TEKS UCAPAN Y.A.B. DATUK SERI PANGLIMA MUSA BIN HAJI AMAN, KETUA MENTERI SABAH, SEMPENA PELANCARAN PROGRAM WACANA KESELAMATAN DAN PENYERAHAN WATIKAH RAKAN COP, KEPADA ORGANISASI BELIA NEGERI SABAH (ANJURAN BERSAMA PEMUDA UMNO SABAH DAN MAJLIS BELIA SABAH DENGAN KERJASAMA POLIS DIRAJA MALAYSIA), DI GRAND HOTEL, 1BORNEO, KOTA KINABALU

 

Saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak penganjur atas jemputan untuk melancarkan program ini. Tahniah dan syabas khususnya kepada Sekretariat Perhubungan NGO, Pergerakan Pemuda UMNO Sabah atas inisiatif menggerakkan program ini bersama-sama dengan Majlis Belia Sabah (MBS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Saya percaya usaha ini  berupaya untuk memantapkan lagi kerjasama dan melebarkan jaringan (networking) yang lebih tersusun dan sistematik di antara polis dengan masyarakat terutama para belia dan NGO dalam usaha memperkasa dan memantapkan lagi aspek-aspek keselamatan di negeri ini.

 

Kerajaan amat mementingkan kesejahteraan rakyat dan sentiasa melipatgandakan usaha demi memastikan keselamatan, keamanan dan ketenteraman negara, khususnya Negeri Sabah tetap terpelihara. Secara keseluruhannya, keadaan keselamatan di negeri ini adalah dalam keadaan baik dan terkawal. Agensi-agensi keselamatan sentiasa bersiap siaga bagi memantau perkembangan dan meningkatkan aspek kawalan keselamatan di semua peringkat.

 

Bagaimanapun, kita tidak boleh sesekali berasa selesa dan leka dengan keadaan ini. Sebaliknya setiap anggota masyarakat perlu mempunyai kesedaran yang tinggi untuk memelihara dan mengekalkan keamanan dan kedaulatan negara. Dalam konteks ini, suka saya menegaskan bahawa menjaga keselamatan dan ketenteraman awam bukan hanya terletak di bahu pihak penguatkuasa undang-undang khususnya PDRM semata-mata. Sebaliknya ia memerlukan sokongan, kerjasama dan komitmen semua pihak di negeri ini.

 

Justeru, inisiatif menganjurkan program ini amatlah dialu-alukan sebagai salah satu platform yang berkesan untuk menyemai kesedaran dan menyuburkan sikap ‘ambil tahu dan prihatin’ dalam kalangan masyarakat, yang dilihat semakin terhakis pada masa ini. Sebagai komponen penting dalam masyarakat, setiap daripada kita sebenarnya mempunyai tanggungjawab dan peranan untuk bertindak sebagai pemantau sukarela.

 

Walaupun dengan tindakan yang kita anggap minima, seperti memaklumkan kepada pihak polis sesuatu insiden atau perkara yang diragui, kita sebenarnya telah memberikan sumbangan yang besar bagi membantu mengelakkan suatu kemungkinan jenayah daripada berlaku. Sikap tidak mengambil tahu apa yang berlaku dalam masyarakat terutama dalam komponen kejiranan, secara tidak langsung telah menafikan hak dan tanggungjawab kita untuk menjadi komponen pelindung yang penting dalam masyarakat.

 

Dalam konteks ini, Kerajaan Negeri Sabah akan terus memberikan sokongan dan sentiasa mengalu-alukan kerjasama erat di antara agensi penguatkuasa dengan masyarakat. Kita juga amat menghargai pelbagai inisiatif atau program berterusan yang dilaksanakan sama ada oleh jabatan kerajaan, sektor swasta, pertubuhan politik dan NGO seperti Pemuda UMNO dan MBS serta orang ramai dalam memelihara keamanan dan ketenteraman negeri demi memastikan kestabilan politik, kemajuan ekonomi serta kemakmuran sosial dapat terus kita nikmati.

 

Saya juga menyambut baik penyerahan watikah ‘Rakan Cop’ yang boleh memainkan peranan sebagai satu lagi kumpulan neighbourhood watch dalam komponen dan jaringan keselamatan, yang saya percaya akan memberikan reassurance atau keyakinan kepada masyarakat akan tahap dan jaminan keselamatan mereka.

 

Akhir kata, saya berharap agar semua peserta memanfaatkan sepenuhnya penyertaan dalam wacana ini dengan mengemukakan input, idea dan sumbangan bagi membantu pihak berkuasa dalam usaha-usaha mencegah dan memerangi jenayah dan seterusnya memantapkan lagi aspek keselamatan negeri.

 

Dengan harapan tersebut, saya dengan sukacitanya melancarkan Program Wacana Keselamatan dan Penyerahan Watikah Rakan Cop Kepada Organisasi Belia Negeri Sabah, dengan rasminya. 

 

Sekian, terima kasih.