UCAPAN Y.A.B. DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN KETUA MENTERI SABAH SEMPENA MAJLIS PERASMIAN PROGRAM TAHUNAN ISTERI WAKIL-WAKIL RAKYAT BARISAN NASIONAL SE-MALAYSIA 2010

PADA 15 JULAI 2010, DI DEWAN SERBAGUNA KOMPLEKS SUKAN LIKAS KOTA KINABALU.

 

Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah izin-Nya, kita dapat bersama-sama sempena Majlis Perasmian Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional Se-Malaysia 2010. Saya merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Negeri Sabah (BAKISA) atas undangan bagi menyempurnakan perasmian Program Tahunan ini.

 

Bagi pihak Kerajaan Negeri Sabah, saya mengalu-alukan kehadiran Y.A.Bhg. Datuk Seri Panglima Rosmah Mansor, isteri Y.A.B. Perdana Menteri merangkap Yang Di-Pertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri (BAKTI) Malaysia, dan merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Y.A.Bhg. Datuk Seri Panglima kerana telah memberi kepercayaan kepada Negeri Sabah untuk menjadi tuan rumah bagi program tahunan ini.  Saya juga mengucapkan selamat datang ke Sabah, Negeri Di Bawah Bayu kepada semua kontinjen, yang datang dari seluruh tanahair.

 

Inisiatif dan komitmen tinggi Y.A.Bhg. Datuk Seri Panglima Rosmah Mansor sejak menerajui kepimpinan BAKTI, terutama dalam meneruskan tradisi dan meningkatkan lagi prestij penganjuran program tahunan ini, perlulah diberikan penghormatan dan pujian.

 

Kita bertuah kerana mempunyai ’wanita pertama’ yang mempunyai banyak idea bernas dan komitmen yang tinggi dalam sama-sama membantu pimpinan bagi  memajukan negara. Ini dapat kita lihat menerusi program Permata Negara yang bagi saya satu program melahirkan modal insan yang menjadi aset paling penting untuk memajukan negara. Benarlah seperti kata pepatah bahawa di sebalik kejayaan seorang lelaki, ternyata pendukungnya adalah seorang wanita.

 

Sesungguhnya selain daripada kami sebagai suami dan pemimpin dalam Barisan Nasional, para isteri wakil-wakil rakyat juga mempunyai peranan dan komitmen yang tinggi dalam mengeratkan lagi ikatan kekeluargaan kita sebagai sebuah ‘Keluarga besar dalam Barisan Nasional’ agar ikatan itu sentiasa kukuh, kuat dan mantap. Meskipun setiap kontinjen mempunyai latar belakang yang berbeza mengikut negeri masing-masing, namun itu tidak menghalang untuk kita bersatu hati dan bersama-sama menjayakan matlamat murni program ini kerana sesungguhnya, kita adalah 1Malaysia.

 

Selain dapat bersukan dan berinteraksi antara satu dengan yang lain, saya percaya para isteri wakil-wakil rakyat Barisan Nasional juga dapat memupuk nilai-nilai murni daripada penganjuran program ini dan menjadi contoh terbaik kepada rakyat seluruhnya sebagai warga yang sihat dan aktif, meskipun sibuk dengan komitmen dan tugas masing-masing.

 

 Sememangnya persatuan yang dianggotai oleh isteri wakil-wakil rakyat Barisan Nasional sama ada di peringkat negeri mahu pun nasional seperti BAKTI, cukup sinonim dan terkenal dengan pelbagai aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan. Dalam konteks ini, saya memuji keprihatinan dan keikhlasan persatuan dan badan-badan amal ini yang sentiasa proaktif dalam menggerakkan usaha-usaha murni membantu rakyat khususnya golongan yang kurang bernasib baik tanpa mengira latar belakang kaum dan agama. Kita juga perlu terus mendukung usaha Y.A.Bhg. Datuk Seri Panglima Rosmah Mansor Yang Di-Pertua Bakti yang memberi perhatian mendalam bagi membela golongan OKU yang menjadi antara bahagian daripada rakyat yang perlu didahulukan.

 

Di samping itu, inisiatif mengadakan program tahunan ini di negeri-negeri memberi peluang kepada para peserta melihat sendiri kemajuan selain menikmati keindahan dan keunikan budaya sesebuah negeri. Dalam konteks ini, saya percaya rakyat Sabah berasa amat gembira dengan penganjuran program ini kerana ia memberikan peluang yang terbaik untuk mereka beramah mesra, mengenali dengan lebih dekat dan mengeratkan lagi semangat kekitaan dengan para isteri wakil-wakil rakyat dari seluruh negara.

 

Pendekatan ini bukan sahaja berupaya merealisasikan matlamat program tahunan ini, bahkan secara tidak langsung ia juga dapat meningkatkan kewibawaan dan imej pemimpin dan Kerajaan Barisan Nasional di mata rakyat, pada keseluruhannya.

 

Sebelum mengakhiri ucapan, saya bagi pihak Kerajaan Negeri Sabah serta seluruh rakyat sekali lagi merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Y.A.Bhg. Datuk Seri Panglima Rosmah Binti Mansor dan BAKTI atas kepercayaan dan penghormatan kepada Negeri Sabah selaku tuan rumah pada kali ini.

 

Kerajaan Negeri bersama-sama BAKISA dan seluruh Ahli Jawatankuasa akan berusaha bagi memastikan Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional Se-Malaysia 2010 ini, berjalan dengan lancar dan jayanya serta memberi keselesaan kepada para peserta.

 

Kepada semua kontinjen, saya ucapkan selamat bertanding dengan penuh semangat kesukanan dan kekeluargaan yang tinggi, dan saya mewakili para suami dan pemimpin dalam Barisan Nasional dari seluruh negara, sentiasa mendoakan kejayaan  semua peserta, dengan cetusan semangat 1Malaysia.

 

Dengan harapan tersebut, saya dengan sukacitanya merasmikan Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional Se-Malaysia 2010.

 

Sekian, wabillahi taufiq walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.