UCAPAN KETUA MENTERI SABAH, Y.A.B. DATUK SERI MUSA HAJI AMAN DI MAJLIS PELANCARAN MENGIBAR JALUR GEMILANG PERINGKAT JKM DI SUNSET PLAZA DIPERKARANGAN MENARA TUN MUSTAPHA PADA 22 OGOS 2008

 

 

Marilah kita bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah izin-Nya, kita dapat bersama-sama pada Majlis Pelancaran Mengibarkan Jalur Gemilang Peringkat Jabatan Ketua Menteri sempena sambutan Bulan Kemerdekaan ke-51.

 

Syabas dan tahniah kepada jawatankuasa penganjur dan semua pihak yang berusaha dengan gigih bagi menjayakan program ini. Sesungguhnya, komitmen tinggi, kerjasama padu dan kehadiran tuan-tuan dan puan-puan jelas membuktikan betapa tingginya patriotisme kita khususnya penjawat awam dalam kalangan warga di Jabatan Ketua Menteri (JKM) ini.

Kemerdekaan membawa makna yang amat besar dan bermakna kepada kita semua. Ia bukan sahaja bermaksud bebas dari belenggu penjajah tetapi merupakan tanggungjawab dan amanah bagi memastikan negara kita terus aman, stabil dan maju dengan rakyatnya menikmati kemakmuran dan kualiti kehidupan yang lebih baik.

Kita menyedari bahawa kebanyakan dari kita, terutama generasi baru, tidak merasai pahit getir dan penderitaan hidup dijajah dan bagaimana sukarnya pengorbanan dan usaha generasi terdahulu untuk mendapatkan kemerdekaan.

Kemajuan yang dicapai setakat ini, antaranya disebabkan kecemerlangan pelaksanaan dasar-dasar dan program-program kerajaan yang pragmatik. Sebagai pelaksana dasar-dasar kerajaan, perkhidmatan awam mampu menganjakkan kecemerlangannya ke tahap yang lebih tinggi dengan sentiasa memperlihatkan perkhidmatan yang cekap, berkualiti dan berintegriti. 

Penjawat awam yang patriotik akan sentiasa berpegang kepada amanah, berdisiplin, sifar rasuah dan menyifatkan tugas serta tanggungjawab sebagai satu ibadah. Seseorang itu berjiwa patriotik jika ia tidak terbabit dengan gejala salah laku dan salah guna kuasa yang bukan sahaja mencemarkan imej perkhidmatan awam, bahkan perbuatan yang tidak patriotik

51 tahun adalah satu tempoh yang agak lama dan boleh mendewasakan seseorang.  Begitu juga perkhidmatan awam kita yang telah menjalani pelbagai transformasi bagi memenuhi keperluan semasa seiring dengan kepesatan proses pembangunan negara. Kini penjawat awam lebih dilihat sebagai menjadi fasilitator dan pemangkin sektor swasta menjadi engine of growth ekonomi negara kita.  Komitmen dan dedikasi yang didorong patriotisme yang tinggi dalam kalangan penjawat awam membolehkan kerajaan menjayakan pelbagai dasar, program dan projek yang menjana pertumbuhan ekonomi, kestabilan negara dan keharmonian masyarakat. 

Apabila membicarakan soal patriotisme, ada pihak yang mempersoalkan bahawa adakah memadai dengan mengibar Jalur Gemilang pada kenderaan, rumah  atau pejabat sebagai manifestasi patriotisme? Adakah ia benar-benar membuktikan seseorang itu berjiwa patriotik dan memahami erti sebuah kemerdekaan?

Semangat patriotik yang tulen perlu diserlahkan oleh setiap rakyat yang berjiwa merdeka dalam semua aspek iaitu secara luaran dan dalaman. Justeru, ketahanan dalam diri perlu diperkukuhkan bagi menangkis pengaruh yang bertentangan dengan nilai agama dan budaya kita. Budaya kita mesti dipertahankan dengan patriotisme dan jati diri yang unggul.

Rakyat Malaysia berjiwa patriotik tidak akan sanggup mencerca negaranya di mata dunia, apatah lagi memburuk-burukkan pemimpin dan kerajaan yang terbukti berjaya membangunkan negara. Rakyat Malaysia yang berjiwa patriotik juga tidak akan mudah terpedaya apatah lagi menjadi agen penyabar fitnah dan khabar angin yang cuba menggugat perpaduan dan keharmonian negara.

Justeru, marilah kita bersama-sama memupuk patriotisme bagi membentuk bangsa yang cemerlang dan berkeperibadian Malaysia. Sesuai dengan tema Perpaduan Teras Kejayaan, saya mengajak seluruh lapisan rakyat untuk menghayati dan membudayakan amalan perpaduan yang menjadi tonggak kemajuan negara dan kesejahteraan serta kemakmuran rakyat. 

Saya juga menyeru seluruh anggota perkhidmatan awam khususnya warga JKM untuk membuktikan kesyukuran dan patriotisme kita atas nikmat kemerdekaan ini dengan terus meningkatkan kualiti dan prestasi kerja supaya perkhidmatan awam dan khususnya JKM akan terus dihormati oleh rakyat dan juga stakeholders kita. 

Akhir kata saya sekali lagi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada jawatankuasa penganjur dan tidak lupa juga kepada tuan-tuan dan puan-puan yang datang, bukan sekadar untuk memeriahkannya, malah tentunya tersemat semangat patriotisme yang tinggi dalam hati sanubari masing-masing.

Dengan harapan tersebut dan dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Pelancaran Mengibarkan Jalur Gemilang Peringkat Jabatan Ketua Menteri sempena sambutan Bulan Kemerdekaan ke-51.

 

Sekian.