UCAPAN Y.A.B. DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN, KETUA MENTERI SABAH
SEMPENA MAJLIS PERASMIAN PEMBUKAAN SUKAN SABAH (SAGA) IV 2009, PADA 8 JUN 2009
(ISNIN), DI STADIUM KOMPLEKS SUKAN SANDAKAN, PUKUL 7.40 MALAM.
(Disampaikan oleh YB. Datuk
Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan,
Timbalan Ketua
Menteri/Menteri Pembangunan Infrastruktur)
1. Pertamanya,
saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah kurnia serta
izin-Nya, kita dapat bersama-sama dalam Majlis Perasmian Pembukaan Sukan Sabah
atau ringkasnya SAGA Ke-IV, 2009 di Sandakan.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih saya ucapkan kepada
Jawatankuasa Induk yang dipengerusikan oleh Y.B. Datuk Peter Pang En Yin,
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Belia dan Sukan Sabah atas undangan kepada
saya bagi menyempurnakan perasmian kejohanan sukan yang berprestij ini. Saya juga
merakamkan ucapan terima kasih kepada Jawatankuasa Induk kerana telah memilih Sandakan
sebagai tuan rumah SAGA Ke-IV 2009.
2. Dasar
Sukan Negara adalah dasar sukan untuk semua.
Ia merangkumi Sukan Prestasi Tinggi dan Sukan Massa yang digubal
berlandaskan rasional bahawa segala kegiatan sukan adalah sebahagian daripada
rancangan pembangunan yang diusahakan oleh kerajaan untuk seluruh rakyat. Sukan berhak mendapat pengiktirafan dan
penggalakan yang sama sepertimana keperluan asasi sosial yang lain, bagi
membolehkan kerajaan mencapai pembangunan negara, perpaduan dan kestabilan yang
berterusan.
3. Sesuai
dengan hasrat tersebut, saya difahamkan bahawa penganjuran Sukan Sabah Ke-IV
ini mengalami sedikit perubahan berbanding tiga penganjuran yang pernah dibuat
sebelum ini. Daripada penyertaan yang
hanya terhad kepada enam zon, kejohanan ini kini difahamkan telah disertai oleh
25 buah kontinjen yang mewakili daerah-daerah dari seluruh Negeri Sabah. Saya juga dimaklumkan bahawa perubahan ini turut
melibatkan pertambahan jenis sukan yang dipertandingkan iaitu, daripada 9 jenis
sukan pada penganjuran SAGA Ke-III, 2007 kepada 18 jenis sukan yang
dipertandingkan dalam penganjuran pada tahun ini.
4. Justeru,
saya menyambut baik usaha proaktif Kementerian Belia dan Sukan Sabah dalam
melakukan penambahbaikan ke atas penganjuran kejohanan sukan ini yang sudah
tentu akan menyumbang ke arah peningkatan prestasi para atlet dan seterusnya melahirkan
lebih ramai atlet yang berpotensi. Saya juga memuji penganjuran kali ini yang merupakan
satu pencapaian yang terbaik dengan penyertaan lebih 4,000 orang atlet, bilangan
yang paling ramai dalam sejarah penganjuran Sukan Sabah.
5. Dalam
usaha untuk memajukan sukan di Negeri Sabah, kerajaan telah menyediakan
sejumlah peruntukan kewangan yang besar. Di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan
(RMKe-9), lebih daripada RM83 juta telah diperuntukkan yang meliputi usaha pembinaan
serta menaik taraf Kompleks-kompleks Sukan di daerah-daerah utama. Pada tahun ini, sejumlah RM6 juta telah
diperuntukkan bagi tujuan kemajuan sukan dan RM3.8 juta lagi diperuntukkan untuk
pembangunan belia. Selain daripada membina dan menyediakan prasarana sukan, kerajaan
melalui Kementerian Belia dan Sukan Sabah juga memberi geran tahunan kepada persatuan-persatuan
sukan negeri, membantu dalam penganjuran dan penyertaan pertandingan sukan
peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa serta memberi insentif dan pengiktirafan
kepada ahli-ahli sukan dan badan-badan sukan yang cemerlang di peringkat
kebangsaan dan antarabangsa.
6. Kerajaan
Negeri akan terus membina prasarana sukan di semua daerah sebagai usaha
sokongan bagi mewujudkan masyarakat berbudaya sukan. Manakala bagi melahirkan para pentadbir sukan
seperti jurulatih, pegawai teknikal dan pegawai fisioterapi yang berpengetahuan
serta berkepakaran tinggi, sistem pengurusan dan pentadbiran sukan yang
berkesan akan dilaksanakan. Budaya kerja
bermatlamat dan fokus ke arah melahirkan masyarakat sihat, cergas dan berdaya
saing pula akan terus diamalkan. Justeru,
saya berharap agar penganjuran SAGA ini akan menjadi medan untuk melahirkan
lebih ramai bakat muda dalam bidang sukan bagi mengharumkan nama Negeri Sabah di
peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
7. Dalam
pada itu, saya amat bersetuju agar Sukan Sabah ini dijadikan sebagai satu
karnival sukan yang melibatkan penyertaan rakyat tempatan sepenuhnya. Banyak
manfaat yang boleh diperoleh dengan berkecimpung dalam bidang sukan. Bergiat
aktif dalam aktiviti kecergasan, rekreasi atau bersukan sebenarnya boleh
membantu membina fizikal yang sihat dan minda yang cerdas. Kesihatan yang baik
membolehkan kita dapat menikmati kehidupan dengan lebih ceria dan lebih berkualiti.
8. Di
samping itu, sukan juga boleh dijadikan sebagai satu bidang kerjaya. Perkembangan sukan yang pesat di negara ini telah
berjaya mewujudkan banyak peluang kerjaya dalam bidang berkaitan sukan seperti
jurulatih, pegawai sukan sains perubatan, pegawai sains sukan dan juga sains
pemakanan. Paling penting, bidang sukan juga berupaya melahirkan belia berdaya
saing yang sentiasa memiliki semangat kesukanan, kesukarelaan dan kecekalan
mental yang tinggi. Modal insan seperti inilah yang diperlukan bagi menggerakkan
agenda pembangunan negara. Justeru, saya
melahirkan harapan yang tinggi agar kita terus melipatgandakan usaha bagi
merealisasikan hasrat murni kerajaan yang menyumbang ke arah kemajuan dan
kemakmuran rakyat dan negeri yang tercinta ini.
9. Sebelum
mengakhiri ucapan, saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan
tahniah dan syabas kepada semua pihak yang telah berusaha dengan gigih dan penuh
komitmen bagi merealisasikan penganjuran kejohanan SAGA Ke-IV 2009. Saya juga mengucapkan
tahniah kepada semua kontinjen yang terlibat bagi menjayakan kejohanan ini dan
seterusnya memastikan penganjuran sukan ini menjadi lebih meriah.
10. Kepada
semua atlet yang bertanding dalam SAGA Ke-IV ini, bertandinglah dengan penuh
semangat kesukanan yang tulen dan sekaligus mengharumkan nama Negeri Sabah di
peringkat yang lebih tinggi. Majulah Sukan Untuk Negara.
Dengan harapan tersebut, saya dengan
sukacitanya melancarkan Sukan Sabah Ke-IV, 2009, dengan rasminya.
Sekian, terima kasih.