KENYATAAN MEDIA
Y.A.B. KETUA MENTERI SABAH
MERANGKAP PENGERUSI
MESYUARAT MAJLIS TINDAKAN
NEGERI (MTNg) SABAH
SEMASA MESYUARAT BIL 2/2008, PADA 11 NOVEMBER 2008.
Berdasarkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan, Kerajaan
menyasarkan pertumbuhan purata sebanyak enam peratus setahun untuk tempoh tiga tahun akan datang iaitu sehingga 2010 dan
telah menetapkan sasaran untuk setiap Teras Misi Nasional. Pencapaian sasaran
ini bergantung kepada sejauh mana kapasiti dan potensi kita digerakkan sepenuhnya
untuk menjana pertumbuhan yang maksima.
Walaubagaimanapun, cabaran untuk mencapai sasaran tersebut begitu meruncing
berikutan dengan perkembangan semasa yang semakin mencabar khususnya ekoran
kelembapan ekonomi global. Keadaan ini sudah tentu memberi kesan kepada
permintaan barangan. Di samping itu,
tekanan inflasi yang kini berada di tahap tertinggi iaitu pada kadar 8.5
peratus menyebabkan kenaikan harga bahan mentah dan makanan yang sudah tentu
memberi kesan kepada usaha kita untuk mencapai sasaran yang telah ditetapkan.
Meskipun kita menghadapi pelbagai cabaran, namum Kerajaan komited untuk
meneruskan dan meningkatkan lagi perkhidmatan dan pembangunan kepada rakyat sepertimana
yang telah dirancang. Bagi memastikan
kita berada di landasan yang betul dan mencapai sasaran pembangunan seperti
yang ditetapkan, kita mestilah mengambil langkah-langkah yang jitu untuk
menangani cabaran semasa.
Dalam hubungan ini, saya sekali lagi menyeru semua pihak agar terus
berusaha gigih, berkerja keras dan berkerjasama dengan Kerajaan. Di samping
itu, kita juga perlu melakukan perubahan melalui penjanaan idea-idea baru dan
inovasi untuk menangani cabaran semasa yang menjadikan tahun ini dan
tahun-tahun yang mendatang sebagai satu tempoh masa yang cukup mencabar.
Saya berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang sentiasa prihatin terhadap keperluan negeri Sabah dan diberikan perhatian
khas dalam bentuk peruntukan tambahan.
Seperti yang kita maklum bahawa sejumlah 1 bilion ringgit telah
diperuntukkan bagi negeri Sabah sebagai peruntukan tambahan untuk projek
pembangunan infrastruktur asas. Dengan peruntukan tambahan ini membolehkan kita
memberi fokus khususnya untuk meningkatkan lagi pembangunan infrastruktur asas di
luar bandar dan menjamin kesejahteraan rakyat.
Di bawah Kajian Separuh Penggal
Rancangan Malaysia Kesembilan, negeri
Bilangan projek RMKe9 adalah sebanyak 4,935 projek. Daripada jumlah
tersebut sebanyak 4,792 projek di bawah peruntukan pembangunan. Manakala PFI
pula adalah sebanyak 143 projek.
Prestasi perbelanjaan berdasarkan kepada Siling Peruntukan Pembangunan
RMKe9 bagi negeri Sabah untuk tempoh tahun 2006 sehingga 31 Oktober 2008 ialah
sebanyak RM9,406 bilion atau 49.87 peratus. Secara tahunannya pada tahun 2006,
perbelanjaan yang direkodkan ialah sebanyak RM3.85 bilion (87.49 peratus
daripada peruntukan sebanyak RM4.40 bilion). Tahun 2007 pula sebanyak RM3.905
bilion (79.06 peratus) daripada peruntukan sebanyak RM4.939 bilion. Manakala
bagi tahun 2008 iaitu sehingga 31 Oktober 2008, sebanyak RM1.65 bilion (46.3
peratus) telah dibelanjakan daripada peruntukan sebanyak RM3.563 bilion.
Secara keseluruhannya, peratus prestasi perbelanjaan RMKe9 bagi negeri
Sabah melebihi prestasi Nasional sebanyak 4.67 peratus iaitu 49.87 peratus bagi
negeri Sabah berbanding 45.2 peratus bagi peringkat Nasional. Meskipun begitu,
ini tidak bermakna semua pihak boleh berada dalam keadaan selesa. Sebaliknya, kita perlu melipatgandakan lagi usaha
supaya semua peruntukan bagi negeri Sabah dibelanjakan dengan cekap dan sepenuhnya. Ini bagi memastikan agar program-program
pembangunan dan usaha-usaha membela nasib rakyat terutamanya masyarakat di luar bandar akan terus ditingkatkan.