UCAPAN YANG AMAT BERHORMAT
DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN, KETUA MENTERI SABAH, DI MAJLIS PERASMIAN
PENUTUPAN PERKHEMAHAN PASUKAN KADET BERSATU MALAYSIA PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN
2009, BERTEMPAT DI LANDASAN TERBANG, KOTA BELUD, PADA 15 JUN 2009 (ISNIN),
PUKUL 8.30 PAGI
(Di sampaikan oleh Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin,
Timbalan Ketua Menteri/ Menteri Pertanian dan Industri Makanan)
1. Pertamanya, marilah kita
sama-sama panjatkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah
kurnia-Nya maka kita telah diberi kesempatan untuk berkumpul pada pagi ini bagi
menjayakan Majlis Perasmian Penutupan Program Perkhemahan Pasukan Kadet Bersatu
Malaysia Peringkat Kebangsaan bagi tahun 2009.
2. Saya mengucapkan berbanyak-banyak
terima kasih kepada Kementerian Pelajaran Malaysia dan Kementerian Pertahanan
Malaysia kerana telah memilih Negeri Sabah sebagai lokasi Perkhemahan PKBM
Peringkat Kebangsaan pada kali ini. Saya
berasa amat gembira kerana telah dimaklumkan bahawa program ini berjalan dengan
lancar tanpa banyak masalah serta terhindar daripada perkara-perkara yang tidak
diingini. Saya percaya, kejayaan ini
disumbangkan berkat kerjasama daripada semua pihak sehingga dapat memastikan
perjalanan program ini berjalan dengan baik dan sempurna. Insya-Allah, segala sumbangan bakti yang
telah dicurahkan untuk sama-sama melahirkan generasi cemerlang ini akan
mendapat ganjaran yang besar daripada Allah S.W.T.
3. Saya juga dimaklumkan
bahawa program ini adalah program yang disertai oleh Kontinjen PKBM dari
seluruh Malaysia. Perkhemahan ini telah
berlangsung dalam masa lebih kurang satu minggu dengan pelbagai aktiviti
perkhemahan dan pertandingan yang mampu membina jati diri para peserta,
khususnya sebagai generasi pelapis pemimpin yang berwibawa dan mampu berdaya
saing dalam menempuh era globalisasi yang kian mencabar dewasa ini.
4. Program ini juga telah
dapat menemukan berbagai-bagai bangsa, etnik dan budaya serta membentuk ke arah
masyarakat yang lebih bersopan dan bertanggungjawab. Peserta-peserta yang terlibat juga telah
berjaya menyelami erti perpaduan, kepentingan untuk saling menghormati antara
kaum, menanamkan rasa cinta kepada negara dan sanggup membantu untuk
mempertahankan kedaulatan negara. Secara
tidak langsung, ini merupakan salah satu pengisian ke arah mencapai matlamat
konsep ‘Satu Malaysia’ berdasarkan penglibatan semua Ahli Kadet daripada
pelbagai bangsa, budaya dan agama.
5. Walau apapun rintangan,
halangan dan cabaran yang dihadapi oleh para peserta, diharap tidak sedikitpun
mematahkan semangat dan hasrat untuk terus berjuang dalam bidang yang diceburi,
sekaligus mampu membina diri yang kental dan semangat juang yang tinggi. Masyarakat kini semakin matang dan mula
menerima hakikat bahawa keperluan pembangunan modal insan merupakan pendekatan
utama kerajaan ke arah mencapai masyarakat dan generasi maju menjelang tahun
2020. Justeru, program ini juga merupakan
salah satu platform secara langsung kepada golongan remaja dalam menyediakan
mereka dari segi pertahanan fizikal, mental dan kerohanian bagi menghadapi
pelbagai cabaran pada masa hadapan.
6. Saya turut difahamkan
bahawa objektif sebenar program ini, antaranya, untuk meningkatkan semangat
patriotisme dalam kalangan generasi muda, memupuk semangat perpaduan kaum serta
integrasi nasional, membentuk perwatakan positif menerusi nilai-nilai murni,
menyemarakkan semangat kesukarelaan dan melahirkan generasi muda yang lebih
cergas, cerdas dan penuh jati diri.
7. Dalam kesempatan ini,
sukalah saya berpesan kepada para peserta sekalian bahawa peluang dan
pengalaman menyertai program perkhemahan ini adalah peluang yang amat berharga
dalam hidup anda. Justeru, gunakanlah
segala kesempatan dan ruang ini untuk memperkayakan dengan pelbagai ilmu pengetahuan
dan kemahiran bagi mempersiapkan diri menjadi insan yang lebih cekal dan cergas
dalam hidup, serta mampu menjadi warganegara yang benar-benar dapat menyumbang
kepada pembangunan dan kesejahteraan negara.
8. Sebelum mengakhiri ucapan
ini, bagi pihak Kerajaan Negeri Sabah, saya mengucapkan syabas dan tahniah
kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun secara tidak langsung
dalam menjayakan program perkhemahan Kadet Bersatu Malaysia Peringkat
Kebangsaan pada tahun ini.
9. Saya berdoa kepada Allah
S.W.T agar segala yang kita sumbangkan dalam menjayakan program perkhemahan ini
sentiasa mendapat keberkatan daripada Allah S.W.T. Kepada semua peserta dan pasukan yang
terlibat, selamat pulang ke destinasi masing-masing dan diharapkan agar meneruskan
perjuangan untuk terus maju ke hadapan.
Sekian, wabillahittaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi
wabarakatuh.