TEKS UCAPAN Y.A.B. DATUK
SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN, KETUA MENTERI SABAH, SEMPENA MAJLIS MELIHAT ANAK
BULAN RAMADHAN SETERUSNYA PELANCARAN MAJLIS MELIHAT ANAK BULAN RAMADHAN, SYAWAL
DAN ZULHIJJAH TAHUN 1431 HIJRIAH BERSAMAAN 2010 MILADIAH BAGI NEGERI SABAH,
PADA 10 OGOS 2010
DI BALAI CERAP AL-BIRUNI,
TANJUNG DUMPIL, PUTATAN.
Alhamdulillah, marilah kita sama-sama memanjatkan kesyukuran ke hadrat
Allah SWT kerana dengan taufik dan hidayah-Nya, kita dilimpahi dan dikurniai
dengan pelbagai nikmat dan rahmat yang tidak ternilai harganya sehingga
membolehkan kita terus hidup dalam suasana kemakmuran, kesejahteraan dan
keharmonian yang kita kecapi sehingga ke hari ini.
Pada petang ini juga, kita bersyukur kerana dapat bersama-sama menjayakan
Majlis Pelancaran Melihat Anak Bulan Rasmi Kerajaan Malaysia iaitu Bulan
Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah bagi Negeri Sabah tahun 1431 hijriah. Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan
dan terima kasih atas undangan ini dan amat berbesar hati kerana diberi peluang
sekali lagi untuk melihat suasana majlis ini dengan lebih dekat di Balai Cerap
al-Biruni Negeri Sabah pada tahun ini. Semoga komitmen dan kerjasama yang
diberikan dapat diteruskan dan dipertingkatkan pada masa hadapan.
Majlis Melihat Anak Bulan Rasmi Kerajaan Malaysia yang terdiri dari Bulan
Ramadhan, Bulan Syawal dan Zulhijjah merupakan satu kewajipan yang perlu
dilaksanakan dan ditunaikan oleh pihak yang dipertanggungjawabkan dan
diamanahkan. Ia merupakan aktiviti
tahunan yang diadakan serentak di seluruh negara termasuk di Negeri Sabah ini
yang merupakan negeri pertama di Malaysia yang melaporkan kelihatan dan tidak
kelihatan anak bulan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia.
Di Negeri Sabah, seperti yang kita sedia maklum Majlis Melihat Anak Bulan
Rasmi Kerajaan Malaysia dilakukan di Balai Cerap Al-Biruni Negeri Sabah,
Tanjung Dumpil, Putatan ini. Sehubungan dengan itu, saya mengharapkan kewujudan
Balai Cerap Al-Biruni ini tidak hanya dikhususkan bagi aktiviti Melihat Anak
Bulan sahaja, bahkan juga wajar dimanfaatkan sepenuhnya sebagai pemangkin bagi
penyelidikan dan pendidikan yang berkaitan dengan Falak Syarie dan astronomi
serta bagi tujuan pelancongan. Saya
yakin, Pejabat Mufti Negeri Sabah dapat merealisasikan perkara ini demi
kemaslahatan umat Islam dan penduduk di Negeri Sabah khasnya dan Malaysia
amnya.
Melihat Anak Bulan atau Rukyatul Hilal adalah berkait rapat dengan
astronomi atau dikenali dalam dunia Islam sebagai ilmu falak. Pada zaman kegemilangan Islam,
cendekiawan-cendekiawan Islam menyedari bahawa pergerakan objek-objek samawi di
langit seperti matahari dan planet adalah berdasarkan perhitungan dan
perkadaran yang tetap. Oleh itu, dengan memanfaatkan ilmu matematik, seseorang
boleh menghitung kedudukan objek-objek samawi pada sebarang waktu yang
diberikan. Ini bermakna bahawa waktu-waktu solat yang tertakluk kepada
kedudukan matahari dan fasa-fasa bulan seperti ijtimak dan sebagainya boleh
ditentukan dengan melakukan pengiraan menggunakan tangan tanpa melihat di
langit. Penemuan ini menyumbang kepada percambahan kaedah baru dalam penentuan
awal bulan yang umumnya dikenali sebagai hisab.
Dari segi pelaksanaannya pula, kaedah rukyah dan hisab dengan kriteria
imkanur rukyah saling memenuhi keperluan antara satu sama lain dan tidak boleh
dipisahkan. Rukyah tidak boleh
dipraktikkan dengan sebaik-baiknya jika pengetahuan ciri-ciri anak bulan tidak
diketahui, manakala rukyah tanpa persediaan teknikal adalah sia-sia dan boleh
menimbulkan kekeliruan. Kaedah rukyah dan hisab dengan kriteria imkanur rukyah
lebih sesuai dipraktikkan bersama-sama dan akan membuka ruang untuk penyelarasan
takwim hijri secara global.
Diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dan Muslim bahawa Rasulullah SAW bersabda
yang bermaksud:-
‘Apabila kamu melihat anak
bulan (Ramadhan), maka berpuasalah dan apabila kamu melihat anak bulan
(Syawal), maka berbukalah (berhari raya).
Apabila anak bulan itu terlindung dari pandangan kamu maka takdirkanlah
ia (dengan hisab).’
Oleh yang demikian, semoga dengan Majlis Melihat Anak Bulan ini, hasrat
kerajaan untuk menjadikan rakyat di negeri ini sebagai rakyat yang semakin maju
dalam ilmu pengetahuan semua bidang seperti pada zaman kegemilangan Kerajaan
Islam pada masa dahulu akan tercapai.
Selain itu, minat terhadap ilmu falak akan semakin disemai dan meningkat
sesuai dengan aspirasi kerajaan menerusi tema sambutan Hari Kemerdekaan pada
tahun ini iaitu, “1 Malaysia, Menjana Transformasi”.
Sebelum mengakhiri ucapan ini, sekali lagi saya mengucapkan setinggi-tinggi
penghargaan dan terima kasih khususnya kepada Mufti Kerajaan Negeri Sabah dan
Ahli Jawatankuasa Pelaksana Majlis Melihat Anak Bulan dan juga kepada semua
pihak yang membantu secara langsung atau tidak langsung dalam menyumbangkan
bakti bagi menjayakan majlis yang mulia ini.
Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Berpuasa di
Bulan Ramadhan Al-Muabrak. Semoga ibadah
puasa kita pada tahun ini dapat dilaksanakan dengan lebih baik dan sempurna
serta beroleh ganjaran yang setimpal daripada Allah S.W.T. Insya Allah.
Dengan kalimah mulia Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan ini merasmikan Majlis
Melihat Anak Bulan Ramadhan seterusnya Majlis Melihat Anak Bulan Ramadhan,
Syawal dan Zulhijjah tahun 1431 Hijriah bersamaan 2010 Miladiah bagi Negeri
Sabah.
Sekian, wabillahittaufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.