UCAPAN Y.A.B. DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN,
KETUA MENTERI SABAH, SEMPENA MAJLIS SENTUHAN KASIH PETRONAS, DI DEWAN
SERBAGUNA, RUMAH WARGATUA
22 FEBRUARI 2010
Bersyukur kita kehadrat Allah SWT kerana dengan izin
dan limpah kurnia-Nya kita dapat bersama-sama dalam Majlis Sentuhan Kasih
anjuran PETRONAS sempena dengan sambutan Tahun Baru Cina 2010.
Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur
atas jemputan ini dan memuji inisiatif murni PETRONAS yang jelas membuktikan
keprihatinan yang tinggi terhadap golongan yang memerlukan terutamanya semasa
musim perayaan.
Sebagai sebuah badan korporat, PETRONAS merupakan
salah satu syarikat yang sentiasa komited dalam mengadakan pelbagai program
kemasyarakatan. Sememangnya diakui bahawa sumbangan PETRONAS kepada pembangunan
dan kemajuan ekonomi negara amat besar terutamanya dalam sektor industri minyak
dan gas. Bermula dari sebuah syarikat yang kecil, namun dengan usaha gigih dan
komitmen tinggi warganya di semua peringkat, kini ia tersenarai di antara 100
syarikat terbesar dan berjaya di dunia.
Saya benar-benar merasa bangga melihat PETRONAS
sebagai sebuah syarikat milik penuh negara, telah ditadbir dan diuruskan dengan
begitu cemerlang dan profesional oleh anak jati
Inisiatif dan
keprihatinan PETRONAS menganjurkan program ini bukan sahaja membuktikan
komitmen syarikat ini dalam menunaikan tanggungjawab sosial korporat (CSR),
tetapi ia juga bertepatan dengan konsep
1Malaysia. Sebagai sebuah negara yang rakyatnya terdiri daripada berbilang
kaum, etnik dan budaya, amat penting bagi kita untuk terus memupuk semangat
perpaduan dan muhibah sesama kita. Sikap saling hormat-menghormati akan
mewujudkan persefahaman, memupuk keharmonian hidup bermasyarakat dan seterusnya
mengekalkan keamanan dan kemakmuran negara.
Justeru, dengan adanya
sumbangan dan komitmen dari pelbagai pihak termasuklah sektor korporat
seperti PETRONAS melalui program
sentuhan kasih ini, saya pasti usaha-usaha kita untuk memperkukuhkan lagi
semangat perpaduan akan dapat dipertingkatkan. Dalam konteks ini, saya menggesa
agar lebih banyak lagi syarikat swasta dan sektor korporat tampil dan
mencontohi inisiatif PETRONAS ini.
Bantuan yang diberikan
oleh PETRONAS kepada rumah ini amatlah bermakna sekali. Sumbangan ini pastinya
sedikit sebanyak akan meringankan bebanan pengurusan pihak pentadbiran rumah
ini di samping mewujudkan suasana yang lebih selesa kepada penghuni-penghuni di
sini. Saya juga merasakan bahawa kehadiran kita ke majlis ini akan menceriakan
dan menggembirakan para penghuni rumah wargatua ini.
Akhir kata, saya sekali
lagi merakamkan penghargaan kepada PETRONAS atas jemputan ini dan berharap agar
usaha-usaha murni seperti ini akan terus diadakan pada masa-masa akan datang
bagi mewujudkan masyarakat yang penyayang dan sejahtera demi kemajuan dan
kemakuran rakyat dan negeri pada keseluruhannya. Selamat Tahun Baru Cina, Gong
Xi Fa Cai.
Dengan harapan tersebut,
saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Program Sentuhan Kasih PETRONAS,
sempena Tahun Baru Cina 2010.
Sekian, terima kasih.