UCAPAN Y.A.B. DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN, KETUA MENTERI SABAH, DI MAJLIS PERHIMPUNAN SAMBUTAN MAULIDUR RASUL PERINGKAT NEGERI 1431H/2010M, DI DEWAN SAADAH

WISMA MUIS, PADA 26 FEBRUARI 2010

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat dan izin-Nya, kita sekali lagi dapat bersama-sama dalam Majlis Perhimpunan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sabah bagi tahun 1431H/2010M. Sesungguhnya, kelangsungan majlis ini membuktikan kesungguhan dan komitmen berterusan kerajaan dalam memperingati hari keputeraan, mengagungkan kerasulan dan keperibadian mulia Nabi Muhammad S.A.W.

Dalam konteks ini, sebagai umat Islam, kita perlulah menterjemahkan mesej di sebalik sambutan Maulidur Rasul ini dan tidak melihatnya sebagai penganjuran tahunan hari kebesaran Islam semata-mata. Sebaliknya, kita wajar  menganalisa dan menghayati segala tindakan dan pendekatan Baginda dalam mentransformasi kehidupan umat Islam hari ini ke arah kejayaan dan kegemilangan, sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab, ayat 21 yang bermaksud:

"Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah (dalam masa susah dan senang)."

Sehubungan dengan itu, suka saya mengajak seluruh umat Islam di negeri ini agar meneladani dan mencontohi akhlak dan kepimpinan Rasulullah SAW yang berjaya menyatupadukan masyarakat Arab yang berpuak-puak, melaksanakan sistem politik dan pentadbiran yang cekap, menjana ekonomi dan menjamin sistem sosial yang adil untuk semua rakyat yang akhirnya berjaya memacu kemajuan dan kemakmuran kepada masyarakat dan negara.

Justeru, akhlak dan kepimpinan Rasulullah SAW perlu dijadikan panduan untuk memantapkan kualiti kepimpinan sama ada dalam organisasi politik, pentadbiran, ekonomi, sosial mahupun badan-badan bukan kerajaan (NGO).

Tema sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini, iaitu ‘Memantap Ukhuwah Memperkasa Ummah’ amat bertepatan dengan keadaan semasa terutamanya  pelbagai cabaran yang dihadapi umat Islam ketika ini. Justeru, saya menyeru agar marilah kita memantapkan ukhuwah dan mengukuhkan silaturrahim sesama umat Islam kerana hanya dengan kesatuan dan perpaduan yang jitu, umat Islam akan menjadi umat yang cemerlang dan dihormati.

Dalam pada itu, sesuai dengan semangat gagasan 1Malaysia dan konteks masyarakat majmuk negara kita, semangat muhibah, perpaduan dan kerjasama dengan masyarakat pelbagai kaum, agama dan budaya juga perlulah dipelihara. Ini amat penting kerana mengekalkan keharmonian dan perpaduan masyarakat berbilang kaum, adalah tanggungjawab kita bersama dan manfaatnya akan dinikmati oleh seluruh ahli masyarakat dengan adanya kestabilan politik, kemajuan ekonomi dan kemakmuran sosial, seperti yang kita nikmati kini.

Keadaan inilah yang membolehkan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dapat merancang dan seterusnya melipatgandakan lagi usaha bagi memastikan kesinambungan pelaksanaan dasar dan program-program pembangunan untuk meningkatkan kesejahteraan umat Islam dan rakyat pada keseluruhannya.

Akhir kata, marilah kita memanfaatkan sambutan Maulidur Rasul ini dengan kembali menghayati ajaran Islam dan mencontohi keperibadian, semangat dan daya juang serta akhlak Baginda Nabi Muhammad SAW untuk mengukuhkan lagi kesatuan dan kekuatan kita dalam menghadapi pelbagai cabaran dan seterusnya memartabatkan lagi kejayaan umat Islam ke mercu kegemilangan, InsyaAllah.

Sekian, wabillahi taufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.