UCAPAN Y.A.B. DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN, KETUA MENTERI SABAH, SEMPENA MAJLIS PENYAMPAIAN SEDEKAH JARIAH AL-MUBARAK, MASJID BANDARAYA KOTA KINABALU

PADA 14 SEPTEMBER 2009, DI RUANG ANJUNG, MASJID BANDARAYA

KOTA KINABALU

 

 

Alhamdulillah, pada pagi yang mulia ini marilah kita sama-sama memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t. kerana telah menganugerahi kita kesihatan untuk kita terus mengimarahkan kehadiran Bulan Ramadan al-Mubarak yang penuh dengan kemuliaan dan barakah ini dengan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat.

 

Pada kesempatan ini, saya mengucapkan terima kasih kepada Ahli Jawatankuasa Masjid Bandaraya Kota Kinabalu kerana sekali lagi telah memberi peluang kepada saya untuk sama-sama hadir dalam Majlis Penyampaian Sedekah Jariah Al-Mubarak, Masjid Bandaraya Kota Kinabalu ini.

 

Saya juga mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada seluruh Jawatankuasa Masjid Bandaraya Kota Kinabalu kerana telah berjaya meneruskan majlis penyampaian sedekah jariah ini setiap kali hadirnya Bulan Ramadan pada setiap tahun.  Saya berharap, usaha murni yang dilakukan oleh Jawatankuasa Masjid Bandaraya Kota Kinabalu ini akan dapat diteruskan serta dimantapkan lagi dari semasa ke semasa.

 

Selaras dengan kehendak dan tuntutan semasa, institusi masjid pada hari ini tidak semestinya hanya memikirkan pembangunan agama semata-mata. Institusi masjid sebenarnya boleh memainkan peranan yang cukup besar dalam pembangunan ummah itu sendiri yang meliputi pelbagai aspek kehidupan. Ini termasuklah mendidik dan membangunkan rakyat dengan menyediakan peluang-peluang yang boleh menguntungkan pelbagai pihak, di samping institusi masjid dan juga negara secara keseluruhannya.

 

Konsep “untung di dunia dan untung di akhirat” yang dipelopori oleh Program Al-Mubarak di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu ini adalah contoh terbaik untuk diambil iktibar oleh semua ahli jawatankuasa setiap masjid dan surau di negeri ini.  Konsep inilah yang sebenarnya diseru kepada seluruh umat Islam kerana ia bukan sahaja dapat menjanjikan kesenangan di dunia tetapi yang lebih penting menjanjikan kepada kita kebahagiaan yang kekal abadi di akhirat nanti.

 

Justeru, saya berharap semua institusi masjid di negeri ini agar tidak mengehadkan peranan mereka hanya kepada soal-soal keagamaan semata-mata kerana pendekatan ini hanya akan menjadikan umat Islam dilihat sebagai umat yang ketinggalan dan berfikiran ke belakang.  Walhal dalam amalan sebenar, Islam amat menggalakkan umatnya supaya mengimarahkan institusi masjid lebih daripada peranan sebagai tempat beribadah atau bersolat.

 

Dalam hubungan ini, saya berasa bangga dengan peranan dan inisiatif yang telah ditunjukkan oleh Ahli Jawatankuasa Masjid Bandaraya Kota Kinabalu yang hingga ke saat ini dapat berdikari dengan memperoleh dana hasil usaha sendiri untuk menampung semua perbelanjaan pengurusan masjid seperti pembayaran upah pekerja, pelaksanaan program-program keagamaan dan kebajikan, selain berupaya membantu masyarakat Islam yang lain dalam program-program yang dinamakan Program Al-Mubarak, Program Palliatif dan Program Dakwah dan Pendidikan.  Mudah-mudahan usaha proaktif ini akan menjadi contoh teladan terbaik buat masjid-masjid mahupun surau-surau yang ada di negeri ini.

 

Seperti yang kita sedia maklum, pada pagi ini penyampaian sedekah jariah akan dilakukan dengan kumpulan sasarannya difahamkan terdiri daripada golongan fakir miskin, anak-anak yatim, ibu tunggal serta golongan yang tidak berkemampuan. Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak sama ada syarikat mahupun individu-individu tertentu yang bermurah hati menderma bagi menjayakan majlis ini.

 

Pada masa yang sama, saya berharap lebih ramai lagi dermawan akan tampil ke hadapan untuk menghulur bantuan sambil bersedekah kepada saudara-saudara kita yang amat memerlukan bantuan.  Sesungguhnya, kita akan beroleh pahala yang berlipat ganda apabila kita menjayakan amalan bersedekah ini semasa di Bulan Ramadan. 

 

Walau bagaimanapun, saya turut berharap agar amalan menderma dan bersedekah ini tidak hanya dilangsungkan di Bulan Ramadan sahaja.  Amalan bersedekah atau beramal jariah ini seharusnya juga dijayakan pada bulan-bulan lain sebagai salah satu langkah bersama kita ke arah memperkasakan ekonomi umat Islam. 

 

Di samping itu, kita juga berupaya membentuk satu kekuatan yang hebat dan mampu mewujudkan sebuah dana yang besar serta boleh berperanan membangunkan sosioekonomi masyarakat kita dengan lebih berkesan.  Ini harus digerakkan secara serius melalui penyediaan prasarana beramal jariah secara professional serta mendapat sokongan padu daripada semua lapisan masyarakat, termasuklah agensi-agensi kerajaan dan swasta yang sememangnya menghasilkan banyak keuntungan perniagaan.

 

Sekiranya kedua-dua perkara yang saya sebutkan tadi iaitu, memperkasakan institusi masjid dan institusi amal jariah dapat kita martabatkan secara bersama, saya yakin dan percaya, ekonomi umat Islam akan berjaya dibangunkan dengan pendekatan-pendekatan yang lebih realistik dan memenuhi keperluan serta kehendak semasa.  Di samping itu, pembangunan ekonomi umat Islam akan berjaya dilonjakkan pada satu tahap yang boleh menjadikan umat Islam kembali cemerlang seperti yang pernah dikecapi semasa era kegemilangan kerajaan dan tamadun Islam terdahulu.

 

Memandangkan pada hari ini Masjid Bandaraya Kota Kinabalu telah banyak melaksanakan apa yang dirancang oleh kerajaan, termasuklah pelaksanaan Islam Hadhari yang sebenar, maka saya berharap Masjid Bandaraya Kota Kinabalu akan terus mempelopori agenda pembangunan ummah ini dengan lebih memfokuskan kepada usaha-usaha ke arah memperkasakan ekonomi umat Islam.  Saya yakin, dengan kekuatan sedia ada yang dimiliki oleh Masjid Bandaraya Kota Kinabalu serta dibantu hasil sumbangan daripada syarikat-syarikat dan individu-individu tertentu, usaha-usaha pembangunan ekonomi ini akan dapat dilaksanakan dengan lebih berjaya.

 

Saya juga mengucapkan tahniah kepada Jawatankuasa Masjid Bandaraya kerana turut memberi perhatian kepada aspek pembangunan pendidikan anak-anak dengan menyediakan madrasah untuk anak-anak di sekitar kawasan ini menimba ilmu pengetahuan.  Usaha ini sebenarnya selari dengan tuntutan Islam yang mewajibkan kita untuk menuntut ilmu agar kita menjadi masyarakat yang berpengetahuan. 

 

Justeru, saya amat mengalu-alukan inisiatif yang diambil oleh Masjid Bandaraya Kota Kinabalu untuk membina bangunan sendiri untuk madrasah ini.  Ini bukan sahaja akan memberi keselesaan kepada anak-anak yang belajar di dalamnya, bahkan juga akan membentuk satu imej baru kepada Masjid Bandaraya Kota Kinabalu ini.  Mudah-mudahan segala amal dan aktiviti oleh Masjid Bandaraya Kota Kinabalu yang dilakukan ke arah kebaikan ini akan mendapat ganjaran yang sebesar-besarnya daripada Allah S.W.T.  Insya Allah.

 

Akhir sekali, sebagai mewakili isteri dan keluarga, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Berpuasa dan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tiba tidak lama lagi.  Maaf Zahir dan Batin.

 

Sekian, wabillahittaufiq walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.