UCAPAN
Y.A.B. DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN, KETUA MENTERI SABAH, SEMPENA MAJLIS
PENYAMPAIAN SEDEKAH JARIAH AL-MUBARAK, MASJID BANDARAYA KOTA KINABALU TAHUN
1431H/ 2010M, PADA 29 OGOS 2010 DI
MASJID BANDARAYA KOTA KINABALU
Alhamdulillah, pada pagi
yang mulia ini marilah kita sama-sama memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke
hadrat Allah SWT kerana telah menganugerahi kita kesihatan serta kekuatan untuk
kita terus mengimarahkan kehadiran Bulan Ramadan al-Mubarak yang penuh dengan
kemuliaan dan barakah ini dengan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat.
Pada kesempatan ini,
saya merakamkan ucapan berbanyak-banyak terima kasih kepada Ahli Jawatankuasa
Masjid Bandaraya Kota Kinabalu kerana sekali lagi telah memberi peluang kepada
saya untuk sama-sama hadir dalam Majlis Penyampaian Sedekah Jariah Al-Mubarak,
Masjid Bandaraya Kota Kinabalu pada tahun ini.
Saya juga mengambil
kesempatan ini untuk merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada seluruh
Jawatankuasa Masjid Bandaraya Kota Kinabalu kerana telah berjaya meneruskan
majlis penyampaian sedekah jariah ini setiap kali hadirnya Bulan Ramadan. Saya
berharap, usaha murni ini akan dapat diteruskan serta dimantapkan lagi pada
masa-masa akan datang.
Seperti yang kita sedia
maklum, pada pagi ini penyampaian sedekah jariah akan dilakukan dengan kumpulan
sasarannya difahamkan terdiri daripada golongan fakir miskin, anak-anak yatim,
ibu tunggal serta golongan yang tidak berkemampuan. Saya mengambil kesempatan
ini untuk merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak sama ada
syarikat mahupun individu-individu tertentu yang bermurah hati menderma bagi
menjayakan majlis ini.
Pada masa yang sama,
saya berharap lebih ramai lagi dermawan akan tampil ke hadapan untuk menghulur
bantuan sambil bersedekah kepada saudara-saudara kita yang amat memerlukan
bantuan. Sesungguhnya, kita akan beroleh
pahala yang berlipat ganda apabila kita menjayakan amalan bersedekah semasa di
Bulan Ramadan Al-Mubarak ini.
Saya juga berharap agar
amalan menderma dan bersedekah ini tidak hanya dilangsungkan di Bulan Ramadan
sahaja. Amalan bersedekah atau beramal
jariah ini seharusnya juga dijayakan pada bulan-bulan lain sebagai salah satu
langkah bersama kita ke arah memperkasakan ekonomi umat Islam.
Di samping itu, kita
juga berupaya membentuk satu kekuatan ekonomi melalui pewujudan sebuah dana
yang besar serta boleh berperanan membangunkan sosioekonomi masyarakat kita
dengan lebih berkesan. Ini haruslah digerakkan secara serius melalui penyediaan
prasarana beramal jariah secara professional serta mendapat sokongan padu
daripada semua lapisan masyarakat, termasuklah agensi-agensi kerajaan dan
swasta yang sememangnya menghasilkan banyak keuntungan perniagaan.
Memandangkan pada hari
ini Masjid Bandaraya Kota Kinabalu telah banyak melaksanakan apa yang dirancang
oleh kerajaan, maka saya berharap agar Masjid Bandaraya Kota Kinabalu akan
terus mempelopori agenda pembangunan ummah ini dengan lebih memfokuskan
usaha-usaha ke arah memperkasakan ekonomi umat Islam. Saya yakin, dengan kekuatan sedia ada yang
dimiliki oleh Masjid Bandaraya Kota Kinabalu serta dibantu hasil sumbangan
daripada syarikat-syarikat dan individu-individu tertentu, usaha-usaha pembangunan
ekonomi ini akan dapat dilaksanakan dengan lebih berjaya.
Saya turut mengharapkan
agar Masjid Bandaraya Kota Kinabalu ini terus mempromosikan peranan masjid
sebagai tempat untuk menjalankan pelbagai aktiviti yang boleh membawa manfaat
kepada seluruh lapisan rakyat, selain daripada menjadi tempat ibadat atau
solat. Ini perlu dihebahkan secara lebih
meluas dan berterusan disebabkan fungsi serta peranan masjid pada hari ini
terutamanya di bandar-bandar besar masih dilihat daripada perspektif keagamaan
semata-mata.
10. Untuk itu, saya menyeru kepada semua Ahli
Jawatankuasa Masjid Bandaraya Kota Kinabalu ini agar sentiasa duduk bersama
atau bermuzakarah untuk memikirkan aktiviti-aktiviti atau program-program yang
bersesuaian yang boleh diterapkan untuk manfaat semua pihak.
Paling penting,
program-program tersebut hendaklah turut melibatkan sepenuhnya penyertaan
anak-anak muda atau kaum belia agar golongan ini akan kembali mendekati
institusi masjid serta menyumbang secara langsung kepada pembangunan
masyarakat. Dengan cara ini, kita bukan
sahaja dapat mengisi masa anak-anak muda atau golongan belia ini dengan
aktiviti berfaedah malah penglibatan mereka ini juga boleh menjamin
kesinambungan peranan masjid dalam pembangunan ummah.
Oleh itu, marilah kita
sama-sama mengimarahkan peranan masjid khususnya di bandar-bandar besar seperti
Bandaraya Kota Kinabalu ini dengan meletakkannya sebagai sebuah institusi
penting dalam menyumbang ke arah pembangunan serta kemakmuran ekonomi Negeri
Sabah secara keseluruhannya.
Akhir sekali, sebagai
mewakili isteri dan keluarga, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan
Selamat Berpuasa dan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal
menjelang tiba tidak lama lagi. Maaf
Zahir dan Batin.
Sekian, wabillahittaufiq
walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.