UCAPAN Y.A.B. DATUK SERI
PANGLIMA MUSA HAJI AMAN, KETUA MENTERI SABAH, SEMPENA MAJLIS RUMAH TERBUKA
MALAYSIA TADAU KAAMATAN 2009, DI PADANG MERDEKA, KOTA KINABALU, PADA 07 JUN 2009,
PUKUL 4.00 PETANG.
(Disampaikan oleh YB. Datuk
Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan,
Timbalan Ketua
Menteri/Menteri Pembangunan Infrastruktur)
1. Terlebih dahulu, marilah
kita memanjatkan setinggi-tinggi rasa syukur ke hadrat Ilahi atas limpah rahmat
dan kurnia-Nya, kita sekali lagi dapat bersama-sama menghadiri dan seterusnya
menjayakan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Tadau Kaamatan pada tahun ini. Bagi pihak Kerajaan Negeri dan seluruh rakyat
Sabah, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih serta mengalu-alukan
kehadiran Y.A.B. Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Mohd. Yassin, Timbalan Perdana
Menteri Malaysia dan Y.A.Bhg. Puan Sri Datin Hajah Norainee Haji Abdul Rahman
ke Negeri Sabah sempena Majlis Rumah Terbuka Malaysia Tadau Kaamatan 2009.
2. Saya juga mengucapkan terima
kasih kepada Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Penerangan, Komunikasi
dan Kebudayaan Malaysia, khususnya kepada Y.B. Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim atas
komitmen untuk meneruskan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Pesta Kaamatan ini
sebagai perayaan nasional yang sesungguhnya kaya dengan warisan tradisi dan
budaya yang sungguh unik dan istimewa.
3. Dalam kesempatan ini, saya
mengucapkan Kotobian Tadau Tagazo Do
Kaamatan kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya kepada masyarakat
KadazanDusun dan Murut di seluruh negara. Seperti yang kita sedia maklum,
perayaan Tadau Kaamatan diadakan sebagai menandakan rasa syukur ke atas hasil
tuaian padi yang melimpah ruah, sambil melahirkan harapan agar hasilnya akan
lebih meningkat lagi pada masa akan datang. Semangat kesyukuran ini turut diterjemahkan
menerusi pelbagai aktiviti perayaan dan kesyukuran yang diadakan sepanjang
bulan Mei pada setiap tahun.
4. Perayaan Tadau Kaamatan merupakan
manifestasi ekonomi, sosial dan budaya Negeri Sabah yang perlu dihayati bukan
sahaja oleh masyarakat KadazanDusun dan Murut tetapi juga oleh pelbagai lapisan
rakyat di negara ini. Sepertimana yang
kita saksikan pada hari ini, rakyat dari pelbagai kaum, agama dan budaya
membanjiri Padang Merdeka bukan sahaja untuk menyaksikan pelbagai acara yang
diadakan, tetapi juga turut sama menjayakan program ini. Ia jelas membuktikan
betapa kukuhnya semangat perpaduan dan muhibah sesama kita dalam negara yang
berdaulat dan merdeka ini.
5. Keadaan ini sebenarnya menepati
ciri-ciri yang digambarkan oleh Y.A.B. Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd. Najib
Tun Abdul Razak menerusi konsep ‘1 Malaysia’. Dalam konteks ini, saya percaya
seluruh pemimpin dan rakyat di negeri ini berasa amat gembira dan terharu
apabila Y.A.B. Perdana Menteri sendiri telah mengiktiraf dan mengakui bahawa Negeri
Sabah merupakan contoh terbaik bagi menjayakan dan mendokong semangat ‘Satu
Malaysia’. Hakikatnya, inilah realiti kehidupan rakyat pelbagai kaum dan etnik di
Sabah yang perlu terus dipelihara dan dipertahankan.
6. Sesuai dengan ciri ‘acceptance’ atau penerimaan, yang
merupakan salah satu daripada lapan ciri yang terkandung dalam konsep ‘1
Malaysia’, kita di Sabah sama sekali tidak menjadikan kepelbagaian dan
kemajmukan kaum dan etnik sebagai batu penghalang atau jurang pemisah. Sebaliknya
dengan semangat toleransi yang tinggi, kita menerima dan memanfaatkan
kepelbagaian ini untuk menggembleng potensi dan kekuatan rakyat bagi menjadi
pemangkin kepada kestabilan politik, ekonomi dan sosial yang kita nikmati
selama ini.
7. Dengan semangat ‘1
Malaysia’, saya yakin ia akan mencetus kekuatan untuk kita mencipta lebih
banyak kejayaan bagi menjana masa depan yang lebih baik. Inilah juga antara
intipati tema perayaan Tadau Kaamatan pada tahun ini iaitu, “Bersama Membentuk Masa Depan Yang Lebih
Baik”. Justeru, saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia di Sabah agar terus
memperkukuhkan komitmen serta iltizam untuk sama-sama berusaha menghargai
pengiktirafan yang telah diberikan oleh pimpinan negara dalam konsep ‘ 1 Malaysia’
dan seterusnya melonjakkan imej negara
dan bangsa kita untuk terus berjaya dan disegani
di serata dunia.
8. Perayaan Tadau Kaamatan ini
juga mengandungi unsur-unsur positif sebagai pemangkin bagi mendepani pelbagai cabaran,
khususnya kelembapan ekonomi semasa. Memandangkan perayaan ini sangat berkait
rapat dengan sektor pertanian, maka pengiktirafan tinggi yang diberikan ke atas
perayaan ini akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri dengan terus memajukan
lagi sektor pertanian, terutamanya aktiviti penanaman padi bagi memenuhi
keperluan tempatan dan mengurangkan kebergantungan kepada beras import. Oleh
itu, saya berharap agar rakyat khususnya para petani dapat menghayati sepenuhnya
mesej di sebalik perayaan Tadau Kaamatan ini dan sentiasa mengukuhkan tekad serta
keazaman untuk terus meningkatkan produktiviti pengeluaran pertanian.
9. Suka saya menegaskan bahawa
Kerajaan Negeri menekankan pendekatan secara holistik dalam merancang dan
melaksanakan agenda pembangunan untuk kesejahteraan rakyat. Dalam konteks ini, perayaan
Tadau Kaamatan sebenarnya amat signifikan dengan pelaksanaan Koridor
Pembangunan Sabah (SDC) yang juga menekankan akan kepentingan untuk
memartabatkan warisan kebudayaan dan kesenian rakyat tempatan. Kekayaan dan
keunikan flora dan fauna serta hidupan marin, kepelbagaian budaya dan warisan
dengan keharmonian lebih daripada 32 kumpulan etnik telah menjadikan Negeri Di
Bawah Bayu ini sebagai bumi yang sungguh bertuah.
10. Justeru, saya menyeru kepada
segenap lapisan rakyat di negeri ini agar terus memberikan sokongan dan komitmen
yang tinggi kepada usaha-usaha pembangunan kerajaan dan memanfaatkan sepenuhnya
potensi, kekayaan dan anugerah Ilahi ini bagi meningkatkan lagi kesejahteraan,
keamanan dan kemakmuran untuk kita dan generasi yang akan datang.
11. Sebelum
mengakhiri ucapan, sekali lagi bagi pihak Kerajaan Negeri dan rakyat Sabah,
saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas kesudian Y.A.B. Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Mohd.
Yassin, Timbalan Perdana Menteri dan Y.A.Bhg. Puan Sri Datin Hajah Norainee Haji
Abdul Rahman hadir dan seterusnya meluangkan
masa untuk bersama-sama kita dalam majlis ini. Sekian, terima kasih.