UCAPAN Y.A.B. DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN, DI MAJLIS JAMUAN TENGAH HARI DAN PEMIMPIN BERSAMA RAKYAT DENGAN

Y.A.B. TIMBALAN PERDANA MENTERI, DI DEWAN SRI LIBARAN

SANDAKAN, 2 DISEMBER 2009

 

Syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan rahmat dan izin-Nya, kita berpeluang untuk bersama-sama dalam Majlis Jamuan Tengah Hari dan Pemimpin Bersama Rakyat yang diadakan khusus bagi meraikan Y.A.B. Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Mohd. Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Timbalan Presiden UMNO, sempena lawatan kerja ke Sabah, Negeri Di Bawah Bayu.

 

Bagi pihak Kerajaan Negeri, para pemimpin UMNO dan Barisan Nasional serta seluruh rakyat Sabah, saya mengalu-alukan kesudian Y.A.B. Tan Sri berserta rombongan, ke Negeri Sabah, khususnya ke Pantai Timur. Meskipun sibuk dengan tanggungjawab yang diamanahkan, ternyata Y.A.B. Tan Sri tidak pernah melupakan rakyat Sabah, termasuklah di kawasan Pantai Timur, yang merupakan kubu kuat UMNO dan Barisan Nasional.

 

Melalui majlis perjumpaan seperti ini, kita bukan sahaja dapat bersua muka dan berjabat salam dengan pemimpin yang kita kasihi, bahkan ia dapat mengukuhkan lagi silaturrahim dan kerjasama sesama kita. Ini terutama antara pucuk pimpinan kerajaan dan parti di peringkat pusat dengan para pimpinan parti dan kerajaan di peringkat negeri dan bahagian serta ketua-ketua jabatan dan pemimpin masyarakat di peringkat akar umbi.

 

Lawatan Y.A.B. Tan Sri yang juga sebagai Menteri Pelajaran sememangnya amat signifikan terutama dalam usaha kita untuk memperkasa sektor pendidikan dan memartabatkan profesion keguruan di Negeri Sabah. Antaranya untuk merasmikan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Kampus Tawau dan seterusnya melawat ke Sandakan Education Hub (Hab Pendidikan Sandakan).

 

Apabila siap kelak, Hab Pendidikan Sandakan ini akan menempatkan pelbagai institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang berupaya menampung lebih daripada 20 ribu orang pelajar. Dengan ini, ia akan memberi lebih banyak peluang dan kemudahan kepada rakyat dari seluruh negara untuk melanjutkan pelajaran di Sabah.

 

Dalam hal ini, sudah tentu ia akan lebih memudahkan anak-anak tempatan kerana para ibu bapa tidak lagi perlu menghantar anak-anak mereka ke tempat lain dengan kos yang tinggi dan perbelanjaan yang besar. Ini kerana saya yakin dan percaya kualiti dan standard pengajian yang disediakan oleh pelbagai institusi pengajian tinggi awam dan swasta di hab pendidikan ini kelak, adalah setanding dengan institusi-institusi pengajian tinggi yang lain.

 

Sebagai negeri yang kedua terbesar dan pesat membangun, Sabah sememangnya memerlukan lebih banyak prasarana pendidikan yang lengkap terutama di kawasan luar bandar bagi melahirkan lebih ramai modal insan yang berkualiti. Ini amat penting bagi memastikan Sabah mempunyai tenaga profesional yang berkemahiran dan mencukupi bagi menjayakan pelbagai agenda pembangunan negeri seperti yang digariskan dalam Halatuju Pembangunan dan Kemajuan Negeri Sabah.

 

Dalam konteks ini, Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama dan berganding bahu dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan, khususnya menerusi Kementerian Pelajaran yang diterajui sendiri oleh Y.A.B. Tan Sri untuk melonjakkan lagi tahap kecemerlangan dan pencapaian kualiti pendidikan di Sabah. Dalam Bajet Negeri 2010, sejumlah 248.42 juta diperuntukkan untuk pembangunan modal insan bagi melahirkan generasi berilmu, berdaya saing dan berinovatif.

 

Bagi pihak UMNO dan Barisan Nasional Sabah, kami akan terus memantapkan lagi kerjasama dan semangat perpaduan dan setiakawan yang jitu sebagai keluarga besar Barisan Nasional, bagi memastikan Sabah terus unggul sebagai kubu kuat dan simpanan tetap Barisan Nasional, yang sukar dicabar dan diganggu gugat.

 

Inilah budaya kerja dan tradisi kita dalam UMNO dan Barisan Nasional. Kita turun padang, mendekati rakyat, memahami kehendak dan keperluan rakyat, menyelesaikan masalah rakyat sesuai dengan gagasan Y.A.B Perdana Menteri, 1Malaysia: Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan. Usaha ini akan terus kita perhebatkan dengan sokongan padu yang diberikan oleh rakyat seluruhnya.

 

Saya yakin dan percaya, lawatan ini pastinya akan memperkukuhkan lagi hubungan akrab dan kerjasama yang erat, antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan, terutama dalam meneruskan agenda pembangunan untuk kemakmuran dan kesejahteraan yang berkekalan.  Lawatan Y.A.B. Tan Sri ini juga  juga sesungguhnya, melambangkan keprihatinan dan sokongan berterusan Kerajaan Persekutuan terhadap rakyat, dalam memperkasa dan menjana kecemerlangan sektor pendidikan di negeri yang bertuah ini.

 

Dengan sokongan padu daripada pucuk pimpinan negara, dengan komitmen yang jitu daripada sektor awam dan swasta serta parti-parti komponen Barisan Nasional negeri, ditambah lagi dengan mandat besar dari rakyat, insya Allah, Sabah akan terus kita bangunkan, sesuai dengan janji kita semasa pilihan raya, dan selaras dengan program-program pembangunan yang sedang rancak dilaksanakan di seluruh negeri.

 

Sebelum mengakhiri ucapan, saya sekali lagi mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Y.A.B. Tan Sri dan rombongan, atas lawatan kerja ke Negeri Di Bawah Bayu ini, dan seterusnya bertemu serta beramah mesra dengan pemimpin dan rakyat Sabah.

 

Sekian, Wabillahitaufiq Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.