UCAPAN Y.A.B. DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN, KETUA
MENTERI SABAH, SEMPENA MAJLIS PENYERAHAN KUIH-MUIH HARI RAYA AIDILFITRI KEPADA
ANGGOTA PASUKAN KESELAMATAN, PADA 26 OGOS 2010, DI AUDITORIUM TUN RAFFAE,
MENARA TUN MUSTAPHA
KOTA KINABALU.
Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan
limpah rahmat dan izin-Nya, sekali lagi kita dapat mengadakan Majlis Penyerahan
Kuih-Muih Hari Raya Aidilfitri kepada anggota pasukan keselamatan. Saya
merakamkan setinggi-tinggi penghargaan
dan terima kasih kepada Y.Bhg. Datuk Maznah Haji Abdul Ghani, Timbalan
Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentadbiran) serta seluruh ahli jawatankuasa atas
usaha dan komitmen menjayakan majlis yang penuh bermakna ini.
Sesungguhnya majlis ini kita adakan pada setiap
tahun bagi mengenang jasa bakti dan menghargai pengorbanan para anggota pasukan
keselamatan dan agensi penguat kuasa yang lain terutama yang bertugas di
perbatasan. Ini jelas membuktikan komitmen dan kesungguhan Kerajaan Negeri
dalam mengiktiraf bukan sahaja jasa bakti dan pengorbanan, tetapi juga
kesetiaan anggota pasukan keselamatan kepada Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan
Agong, kerajaan dan juga kepada negara.
Kita sedar tanpa pengorbanan dan kesetiaan pasukan
keselamatan, sudah tentu negara tidak dapat menikmati keamanan dan
kesejahteraan. Justeru, kerajaan dan pasukan keselamatan akan sentiasa
berganding bahu menjaga keamanan dan kesejahteraan negara serta
mempertahankannya daripada sebarang ancaman.
Ketika kita menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti,
ada dalam kalangan anggota pasukan keselamatan dan agensi penguat kuasa yang
berkorban masa dan tidak dapat menyambutnya bersama-sama keluarga tersayang dan
sahabat handai demi tugas menjaga keamanan negara, kesejahteraan serta
ketenteraman rakyat, mengurangkan kesesakan jalan raya, mengawal kebakaran mahu
pun memberikan perkhidmatan kecemasan, perubatan dan sebagainya. Oleh itu,
sebagai kerajaan dan rakyat yang prihatin, kita sentiasa menghargai dan mengingati pengorbanan mereka.
Antaranya menerusi sumbangan kuih-muih
dan sebarang bentuk penghargaan termasuklah ucapan selamat dan terima kasih
kepada mereka yang bertugas semasa musim perayaan. Meskipun sumbangan kita ini
agak sederhana dan tidaklah sebesar pengorbanan dan jasa bakti mereka, namun
ini membuktikan bahawa tuan-tuan dan puan-puan sentiasa kami kenang dan sanjung
tinggi.
Kerajaan Negeri amat berpuas hati dengan semangat
daya juang yang tinggi dan penuh dedikasi oleh anggota keselamatan kita dalam
memikul amanah dan tanggungjawab pasukan masing-masing di negeri ini.
Alhamdulillah, dengan ini kita dapat menumpukan lagi usaha-usaha untuk memacu
pembangunan dan kemajuan negeri bagi kesejahteraan kita bersama apabila
wujudnya keamanan, kestabilan politik, kemajuan ekonomi dan keharmonian sosial
dalam kalangan rakyat berbilang kaum, agama dan budaya.
Saya percaya selain menghargai sumbangan bakti dan
pengorbanan anggota pasukan, majlis ini juga dapat mengukuhkan lagi
silaturahim, keakraban dan semangat kerjasama antara rakyat, kerajaan dan
pasukan keselamatan. Hakikatnya, memelihara keamanan dan kedaulatan negara
adalah tanggungjawab semua pihak-pasukan keselamatan, penguat kuasa
undang-undang, pemimpin dan rakyat pada keseluruhannya.
Sebelum mengakhiri ucapan, saya merakamkan penghargaan dan syabas kepada
semua pihak yang terlibat dalam program tahunan ini. Saya difahamkan sebanyak
17 agensi Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan termasuklah
syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) telah menyumbang bagi menjayakan
majlis ini.
Saya berharap agar pada masa akan datang, lebih
banyak lagi agensi kerajaan termasuklah GLC tampil untuk memberi
sumbangan. Semoga usaha murni kita
sempena bulan Ramadhan ini akan mencetus semangat dan iltizam kepada warga
pasukan keselamatan dan agensi penguat kuasa yang lain untuk berkhidmat dengan
penuh komited dan dedikasi demi menjaga kedaulatan, keselamatan, kesejahteraan
rakyat dan negara yang tercinta.
Akhir kata, saya bagi pihak para pemimpin Kerajaan
Negeri dan seluruh rakyat Sabah mengucapkan Selamat Hari raya Aidilfitri, Maaf
Zahir dan Batin kepada seluruh Anggota Pasukan Keselamatan bersama keluarga
masing-masing, di seluruh Sabah.
Sekian,
wabillahi taufiq walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.