UCAPAN Y.A.B. DATUK SERI PANGLIMA
MUSA HAJI AMAN, KETUA MENTERI SABAH SEMPENA MAJLIS PELANCARAN KELUARGA BAHAGIA PERINGKAT NEGERI SABAH
2009, DI 1 BORNEO GRAND BALLROOM
1 BORNEO HYPERMALL, KOTA
KINABALU, PADA 13 JUN 2009
Terlebih dahulu saya memanjatkan setinggi-tinggi rasa syukur ke hadrat Allah
S.W.T. kerana dengan limpah rahmat serta izin-Nya, maka kita dapat bersama-sama
dalam Majlis Pelancaran Keluarga Bahagia Peringkat Negeri Sabah 2009. Saya mengucapkan terima kasih kepada Kementerian
Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna, khususnya Y.B. Datuk Hajah
Azizah Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Dun serta seluruh jawatankuasa penganjur atas
jemputan yang diberikan dan merakamkan ucapan tahniah atas inisiatif mengadakan
program ini.
Peranan institusi keluarga amat penting dalam menyediakan asas untuk
memupuk dan membudayakan nilai-nilai murni dalam pembangunan sumber tenaga
manusia bagi pembinaan sebuah negara bangsa yang cemerlang. Didikan yang
sempurna dari segi rohani, jasmani dan emosi dalam sesebuah keluarga merupakan
teras kepada keharmonian dalam keluarga dan seterusnya menjadi asas kepada kesejahteraan
masyarakat dan kemakmuran negara.
Ada pendapat mengatakan bahawa cara terbaik untuk memajukan masyarakat
adalah dengan memajukan keluarga, dan sebaliknya cara paling mudah untuk memusnahkan
masyarakat adalah dengan melemahkan institusi keluarga. Kenyataan ini memang
ada kebenarannya disebabkan keutuhan institusi keluarga merupakan tunjang bagi kekuatan
sesebuah negara. Negara yang didiami oleh masyarakat yang hidup bahagia dan
harmoni akan berupaya meningkatkan produktiviti dan sekaligus memakmurkan
ekonomi negara.
Namun, tidak dapat dinafikan bahawa proses pemodenan dan pembangunan pesat
sesebuah negara turut membawa kesan negatif selain impak positif pada
sesetengah masyarakat. Meskipun pembangunan fizikal, ekonomi dan sosial telah
berjaya meningkatkan taraf hidup bagi kebanyakan keluarga, namun kita juga
menyedari bahawa terdapat keluarga yang terpaksa berhadapan dengan masalah kemiskinan.
Malah, tidak kurang juga keluarga yang mengalami krisis moral sehingga terlibat
dalam pelbagai gejala sosial yang akhirnya memberi kesan kepada keutuhan dan
keharmonian keluarga dan kesejahteraan masyarakat.
Justeru, penganjuran program yang bertemakan “Keluarga Bahagia, Masyarakat
Sejahtera” ini adalah amat bertepatan sekali bagi memberi ruang dan peluang
kepada kita untuk merenung dan menilai kembali peranan kita sebagai ahli
keluarga. Sama ada sebagai bapa dan suami serta ketua keluarga, ibu dan isteri
serta anak-anak sebagai anggota keluarga, hakikatnya setiap anggota keluarga
bertanggungjawab dan berperanan ke arah mewujudkan keluarga bahagia. Justeru,
saya mengharapkan kita dapat sama-sama menghayati mesej yang tersirat di sebalik
tema ini dan memberi komitmen untuk menjayakan kempen ini.
Pepatah ada mengatakan “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Demikian juga membentuk
peribadi dan tingkah laku anak-anak yang perlu dilakukan sejak di peringkat
awal lagi. Ini amat penting bagi memastikan kehidupan mereka seterusnya akan
menjadi lebih bermakna kerana setiap peringkat kehidupan anak-anak adalah
ibarat lembaran benang yang akan menjadi lebih kukuh setelah ditenun menjadi
kain.
Sehubungan dengan itu, tanggungjawab mendidik,
mengasuh dan membesarkan anak-anak tidak sewajarnya diserahkan kepada kaum ibu semata-mata.
Kaum bapa juga mempunyai tanggungjawab dan peranan yang amat penting bukan
sahaja sebagai ketua keluarga, pencari nafkah, penjaga, pendidik dan pelindung
keluarga, bahkan juga menjadi role model
kepada seluruh ahli keluarga.
Pada tahun ini, Kerajaan Negeri telah
memperuntukkan sejumlah RM1 juta bagi menjayakan pelaksanaan pelbagai program
untuk memperkasa pembangunan keluarga dan ibu tunggal. Sehubungan dengan itu, saya
berharap agar program-program keibubapaan berbentuk penguasaan ilmu, kemahiran,
minda dan sikap positif, serta penerapan nilai murni untuk keluarga terutama
pasangan yang baru mendirikan rumahtangga perlu diperbanyakkan lagi agar dapat
membangunkan modal insan dalam kalangan generasi baru yang boleh menyumbang
kepada pembangunan negeri Sabah secara keseluruhannya.
Sebelum mengakihiri ucapan, sekali lagi saya mengucapkan
tahniah dan penghargaan kepada Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal
Pengguna atas inisiatif murni menjayakan program ini dan saya berharap ia akan
diteruskan pada masa-masa akan datang.
Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis
Pelancaran Keluarga Bahagia Peringkat Negeri Sabah 2009.
Sekian, terima kasih.