis penyampaian hadiah pada hari ini. Ucapan terima kasih juga saya rakamkan kepada Y.B. Datuk Dr. Yee Moh Chai atas segala sokongan dan bantuan kepada pihak penganjur. Juga setinggi-tinggi ucapan penghargaan kepada pemimpin-pemimpin daripada persatuan-persatuan, agensi-agensi awam dan swasta, kelab-kelab, syarikat-syarikat serta orang-perseorangan atas sokongan kewangan dan tenaga yang disumbangkan. Semoga komitmen besar pelbagai pihak ini akan terus dapat menjamin kemajuan bangsa dan tanahair kita yang tercinta ini.

 

Dengan kata-kata itu, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Penyampaian Hadiah Kad Ucapan Hari Guru Peringkat Sabah Tahun 2010.

 

Sekian, terima kasih.