UCAPAN Y.A.B. DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN, KETUA MENTERI SABAH, SEMPENA KARNIVAL SAMBUTAN 40 TAHUN BADAN BAHASA DAN SASTERA SABAH (BAHASA), DI KOMPLEKS BELIA DAN SUKAN PERSEKUTUAN PUTATAN SABAH, PADA 10 APRIL 2010

 

Pertama sekali saya mengucapkan selamat menyambut ulang tahun yang ke-40 kepada Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA). Saya mengucapkan tahniah kepada BAHASA kerana telah berjaya bertahan dalam perjuangan budaya, bahasa dan sastera di negeri ini selama 4 dekad.  Sesungguhnya, tempoh 40 tahun bukanlah satu masa yang singkat. Malah, tidak banyak pertubuhan atau Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang boleh bertahan untuk jangka masa yang lama seperti yang telah dilalui oleh BAHASA. Ada pertubuhan yang hanya dapat bertahan dalam masa yang singkat dan untuk beberapa tahun sahaja, kemudiannya berkubur begitu sahaja.

 

Tetapi, BAHASA telah membuktikan kepada kita bahawa sesebuah pertubuhan atau badan itu boleh bertahan untuk jangka masa yang lama jika ditadbir urus dengan baik dan proses peralihan kepimpinannya berjalan dengan lancar, tanpa sebarang perbalahan yang boleh merugikan dan memberi kesan buruk kepada pertubuhan atau badan itu sendiri.

 

Saya difahamkan, BAHASA mula ditubuhkan pada 19 Mac 1970. Walaupun dalam tempoh beberapa dekad sejak dari penubuhannya, kerajaan yang menerajui negeri kita sudah silih berganti, namun hakikatnya, badan yang mengungguli perjuangan memartabatkan bahasa, budaya dan persuratan negeri ini terus kukuh dan relevan perjuangannya sesuai dengan tuntutan dan arus zaman.

 

Sesungguhnya saya berasa bangga dengan komitmen yang ditunjukkan oleh BAHASA dalam memperjuangkan isu yang berkaitan dengan budaya, bahasa dan sastera di negeri ini. Justeru, saya berharap agar BAHASA akan terus menerajui perjuangan bagi merealisasikan cita-cita untuk menjadikan Sabah sebagai Dataran Ilmu dan Dataran Sastera Budaya yang penting di rantau ini. Saya yakin, jika kita berusaha dengan lebih giat lagi untuk merealisasikan cita-cita murni ini, ia akan menjadi kenyataan dan membuahkan hasil yang diharapkan.

 

Kerajaan Negeri akan sentiasa membantu serta menyokong idea dan cita-cita besar ini demi masa depan rakyat dan negeri kita yang tercinta ini. Sesungguhnya, kemajuan fizikal dan material yang dinikmati sekarang dan juga pada masa depan, mesti diseimbangkan dengan nilai-nilai murni yang biasanya ditawarkan oleh bidang kebudayaan, kebahasaan dan persuratan. Ini bagi menjamin supaya kita terus hidup berhemah tinggi, saling membantu antara satu sama lain, bersatu padu dan hidup berharmoni antara satu sama lain.

 

Saya juga ingin melihat pada masa hadapan, pelancong yang datang ke negeri kita ini, bukan didorong semata-mata oleh naluri hendak melihat keindahan alam semulajadi yang dianugerahi kepada negeri ini, tetapi lebih didorong oleh kuasa budaya, ketinggian mutu sastera dan kehebatan tradisi ilmu yang kita miliki di negeri ini. Adalah tidak mustahil tumpuan dunia terfokus kepada kita jika kita membuat perancangan yang strategik, jitu dan berkesan dalam memperkasa budaya, bahasa dan sastera kita.

 

Kita boleh mewujudkan anugerah yang bertaraf dunia atau setidak-tidaknya bertaraf Asia dalam bidang kesusasteraan dan kebudayaan di negeri ini, jika kita mahu melihat Negeri Sabah menjadi dataran ilmu dan sastera yang penting di rantau ini. Malah, saya bersikap positif jika terdapat usaha hendak menubuhkan sekretariat persuratan dan kebudayaan Malaysia di negeri ini.

 

Ini kerana di bawah sekretariat itu nanti, kita boleh memikirkan penubuhan Sekolah Seni atau Akademi Persuratan dan Kebudayaan Sabah sebagai salah satu inisiatif bagi memperkasa pemikiran budaya, bahasa dan sastera dalam kalangan rakyat negeri ini. Kita boleh juga memikirkan untuk menubuhkan Pusat Dokumentasi Kebudayaan dan Persuratan yang boleh menjadi tempat atau pusat rujukan dan malah menjadi satu daya tarikan yang penting di negeri ini. Saya yakin, semua ini tidak mustahil direalisasikan, seperti kata peribahasa Melayu, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

 

Sesuai dengan peranannya sebagai pejuang bahasa dan sastera, BAHASA telah memainkan peranan yang sangat besar dalam memartabatkan Bahasa Melayu di negeri ini. Jika diimbas beberapa peristiwa lepas, akibat desakan daripada BAHASA akhirnya Persidangan Dewan Undangan Negeri pada awal tahun 1970an telah mewartakan supaya Bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa rasmi dan bahasa pentadbiran di negeri ini.

 

Badan ini juga turut mendesak agar ditubuhkan Dewan Bahasa dan Pustaka di Sabah yang akhirnya membawa kepada penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka di negeri ini sebagai pelengkap kepada perjuangan memartabatkan bahasa di Sabah.  Apa pun, BAHASA kini semakin dewasa dalam perjuangannya. Empat puluh tahun yang telah dilalui oleh BAHASA sebenarnya telah menjadikannya sebagai satu-satunya Badan Budaya, Bahasa dan Sastera yang sangat dominan, berjasa dan mempunyai jangka hayat yang panjang di negeri ini.

 

Saya difahamkan banyak program yang akan dilaksanakan sempena Karnival Sambutan 40 Tahun BAHASA ini. Acara-acara seperti seminar, bicara eksekutif, peraduan menulis karya kreatif, penerbitan buku-buku kreatif, persembahan kesenian, bengkel penulisan dan sebagainya seharusnya berupaya meningkatkan kesedaran dalam kalangan negeri ini berhubung kepentingan memartabatkan bahasa dan budaya. Malah, difahamkan juga bahawa program pelancaran Karnival Sambutan 40 Tahun Bahasa hari ini turut dihadiri dan disertai oleh rakan-rakan kita dari negeri-negeri lain, sama ada dari Semenanjung mahupun dari Sarawak.

 

Kepada delegasi-delegasi dari luar Sabah, saya ucapkan selamat menikmati keindahan bumi di bawah bayu ini. Selamat menikmati keindahan alam semulajadinya, selamat menikmati keindahan budaya dan juga keindahan dunia persuratan kami di negeri ini. Mudah-mudahan karnival ini akan membuahkan hasil yang baik, seterusnya akan menghimpunkan idea serta pemikiran yang tinggi nilainya, demi memantap dan memartabatkan lagi khazanah persuratan dan kebudayaan kita, yang selama ini memang terkenal kerana keunikan, keindahan dan kepelbagaiannya.

 

Sebelum mengakhiri ucapan ini, sekali lagi saya mengucapkan tahniah kepada BAHASA, yang kini diterajui oleh saudara Jasni Matlani, agar terus bersama-sama kerajaan dalam menjayakan gagasan 1 Malaysia, seterusnya memastikan perjuangannya terus relevan demi ketinggian martabat bahasa, budaya dan sastera kita.

 

Kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Karnival Sambutan 40 Tahun Bahasa ini, teruskanlah usaha anda dalam mempertahankan budaya, bahasa dan sastera bangsa kita yang murni ini. Saya yakin serta optimis dengan segala usaha yang anda semua lakukan untuk melestarikan budaya, bahasa dan sastera kita.

 

Saya juga mengambil kesempatan ini untuk menyeru agensi swasta dan syarikat korporat di negara ini amnya dan di Sabah khasnya agar memberi sokongan, sama ada dari segi material mahupun tenaga fikiran untuk menjayakan sebarang program persuratan dan kebudayaan yang diadakan oleh badan-badan bukan kerajaan serta jabatan kerajaan yang berkaitan di negeri ini.

 

Bersamalah menyumbang bagi pembangunan sastera dan budaya di negeri ini kerana elemen-elemen penting dalam sastera dan budaya berupaya menyumbang kepada penyatuan rakyat pelbagai kaum negara kita ini, sekaligus membantu merealisasikan matlamat gagasan 1 Malaysia.

 

Dengan kata-kata itu, saya dengan sukacitanya merasmikan ‘Karnival Sambutan 40 Tahun Bahasa’, seterusnya melancarkan lima buah buku yang dihasilkan oleh lima orang penulis daripada BAHASA yang berbakat besar di negeri ini.

 

Sekian, terima kasih.