TEKS UCAPAN Y.A.B. DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN

KETUA MENTERI SABAH SEMPENA MAJLIS PELANCARAN

MINGGU PERPADUAN PERINGKAT NEGERI SABAH 2009

DI DEWAN MASYARAKAT SANDAKAN PADA 21 JUN 2009

 

Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan rahmat-Nya, kita dapat bersama-sama hadir di Majlis Pelancaran Minggu Perpaduan Peringkat Negeri Sabah 2009 dalam suasana yang aman, harmoni dan penuh dengan semangat perpaduan yang kukuh.

 

Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Jabatan Perdana Menteri khususnya kepada Y.B. Senator Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri atas penghormatan yang diberikan kepada saya untuk merasmikan program ini. Saya berasa amat gembira dengan kehadiran yang begitu ramai dan sokongan pelbagai pihak dalam menjayakan Minggu Perpaduan Peringkat Negeri Sabah 2009.

 

Sesungguhnya ini merupakan petanda yang positif  yang jelas membuktikan sokongan padu rakyat terhadap usaha-usaha kerajaan bagi mengukuhkan lagi elemen integrasi dan semangat perpaduan di negara kita.

 

Usaha membentuk dan menyatupadukan masyarakat pelbagai etnik, budaya dan agama untuk menjadi bangsa Malaysia yang beridentitikan nasional bukanlah sesuatu yang mudah dan boleh dicapai dalam jangka masa yang singkat. Sebaliknya, ia adalah satu proses yang panjang dan berterusan yang menuntut komitmen dan iltizam semua pihak. Justeru, usaha-usaha yang dijalankan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional seperti penganjuran Karnival Rukun Tetangga sempena Minggu Perpaduan Peringkat Negeri ini sememangnya amat bertepatan dengan keadaan dan cabaran semasa.

 

Sesuai dengan gagasan Y.A.B. Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak menerusi Konsep ‘1 Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’, beliau sendiri telah memperakui bahawa Sabah merupakan contoh terbaik konsep ‘1 Malaysia’. Keharmonian, toleransi dan semangat perpaduan lebih daripada 32 suku kaum dan etniknya, adalah menepati salah satu ciri utama ‘1 Malaysia’ iaitu ‘acceptance’ atau penerimaan. Dalam hal ini, kita menerima dan menghargai kepelbagaian yang wujud dan seterusnya menjadikannya sebagai asas bagi menjana keupayaan dan kekuatan bagi faedah bersama. 

 

Justeru rakyat perlu terus menjadi nadi dan tunjang perpaduan dan kekuatan  negara yang berdaulat dan merdeka ini.  Sejak mencapai kemerdekaan sehinggalah ke hari ini, kerajaan telah melaksanakan pelbagai dasar dan program pembangunan dengan mengambil kira kepentingan dan kesejahteraan semua kaum. Matlamat akhir setiap dasar dan program yang dilaksanakan oleh kerajaan adalah untuk perpaduan rakyat.  Justeru, semangat perpaduan hendaklah dipelihara dan dipupuk secara berterusan kerana ia adalah nikmat yang tidak ternilai harganya.

 

Di samping bebas menjalankan amalan agama, bahasa dan budaya masing-masing sepertimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan, kerajaan juga sentiasa menghargai dan memberi sokongan kepada setiap kaum untuk memartabatkan adat dan budaya masing-masing termasuklah mengisytiharkan cuti umum bagi hampir setiap perayaan kaum di negara ini.  Kita juga mengiktiraf bahawa setiap kaum mempunyai identiti tersendiri yang perlu dipelihara dan dipertahankan.

 

Hidup harmoni, muhibah dan toleransi dalam suasana perpaduan dan integrasi tidak akan membuatkan kita hilang identiti.   Perpaduan memerlukan keikhlasan dalam kita sama-sama menikmati pembangunan negara tanpa sebarang perasaan syak wasangka. Kita perlu memupuk dan mengamalkan nilai-nilai hidup yang juga merupakan tanggungjawab setiap rakyat bagi melindungi serta mempertahankan kestabilan negara kita daripada sebarang ancaman perbalahan dan perpecahan.

 

Dalam konteks ini, saya menyeru semua pihak sama ada jabatan dan agensi kerajaan, sektor swasta, badan-badan bukan kerajaan, komuniti rukun tetangga, pemimpin dan rakyat keseluruhannya untuk bergabung tenaga dan idea dalam mengadakan aktiviti bagi mengukuhkan lagi semangat perpaduan dan kesatuan rakyat di semua peringkat.

 

Semangat ini juga boleh disemai melalui sistem pendidikan, peranan media massa dan juga institusi sosial.  Meskipun sesetengah institusi ini beroperasi secara berasingan, namun agenda menyemarakkan semangat perpaduan haruslah bergerak selari dan saling melengkapi antara satu sama lain.  Dalam masa yang sama, peranan institusi keluarga juga sangat penting dalam memupuk semangat perpaduan, terutamanya di peringkat menyemai benih perpaduan dan kerjasama dalam kalangan anak-anak serta pergaulan dengan jiran tetangga yang berlainan bangsa dan agama.

 

Sesungguhnya usaha ke arah membudayakan perpaduan akan hanya menjadi slogan atau sekadar matlamat semata-mata, jika tidak diamalkan dengan penuh kesedaran dan keikhlasan oleh setiap anggota masyarakat.  Justeru, penganjuran program yang dapat mengukuhkan lagi integrasi dalam masyarakat seperti ini amatlah digalakkan dan perlu dipertingkatkan dan dimantapkan lagi pada masa-masa akan datang.

 

Akhir kata, saya sekali lagi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional atas penganjuran program ini. Saya berharap agar semua pihak terus memberikan sokongan dan komitmen yang tinggi bagi membentuk sebuah bangsa Malaysia yang bersatu padu dan mempunyai jati diri yang kukuh. Semoga semangat perpaduan dan integrasi sesama kita akan terus menjadi akar umbi dan tunjang kekuatan bagi menjana kemajuan negara demi untuk kesejahteraan kita bersama. 

 

Dengan harapan tersebut, saya dengan sukacitanya merasmikan Karnival Rukun Tetangga dan seterusnya melancarkan Minggu Perpaduan Peringkat Negeri Sabah 2009.

 

Sekian, terima kasih.