UCAPAN Y.A.B. DATUK SERI
PANGLIMA MUSA HAJI AMAN, KETUA MENTERI SABAH SEMPENA MAJLIS PERASMIAN SHOWCASE SATU DAERAH SATU INDUSTRI
(SDSI) 2009, DI SABAH TRADE CENTRE LIKAS
PADA 18 JUN 2009
Terlebih dahulu, marilah kita sama-sama memanjatkan rasa syukur ke hadrat
Allah SWT kerana dengan limpah izin-Nya, maka kita telah berkesempatan untuk
bersama-sama dalam Majlis Perasmian Showcase Satu Daerah Satu Industri
(SDSI) 2009. Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur dan berasa
amat gembira kerana berpeluang untuk bersama-sama dengan para pengusaha SDSI
dari seluruh negeri.
Sesungguhnya, program ini jelas membuktikan kesungguhan dan komitmen
berterusan Kerajaan Negeri dalam membantu para pengusaha kecil-kecilan di Sabah
untuk lebih berjaya dan berdaya maju dalam aktiviti perniagaan mereka.
Kerajaan sedar bahawa bilangan dan pencapaian pengusaha terutamanya dalam
kalangan kaum Bumiputera yang berjaya dalam bidang perniagaan masih belum
membanggakan lagi. Keadaan ini antara
lain disebabkan kecenderungan masyarakat Bumiputera yang menjadikan aktiviti
pertanian sebagai memenuhi tuntutan sara diri semata-mata dan bukannya untuk
tujuan komersial.
Justeru, program SDSI ini merupakan antara inisiatif kerajaan untuk
mempertingkatkan lagi penglibatan para pengusaha sektor ini dalam dunia
perniagaan. Ia sekaligus membantu rakyat khususnya masyarakat desa memanfaatkan
sepenuhnya segala potensi dan sumber yang terdapat di kawasan masing-masing
secara optimum bagi menghasilkan produk dan barangan yang berkualiti dan
mempunyai nilai tambah.
Kita masih mempunyai banyak sumber asli utama yang terdapat di beberapa
daerah dan kawasan di negeri ini yang belum diterokai sepenuhnya. Sebagai contoh, kita mempunyai potensi yang
luas dalam industri rumpai laut di Pantai Timur Sabah. Manakala, di kebanyakan
kawasan di negeri ini, kita memiliki banyak sumber ikan yang boleh diproses
menjadi produk bernilai tambah seperti Surimi, Keropok, Bebola Ikan dan
sebagainya.
Saya percaya, industri ini mempunyai potensi yang besar untuk dimajukan
dengan penglibatan para pengusaha di bawah program SDSI. Hasilnya, kita lihat
banyak daerah kini telah sinonim dengan produk dan identiti masing-masing, seperti
daerah Papar dikenali dengan Kuih Cincin/Tradisional dan Belacan; Nenas dari
Penampang; Halia dari Tambunan; Kayu Manis dari Keningau; Kopi dari Tenom dan
Amplang dari Tawau.
Secara tidak langsung program SDSI menjadi pemangkin bagi mencapai
maltlamat dasar dan agenda pembangunan kerajaan khususnya bagi melahirkan
Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB), menjayakan
pelaksanaan Koridor Pembangunan Sabah (SDC) dan Dasar Hala Tuju Pembangunan dan
Kemajuan Negeri Sabah.
Bagi tempoh 2009-2010, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM23 juta bagi
meningkatkan dan memperkembangkan lagi program SDSI di bawah pelaksanaan SDC.
Ia memfokuskan kepada usaha-usaha untuk mengeluarkan dan memperkembangkan lebih
banyak jenis produk dengan kualiti yang tinggi di semua daerah dan daerah kecil
di negeri ini. Strategi ini bertujuan untuk melahirkan lebih ramai usahawan
dengan memberi bantuan dari segi akses kewangan, pemasaran dan promosi,
peningkatan keupayaan pengeluaran dan kemahiran, pengetahuan dan pengalaman,
peningkatan kualiti dan penampilan produk yang dihasilkan.
Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri Sabah akan terus memperkasa dan
mempertingkatkan pembangunan Program SDSI di seluruh negeri. Langkah pertama
ialah dengan menggembleng peranan Jawatankuasa SDSI Peringkat Negeri dan Daerah
dari segi perancangan penyelarasan dann pelaksanaan bagi memastikan program ini
mencapai matlamat dan dimanfaatkan sepenuhnya oleh para pengusaha yang
terlibat.
Langkah yang kedua pula ialah mengadakan program khusus seperti
menganjurkan inisiatif promosi dan pemasaran seperti Showcase yang kita adakan pada hari ini. Langkah ketiga ialah dengan melaksanakan
inisiatif bagi meningkatkan kemahiran, pengetahuan dan pengalaman melalui
kursus-kursus tertentu dan peningkatan persembahan produk melalui peningkatan
dan pembangunan packaging, labelling dan
branding serta khidmat nasihat dan
bimbingan dengan kerjasama agensi-agensi Kerajaan Persekutuan yang berkaitan.
Dalam konteks ini, saya menyeru kepada semua pihak yang terlibat dalam
program ini agar memberi tumpuan secara khusus bagi menjana pembangunan ekonomi
negeri dan seterusnya merangsang pembangunan keusahawanan dalam kalangan kaum
Bumiputera terutamanya di peringkat daerah.
Saya yakin, program SDSI ini bukan sahaja akan melahirkan lebih ramai
usahawan Bumiputera yang berjaya, bahkan menambah nilai ekonomi negeri,
mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, mempercepatkan pembangunan wilayah
dan seterusnya berupaya membasmi kemiskinan dalam kalangan rakyat.
Sebelum mengakhiri ucapan, saya sekali lagi merakamkan penghargaan dan
terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan Showcase SDSI pada tahun ini.
Semoga program ini akan mencapai matlamatnya terutamanya dalam membantu
dalam pembangunan usahawan dan seterusnya memacu perkembangan industri dan
ekonomi Negeri Sabah secara
keseluruhannya.
Dengan harapan tersebut, saya dengan sukacitanya melancarkan Showcase Satu Daerah Satu Industri
(SDSI) 2009, dengan rasminya.
Sekian, terima kasih.