UCAPAN Y.A.B.
DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN
KETUA MENTERI
SABAH SEMPENA JAMUAN MAKAN MALAM BERSAMA AHLI JAWATANKUASA MUZAKARAH MAJLIS
FATWA KEBANGSAAN BAGI HAL EHWAL UGAMA ISLAM MALAYSIA KALI KE-87
DI GRAND BALLROOM,
LE MEREDIEN HOTEL, KOTA KINABALU
PADA 24 JUN 2009
Alhamdulillah, segala puji dan syukur sama-sama kita panjatkan ke hadrat
Allah S.W.T. atas segala limpahan nikmat dan kurnia-Nya, yang telah mengizinkan
kita untuk bersama-sama pada malam yang mulia ini bagi meraikan kehadiran
Ahli-ahli Jawatankuasa Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama
Islam Malaysia Kali Ke-87 di negeri ini, yang terdiri daripada kalangan Ashabus
Samahah Dato’-Dato’ Mufti Kerajaan Negeri dari seluruh negara, Ashabul Fadhilah
Dato’-Dato’/Datin-Datin serta rombongan dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
Kuala Lumpur.
Bagi pihak Kerajaan Negeri serta seluruh rakyat Malaysia di Sabah khususnya
yang beragama Islam, saya dengan hati yang tulus ikhlas mengalu-alukan
kehadiran para Ashabus Samahah Dato’-Dato’ Mufti Kerajaan Negeri, Ashabul
Fadhilah Dato’-Dato’/Datin-Datin dan rombongan ke Sabah, Negeri di Bawah Bayu.
Sesungguhnya majlis yang diadakan pada malam ini melambangkan betapa
Kerajaan Negeri Sabah amat prihatin dan mengambil berat berhubung dengan
permuafakatan antara golongan Umara dan Ulama dalam mewujudkan suasana yang
baik lagi harmoni demi memartabatkan dan meninggikan syiar Islam di negeri ini
khasnya dan Malaysia amnya.
Sememangnya tidak nafikan bahawa peranan Ulama amat penting untuk
menyumbang ke arah kestabilan politik dalam sebuah negara Islam. Sejarah telah
membuktikan betapa kerajaan yang dipimpin oleh Rasulullah SAW mampu mengecapi
kejayaan yang gemilang dalam pentadbiran negara dan pada masa yang sama
Rasulullah SAW melaksanakan tugasnya sebagai utusan Allah dalam menyampaikan syariat
Allah di muka bumi ini. Natijahnya, Rasulullah SAW telah berjaya menjadikan
generasi yang dipimpin dan ditarbiyah itu sebagai umat yang memiliki kekuatan
jiwa dan pegangannya kepada syariat Islam dan sanggup pula mengorbankan jiwa
dan raga demi mempertahankan kesucian agama Islam.
Begitu juga dengan kepimpinan para Khulafa al-Rasyidin selepasnya yang
diterajui oleh para Sahabat Nabi yang terkemuka seperti Saidina Abu Bakar,
Saidina Umar al-Khattab, Saidina Usman bin Affan dan Saidina Ali bin Abi Talib
dalam memberikan satu contoh atau qudwah yang baik lagi berguna kepada kita
bahawa peranan umara dan ulama tidak boleh dipisahkan dalam menstabilkan
pemerintahan negara.
Oleh sebab itu, para ulama khususnya yang telah diberikan tangungjawab oleh
Kerajaan Persekutuan dan Negeri seperti Ahli Jawatankuasa Majlis Fatwa
Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam dan Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri
haruslah berani dalam menyatakan kebenaran dan pandangan yang berlandaskan
Hukum Syarak kerana mereka ini adalah mutiara yang berkilauan yang Allah SWT
taburkan di atas muka bumi ini untuk mengajak manusia termasuk pemerintah
sendiri kepada kebenaran dan meninggalkan kemaksiatan. Allah SWT mensyaratkan
bahawa untuk menjadi umat yang terbaik itu adalah golongan manusia yang beriman
kepada Allah SWT dan sentiasa mengajak manusia kearah makruf atau kebaikan dan
mencegah dari kemungkaran.
Hal ini amat bersesuaian dengan firman Allah dalam surah Ali Imran, ayat
110 yang bermaksud: “kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk
manusia, menyuruh kepada perkara yang ma’ruf dan mencegah dari kemungkaran dan
beriman kepada Allah..”
Kesinambungan warisan anbiya’ ini perlu diterjemahkan dengan sebaiknya oleh
para ulama dalam memastikan setiap permasalahan ummah dapat diatasi dan
dijelaskan dengan sebaiknya, berlandaskan hujah atau dalil daripada
sumber-sumber Syarak iaitu, al-Quran dan as-Sunnah.
Sesungguhnya, saya amat yakin dan optimis dengan kepakaran dan keilmuan
yang ada dalam kalangan para Ashabus Samahah dan Ashabul Fadhilah mampu
menangani setiap permasalahan dan kemusykilan yang dihadapi oleh masyarakat
Islam di Malaysia khususnya di negeri ini. Sumbangan Jawatankuasa Majlis Fatwa
Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam ini dalam isu-isu semasa amat bernilai
dan berguna sebagai panduan dan nasihat agar kehidupan seharian masyarakat
Islam di negeri ini khasnya tidak terjerumus ke arah kesesatan.
Diharapkan semoga muzakarah yang bersidang selama tiga hari di negeri
ini akan dapat memberikan hasil natijah yang baik demi kemaslahatan umat Islam
dalam mengatasi masalah yang dihadapi dan semoga ia beroleh keberkatan, rahmat
serta maghfirah daripada Allah SWT, InsyaAllah.
Sebelum mengakhiri ucapan, sekali lagi saya merakamkan penghargaan dan
terima kasih kepada Ahli Jawatankuasa Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan Bagi
Hal Ehwal Ugama Islam atas kehadiran ke Sabah, Negeri di Bawah Bayu ini. Saya
mengharapkan semoga para Ashabus Samahah Dato’-Dato’ Mufti Kerajaan Negeri,
Ashabul Fadhilah Dato’-Dato’ dan Datin-Datin serta rombongan daripada kalangan
warga Kerja JAKIM sentiasa dalam keadaan sihat walafiat dan berasa gembira
sepanjang berada di negeri ini serta membawa pelbagai kenangan yang tidak dapat
dilupakan sekembalinya ke destinasi masing-masing kelak.
Ucapan penghargaan dan terima kasih juga kepada JAKIM selaku Urus Setia
kepada Ahli Jawatankuasa ini kerana memilih Negeri Sabah sebagai destinasi atau
lokasi persinggahan Ahli Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal
Ugama Islam Malaysia kali ke-87 ini.
Saya juga merakamkan sekalung penghargaan kepada Ahli Jawatankuasa Induk,
semua pihak dan individu yang terlibat secara langsung mahupun secara tidak
langsung dalam menjayakan majlis ini dan sepanjang muzakarah ini berlangsung.
Semoga Allah S.W.T membalas jasa yang diberikan dengan sebaik-baik ganjaran.
Semoga pertemuan yang singkat ini akan memperkukuhkan lagi silaturrahim antara
Kerajaan Negeri Sabah dan Ahli Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan Bagi Hal
Ehwal Ugama Islam Malaysia dalam memastikan Syariat Islam sentiasa terlaksana
dengan jayanya di negara kita.
Sekian, wabillahittaufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi
wabarakatuh.