TEKS UCAPAN Y.A.B. DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN

KETUA MENTERI SABAH, SEMPENA FESTIVAL SANDAKAN 2009

PADA 21 JUN 2009, DI PADANG BANDARAN SANDAKAN

 

 

Terlebih dahulu saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak penganjur atas penghormatan yang diberikan kepada saya untuk melancarkan Festival Sandakan kali ke-10. Saya berasa amat gembira kerana dapat bersama-sama dengan rakyat di Sandakan dan juga mengucapkan tahniah kepada Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) dan seluruh Ahli Jawatankuasa penganjur atas komitmen yang tinggi dan usaha yang konsisten dalam meneruskan kemeriahan, kegemilangan dan keunikan festival tahunan ini.

 

Kerajaan Negeri sentiasa menyokong apa juga inisiatif dan program yang dijalankan bagi mempromosi dan memanfaatkan potensi yang terdapat di sesuatu daerah. Dalam konteks festival ini,  sejak tahun 2005 Kerajaan Negeri melalui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri telah menyalurkan bantuan kewangan supaya ia dapat diadakan pada setiap tahun. 

 

Saya percaya, sepanjang 10 tahun festival ini telah dilangsungkan, ia berjaya menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi khususnya menerusi sektor pelancongan dengan kehadiran pelancong tempatan dan asing yang sentiasa menjadikan Sabah antara destinasi pelancongan mereka. Sehubungan dengan itu, saya menyeru kepada pihak penganjur agar sentiasa berusaha menonjolkan kelainan dan membuat nilai tambah kepada penganjuran festival ini pada setiap tahun.

 

Ia amat penting agar para pengunjung tidak hanya dipersembahkan dengan program-program yang sama, bagi memastikan festival ini terus berprestij dengan daya tarikan dan keunikan yang tersendiri. Saya berharap perkara ini dapat diberikan perhatian dan dipertimbangkan dalam penganjuran yang akan datang. Justeru, kesempatan ini hendaklah dimanfaatkan sepenuhnya bukan sahaja oleh pihak penganjur, bahkan juga oleh masyarakat setempat dengan melibatkan diri bagi menonjolkan lebih banyak sejarah, keunikan dan keindahan Sandakan serta keharmonian masyarakatnya yang berbilang kaum dan budaya.

 

Saya yakin menerusi aktiviti-aktiviti berbentuk peningkatan sosioekonomi, budaya, sukan, industri pelancongan dan ilmu pengetahuan akan berupaya untuk memacu pembangunan daerah Sandakan dalam pelbagai sektor dengan lebih pesat lagi. Misalnya, pameran Expo Usahawan (EUSA), Pesta Sawit Sandakan, pertandingan kebudayaan, sukan dan mampu menggilap pelbagai potensi dan prospek daerah Sandakan menjadi daerah yang maju di Pantai Timur Sabah.

 

Di samping itu, penganjuran Festival Sandakan ini mampu mengukuhkan lagi semangat perpaduan dan kerjasama dalam kalangan rakyat. Ini dapat dilihat bukan sahaja menerusi kehadiran orang ramai dalam sesuatu program yang diadakan, bahkan juga penglibatan dan komitmen rakyat termasuk sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Semangat kerjasama dan perkongsian pintar atau ‘smart partnership’ seperti inilah yang perlu dipupuk bagi memastikan pelbagai dasar dan agenda pembangunan kerajaan dapat dilaksanakan dengan jayanya.

 

Dalam kesempatan ini juga, saya menyeru kepada masyarakat khususnya di daerah ini agar sentiasa bekerjasama rapat dengan MPS dalam memelihara keindahan dan kebersihan persekitaran Bandar Sandakan. Pelbagai kemudahan dan prasarana awam perlulah sentiasa dihargai, dimanfaatkan dan diselenggara dengan sebaik-baiknya bagi kemudahan serta keselesaan orang ramai. Di samping itu, pihak MPS juga perlulah memastikan persekitaran Bandar Sandakan sentiasa dihiasi dengan lanskap yang menarik dengan menampilkan ciri-ciri alam semula jadi, khususnya yang terdapat di daerah ini. 

 

Akhir kata, saya menyeru kepada semua pihak khususnya warga Sandakan agar terus memberikan sokongan kepada pelbagai acara sepanjang festival ini berlangsung. Semoga Festival Sandakan akan terus menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi bagi menjana kemakmuran dan kesejahteraan rakyat keseluruhannya.

 

Dengan harapan tersebut, saya dengan sukacitanya merasmikan Festival Sandakan 2009.

 

Sekian, terima kasih.