UCAPAN Y.A.B. DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN, KETUA  MENTERI  SABAH SEMPENA MAJLIS PERAYAAN HARI GURU PERINGKAT NEGERI SABAH 2009, DI DEWAN DATUK LEE SEN S.M. KEN HWA, KENINGAU, PADA 5 JUN 2009, PUKUL 9.00 PAGI

 

Pertamanya, marilah kita memanjatkan setinggi-tinggi rasa syukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah kurnia serta izin-Nya, kita berpeluang untuk berhimpun bersama-sama pada pagi ini sempena sambutan perayaan Hari Guru Peringkat Negeri Sabah 2009. Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada seluruh warga pendidik di negeri ini sempena sambutan perayaan Hari Guru Peringkat Negeri Sabah kali ke-38.

 

Sesungguhnya, majlis ini juga amat bermakna dan pastinya akan menjadi kenangan manis terutamanya dalam kalangan warga pendidik di negeri ini kerana ia turut dihadiri oleh tetamu istimewa kita, Y.A.B. Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Mohd. Yassin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia.  Saya mengambil kesempatan ini untuk mengalu-alukan kehadiran Y.A.B. Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Mohd. Yassin, Timbalan Perdana Menteri ke Negeri Sabah, yang seterusnya akan menyempurnakan perasmian sambutan perayaan Hari Guru Peringkat Negeri sebentar nanti.

 

Bagi pihak Kerajaan Negeri, seluruh pemimpin serta rakyat negeri ini, saya juga mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Y.A.B. Tan Sri atas pelantikan sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang juga diberi tanggungjawab untuk mengetuai Kementerian Pelajaran Malaysia.  Justeru saya berharap, kehadiran Y.A.B. Timbalan Perdana Menteri ini akan menyemarakkan lagi semangat, komitmen serta iltizam seluruh warga pendidik di negeri ini untuk terus berjuang mendidik generasi pelajar menjadi insan yang berkualiti dan berilmu.

 

Kerajaan Negeri sentiasa meletakkan agenda pembangunan pendidikan sama penting dengan agenda pembangunan yang lain.  Ini kerana melalui pendidikan, kita bukan sahaja mampu membangunkan modal insan yang berkualiti, berintelek dan berkemahiran tetapi juga berupaya menjadi platform penting bagi meningkatkan daya saing kita di peringkat global. Penekanan ini selaras dengan strategi ketiga Bajet Negeri 2009 iaitu, “memesatkan pembangunan modal insan sebagai pemangkin kepada pertumbuhan serta penyertaan dalam ekonomi moden dan bagi meningkatkan daya saing”.

 

Kesungguhan Kerajaan Negeri dalam memperkasakan agenda pembangunan modal insan ini telah diterjemahkan melalui peruntukkan sejumlah RM188.14 di bawah Bajet Negeri 2009 bagi merealisasikan agenda tersebut.

 

Kerajaan Negeri juga membangunkan modal insan bagi menjayakan pelaksanaan beberapa inisiatif pembangunan yang penting, termasuklah Koridor Pembangunan Sabah (SDC) dan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).  Ini kerana Kerajaan Negeri percaya bahawa kejayaan SDC memerlukan ramai tenaga pakar bagi menjayakan pelbagai bidang strategik yang telah dikenal pasti.  Usaha ini hanya boleh dijayakan melalui modal insan yang berkualiti, berilmu serta berkemahiran hasil daripada proses pendidikan yang berkesan. Justeru, Kerajaan Negeri akan memastikan pembangunan modal insan ini terus diperkasakan, selaras dengan apa yang dihasratkan di peringkat nasional.

 

Selaras dengan Program Lonjakan Mega Pendidikan Luar Bandar, Kerajaan Negeri akan terus memberi tumpuan secara serius kepada usaha-usaha bagi merapatkan jurang antara pendidikan di luar bandar dengan pendidikan di bandar.  Ini kerana masih terdapat banyak kawasan luar bandar dan pedalaman yang memerlukan perhatian sewajarnya, terutamanya dari segi prasarana sokongan, kemudahan pembelajaran dan tenaga pendidik yang berkualiti.

 

Dalam hubungan ini, Kerajaan Negeri akan sentiasa bekerjasama rapat dengan Kementerian Pelajaran Malaysia bagi memacu lebih banyak perubahan dan pembaharuan dalam bidang pendidikan di negeri ini.  Kerajaan Negeri terus komited bagi memastikan masyarakat luar bandar, khususnya dalam kalangan para pelajarnya, juga menjadi sebahagian daripada modal insan yang akan menjana kemajuan serta kemakmuran untuk negeri dan negara ini secara keseluruhannya.

 

Sumbangan pendidikan terhadap kemakmuran negara melalui peranan dan dedikasi para guru sememangnya tidak dapat dinafikan. Atas faktor inilah, para guru wajar dimartabatkan sebagai insan yang bertanggungjawab dalam membina negara bangsa, seperti yang digambarkan menerusi tema sambutan Hari Guru pada tahun ini iaitu, “Guru Pembina Negara Bangsa”.

 

Sesungguhnya, kejayaan pembangunan pendidikan bukan hanya terletak pada penyediaan prasarana yang canggih dan moden semata-mata, tetapi juga harus disokong dengan komitmen serta kesungguhan untuk berbakti bagi membentuk generasi yang berilmu, berketrampilan, berakhlak mulia serta yang paling penting, bersedia untuk menggalas tanggungjawab yang lebih besar selaku generasi pemimpin pelapis bagi meneruskan kesinambungan kemakmuran dan kemajuan untuk negara yang tercinta ini. InsyaAllah.

 

Bagi pihak seluruh pemimpin serta rakyat Sabah, saya sekali lagi merakamkan jutaan terima kasih kepada semua guru di negeri ini atas segala jasa dan khidmat bakti yang telah dicurahkan dalam memberikan pendidikan terbaik kepada anak-anak watan di negeri ini.  Sesungguhnya, jasa dan pengorbanan para guru sekalian akan sentiasa terpahat abadi dalam ingatan dan akan tetap dikenang sepanjang hayat.

 

Sebelum mengakhiri ucapan, bagi pihak Kerajaan Negeri serta seluruh rakyat negeri ini, saya sekali lagi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas kesudian Y.A.B. Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Mohd. Yassin, Timbalan Perdana Menteri melakukan lawatan ke negeri ini seterusnya menyempurnakan sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Sabah.

 

Sekian.