UCAPAN Y.A.B. DATUK SERI PANGLIMA
MUSA HAJI AMAN, KETUA MENTERI SABAH MERANGKAP PENGERUSI KUMPULAN SAWIT KINABALU,
SEMPENA MAJLIS MAKAN MALAM TAHUNAN KUMPULAN SAWIT KINABALU, PADA 27 FEBRUARI 2010
DI MAGELLAN SUTERA HOTEL
Puji dan syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan
limpah izin-Nya, kita dapat bersama-sama pada Majlis Makan Malam Tahunan
Kumpulan Sawit Kinabalu. Setinggi-tinggi
penghargaan dan terima kasih kepada pihak pengurusan Kumpulan Sawit Kinabalu
kerana telah mengundang saya dan isteri untuk bersama-sama dalam majlis ini.
Saya berasa amat gembira kerana dapat
bersama-sama tuan-tuan dan puan-puan dan ini merupakan satu penghargaan dan sokongan kuat Kumpulan
Sawit Kinabalu terhadap Kerajaan Negeri dalam memajukan pembangunan industri
kelapa sawit di Sabah.
Meskipun pencapaian Kumpulan
Sawit Kinabalu sepanjang tahun 2009 yang lalu kurang memberangsangkan
berbanding tahun sebelumnya, namun saya berpendapat bahawa perolehan keuntungan
sebanyak RM82 juta adalah satu kejayaan. Ini kerana sepanjang tahun lalu kita
berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi global yang turut memberikan impak
kepada ekonomi domestik termasuk industri kelapa sawit.
Bagaimanapun, saya yakin
dan optimis bahawa sasaran keuntungan sebanyak RM200 juta bagi tahun 2010 ini
akan dapat dicapai memandangkan inisiatif pemulihan ekonomi yang kita
laksanakan ketika ini menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Pertama dan Kedua telah
pun memperlihatkan kesan yang sangat positif.
Saya juga yakin Sawit
Kinabalu dapat merealisasikan matlamat tersebut berdasarkan kepada langkah-langkah
strategik yang sedang dilaksanakan oleh pihak pengurusan syarikat dalam
memantapkan lagi prestasi syarikat selaku antara peneraju industri kelapa sawit
di Sabah.
Dalam menjayakan gagasan ‘1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian
Diutamakan’ dan Program Transformasi Kerajaan (GTP), saya percaya Kumpulan
Sawit Kinabalu juga berupaya merealisasikan hasrat murni kerajaan ini
memandangkan kebanyakan program pembangunan kelapa sawit syarikat melibatkan
rakyat di kawasan luar bandar yang menjadi antara fokus dan teras kedua-dua program
tersebut.
Saya percaya, Kumpulan
Sawit Kinabalu sebagai jentera utama pelaburan Kerajaan Negeri
dalam industri kelapa sawit, akan turut menyumbang kepada kejayaan Bidang
Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang menjadi teras GTP di samping menjalankan misi dan matlamat
perniagaannya dalam memartabatkan industri kelapa sawit sebagai salah satu nadi
ekonomi Negeri Sabah.
Akhir kata, saya menaruh penuh harapan dan keyakinan yang
tinggi terhadap kepimpinan dan barisan pengurusan serta semua warga Kumpulan Sawit
Kinabalu untuk sentiasa mengamalkan budaya kerja yang produktif dan dinamik bagi
melonjakkan syarikat ini ke persada antarabangsa.
Sekian, terima kasih.