UCAPAN Y.A.B. DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN, KETUA MENTERI SABAH SEMPENA MAJLIS PELANCARAN BULAN KEMERDEKAAN DAN KEMPEN MENGIBAR JALUR GEMILANG 2010

 PADA  9 OGOS 2010, DI PERKARANGAN IBU PEJABAT DBKK

KOTA KINABALU

 

Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat serta izin-Nya maka pada hari ini sekali lagi kita dapat berhimpun bersama-sama sempena sambutan Bulan Kemerdekaan Kali Ke-53 dan Kempen Mengibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri  bagi tahun 2010.  Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan penghargaan dan tahniah kepada Jawatankuasa Penganjur kedua-dua majlis ini atas komitmen dan kesungguhan dalam menjayakan penganjurannya.

 

Sambutan yang sama di peringkat kebangsaan telahpun dilancarkan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri pada 1 Ogos yang lalu di Negeri Perlis. Sesungguhnya, Kempen Mengibar Jalur Gemilang yang telah menjadi program tetap sempena Bulan Kemerdekaan ini sangat bermakna kepada rakyat Malaysia amnya dan rakyat Negeri Sabah khasnya kerana Jalur Gemilang merupakan lambang kedaulatan serta kemegahan rakyat negara ini.

 

Walaupun Kerajaan Negeri mengambil keputusan untuk tidak mengadakan acara  perbarisan pada 31 Ogos seperti yang diadakan pada tahun-tahun yang lalu memandangkan pada tarikh kita masih lagi berada dalam bulan Ramadan, namun ia tidak bermakna kita tidak memberi perhatian terhadap sambutan kemerdekaan negara Malaysia yang tercinta ini. Sebaliknya, Kerajaan Persekutuan telah memberi penghormatan kepada Negeri Sabah sebagai lokasi bagi sambutan Hari Malaysia yang bakal diadakan pada 16 September 2010 di Kota Kinabalu.

 

Selain itu, badan-badan keagamaan lain disaran untuk mengadakan sembahyang khas sempena Bulan Kemerdekaan ini. Acara sedemikian yang julung kalinya diadakan sudah tentu akan menjadi satu lagi kepelbagaian acara dalam kita menyambut Bulan Kemerdekaan pada tahun ini.  

 

Pada hari ini, Kempen Mengibar Jalur Gemilang yang diadakan sebagai tanda bermulanya sambutan Bulan Kemerdekaan di negeri ini sebenarnya ingin dijadikan oleh kerajaan sebagai wadah untuk kita terus menyemarakkan lagi semangat patriotisme dan cintakan negara serta memupuk perpaduan dalam kalangan pelbagai lapisan rakyat.  Oleh itu, kempen ini seharusnya dimanfaatkan sepenuhnya oleh seluruh rakyat negeri ini untuk sama-sama mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda penghargaan dan rasa terima kasih kepada negara yang telah menikmati kemerdekaan sejak 53 tahun yang lalu.

 

Sebagai warga negara yang prihatin dan cintakan negara, sebenarnya kerajaan tidak perlu menganjurkan acara tahunan seperti pada hari ini ataupun tidak perlu berkempen untuk mengajak setiap pemilik kedai mahupun pemilik kenderaan supaya mengibarkan Jalur Gemilang. Ini kerana kita sepatutnya mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh rasa bangga dan rela hati, gesaan secara rasmi daripada kerajaan. Namun apa yang berlaku pada setiap tahun adalah sebaliknya, iaitu kerajaan terpaksa mengeluarkan surat pekeliling serta mengadakan kempen dan membelanjakan wang untuk menyeru rakyat negeri ini mengibarkan Jalur Gemilang.

 

Hakikatnya, masih banyak lagi bangunan atau premis yang tidak mengibarkan Jalur Gemilang walaupun arahan secara bertulis telah dikeluarkan oleh kerajaan mahupun oleh Pihak Berkuasa Tempatan. Keadaan sedemikian seharusnya tidak menjadi budaya kita memandangkan sebagai rakyat Negeri Sabah kita sebenarnya sama-sama bertanggungjawab ke atas keamanan, keharmonian, kesejahteraan dan juga kemakmuran negeri ini.  Oleh itu, kita juga perlu sama-sama menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat yang cintakan negeri dan negara dengan mengibarkan Jalur Gemilang setiapkali sambutan Bulan Kemerdekaan diadakan pada setiap tahun.

 

Sebentar lagi Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Sabah akan diagih-agihkan kepada beberapa penerima yang dipilih secara simbolik termasuklah dalam kalangan Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan, badan-badan profesional, persatuan dan sebagainya. Ini sedikit sebanyak berupaya menyemai dan menyemarakkan lagi semangat patrotik dalam kalangan rakyat Negeri Sabah. Saya berpendapat bahawa setiap  bangunan  dalam Negeri Sabah sewajarnya mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda  kemerdekaan dan bukti penghargaan kita kepada negeri dan negara. Ini kerana Malaysia  telah banyak memberi kita nikmat pembangunan dan kesejahteraan untuk kita kecapi sehingga beberapa generasi. Kemakmuran, keamanan dan kesejahteraan yang kita kecapi selama kehidupan kita dalam negara ini hendaklah dikekalkan untuk generasi yang akan datang dan ini  hanya  dapat dicapai melalui semangat perpaduan dan cintakan tanah air. 

 

Dalam aspek menanam semangat  patriotik, para pendidik dan ketua-ketua pertubuhan atau organisasi memain peranan yang sangat instrumental dan penting disebabkan mereka berdamping rapat dengan generasi muda sejak di peringkat awal lagi  seperti di sekolah dan pusat-pusat pengajian tinggi. Masa yang diluangkan dalam   pembelajaran atau pendidikan sangat banyak dan ini sebenarnya memberi impak atau pengaruh kepada diri mereka. Oleh itu, di sekolah mahupun di institusi pengajian tinggi, elemen-elemen perpaduan, kerjasama, disiplin, cintakan negara perlu dititikberatkan dan dipupuk dalam kalangan golongan muda ini. Sekiranya golongan muda kita mempunyai jati diri yang kukuh, maka keamanan negara kita akan terjamin dan kemerdekaan akan terus kita nikmati.

 

Dengan kehadiran Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan serta agensi dibawahnya, saya menyeru agar semua kakitangan yang berada di jabatan atau agensi masing-masing mengibar Jalur Gemilang sepanjang berlangsungnya sambutan Bulan Kemerdekaan ini. Kepada badan-badan korporat dan para pemilik kenderaan, kibarkanlah Jalur Gemilang dengan penuh kebanggaan dan bersemangat sebagai bukti  kesetiaan kita kepada negara Malaysia yang tercinta ini. Kepada para Pegawai Daerah, laksanakan sambutan Bulan Kemerdekaan di daerah masing-masing dengan memaklumkan penduduk di seluruh pelosok negeri ini. Kepada Presiden Dewan-Dewan Perniagaan dan Perindustrian, mohon maklumkan ahli masing-masing supaya meluangkan sedikit masa   untuk mengibar Jalur Gemilang di premis masing-masing. Sesungguhnya Jalur Gemilang adalah payung negara yang melambangkan kedaulatan negara kita dan juga mewakili semangat 1 Malaysia.

 

Sebelum mengakhiri ucapan ini, sekali lagi saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada Jawatankuasa Penganjur serta semua pihak yang terlibat, sama ada secara langsung mahupun secara tidak langsung, dalam menjayakan penganjuran kedua-dua majlis penting pada hari ini.  Mudah-mudahan majlis yang sama-sama kita jayakan ini berupaya mencetus semangat dan kekuatan baru kepada kita untuk terus memelihara, menjaga serta mempertahankan nikmat kemerdekaan yang kita kecapi selama ini.

 

Dengan kata-kata itu, saya dengan sukacitanya melancarkan sambutan Bulan Kemerdekaan dan Kempen Mengibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Sabah 2010 ini dengan rasminya.

 

Sekian, terima kasih.