UCAPAN Y.A.B. DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN

KETUA MENTERI SABAH SEMASA KEMPEN MENGIBAR JALUR GEMILANG DI KENDERAAN SEMPENA SAMBUTAN BULAN KEMERDEKAAN KE-51 PERINGKAT NEGERI SABAH 2008 DI PERKARANGAN IBU PEJABAT DBKK PADA 17 OGOS 2008

 

Asalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam kemerdekaan.

 

Marilah kita bersyukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah izin-Nya, kita dapat bersama-sama pada Majlis Pelancaran Kempen Mengibar Jalur Gemilang Di Kenderaan sempena sambutan Bulan Kemerdekaan ke-51.

 

Syabas dan tahniah kepada semua pihak penganjur yang bertungkus lumus bagi menjayakan program pada pagi ini. Komitmen dan kerjasama yang ditunjukkan jelas membuktikan betapa tinggi perasaan  sayang dan cinta kita kepada bumi bertuah ini.

 

Tema sambutan hari Kemerdekaan pada tahun ini iaitu “Perpaduan Teras Kejayaan amat signifikan dalam konteks cabaran dan perkembangan semasa. Justeru, amat penting bagi kita khususnya seluruh seluruh warga bandar raya kota dari pelbagai kaum, agama dan fahaman politik agar terus bersatu, mengukuhkan lagi semangat perpaduan dan muhibbah sesama kita.  dan bersama-sama menghayati erti kemerdekaan negara.

 

Kejayaan dan pembangunan pesat yang kita nikmati kini merupakan sumbangan dan komitmen seluruh rakyat yang telah memainkan peranan penting di dalam proses pembangunan negara. Kita jugalah yang bertanggungjawab untuk memastikan kemerdekaan ini dapat terus dipelihara dan dipertahankan. Sebagai sebuah bangsa yang berdaulat dan merdeka, kita jugalah yang menentukan agar segala program pembangunan kerajaan seperti Koridor Pembangunan Sabah (SDC), Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9) dan Misi Nasional bagi mencapai Wawasan 2020 akan menjadi kenyataan.

 

Hakikatnya kemerdekaan telah meningkatkan lagi taraf hidup rakyat ke tahap yang jauh lebih baik dan semakin meningkat berbanding sebelumnya. Kini kita telah pun berupaya memiliki pelbagai prasarana moden dan canggih untuk dinikmati oleh semua rakyat. Umpamanya, saya amat berbangga dengan pencapaian Negeri Sabah terutama sekali di Bandar raya Kota Kinabalu yang merupakan pintu masuk ke negeri ini. Bandar raya Kota Kinabalu kini sudah semakin terkenal sebagai destinasi pilihan pelancong, domestik mahupun luar negara.

 

Selain keindahan semulajadinya yang menjadi tarikan pelancong, kepesatan arus pembangunannya yang begitu ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini, menjadi buah mulut para pengunjung. Kalau dahulu ia hanya sebuah bandar kecil, kini bandar raya Kota Kinabalu sudah mempunyai segala-galanya. Pusat membeli belah terkemuka, lapangan terbang antarabangsa yang canggih, taman rekreasi yang menarik dan banyak lagi projek yang sedang rancak dibangunkan. Kesemua ini  bakal mengubah landskap wajah dan menyerlahkan lagi imej bandar raya Kota Kinabalu sebagai bandar raya maju setaraf dengan bandar raya lain di negara kita. Semua ini adalah hasil nikmat kemerdekaan yang membolehkan kita mentadbir dan melaksanakan pelbagai agenda pembangunan mengikut kehendak dan acuan kita sendiri.

 

Meskipun kini kita dilanda dengan kelembapan ekonomi global akibat kenaikan harga  bahan api dan makanan, Kerajaan Negeri akan terus berusaha untuk memastikan kemapanan ekonomi negeri dan usaha-usaha pembangunan untuk kesejahtaraan rakyat akan tetap dilaksanakan. Dari segi pelancongan pula, negeri Sabah terus mencatat kedatangan pelancong yang kian meningkat kerana tertarik dengan keindahan alam semulajadi, kekayaan biodiversiti, keramahan penduduk dan keunikan warisan budaya kita. Kemantapan industri pelancongan ini sudah tentunya dapat menjana pendapatan kepada Kerajaan Negeri dan meningkatkan lagi sosioekonomi rakyat.

 

Perayaan Bulan Kemerdekaan merupakan peluang keemasan kepada rakyat untuk mengukuhkan lagi perpaduan, keharmonian dan muhibbah dengan menjayakan pelbagai aktiviti dan program yang dianjurkan. Perayaan ini juga dapat memupuk semangat jatidiri yang kukuh dalam kalangan rakyat dengan mengibarkan Jalur Gemilang di segenap pelusuk kampung, bandar, taman-taman perumahan, premis perniagaan serta kenderaan di jalanraya. Dari segi pengibaran Jalur Gemilang kita sebagai rakyat yang cintakan negara perlu mengikis sikap “tunggu dan lihat”.

 

Oleh itu marilah kita semua dengan penuh bangga mengibarkan Jalur Gemilang  sebagai rasa terima kasih dan bersyukur kerana  dapat menikmati kehidupan dalam negara yang merdeka, aman dan makmur. Sempena dengan sambutan Bulan Kemerdekaan ini juga, saya berharap semua rakyat di negeri Sabah, khususnya warga Bandar raya Kota Kinabalu agar memasang lampu di waktu malam bagi menyerikan lagi suasana sambutan Bulan Kemerdekaan ini.

 

Akhir kata, saya sekali lagi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam merancang dan menjayakan program ini. Semoga negara dan rakyat khususnya di Negeri Sabah akan terus aman dan makmur bagi membolehkan kita menikmati erti Kemerdekaan yang sebenarnya.

 

Dengan harapan tersebut, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Mengibar Jalur Gemilang Di Kenderaan Sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan Ke-51 Peringkat Negeri Sabah 2008.

 

Sekian, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.