TEKS UCAPAN Y.A.B. DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN

KETUA MENTERI SABAH, SEMPENA MAJLIS PENYERAHAN PROJEK AMAL-PERBADANAN PINJAMAN SABAH (SCC) - ASRAMA DESA KAMPUNG BAMBANGAN MEMBAKUT, PERPUSTAKAAN DESA KAMPUNG PADAS DAMIT BEAUFORT DAN SRK ST. JOHN BEAUFORT, DI DEWAN SRK ST. JOHN BEAUFORT, PADA 18 OGOS 2008

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

 

Marilah kita bersyukur kehadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia-Nya kita dapat bersama-sama pada majlis petang ini.  Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perbadanan Pinjaman Sabah (SCC) atas jemputan merasmikan Majlis Penyerahan Projek-Projek Amal-Tangungjawab Sosial Korporat (CSR) Perbadanan Pinjaman Sabah (SCC) - Asrama Desa, Kg. Bambangan, Membakut, Perpustakaan Desa, Kg. Padas Damit, Beaufort dan SRK St. John, Beaufort. Sesungguhnya, saya berasa amat gembira kerana dapat meluangkan masa untuk bersama-sama tuan-tuan dan puan-puan dalam majlis yang sungguh murni dan amat bermakna ini.

 

Kerajaan sentiasa peka dengan masalah yang dihadapi rakyat masa kini berikutan kenaikan harga bahan api dunia dan krisis makanan global. Sebagai kerajaan yang prihatin dan bertanggung jawab, kerajaan amat memahami masalah rakyat di luar bandar terutama para pelajar yang terpaksa berjalan jauh untuk menimba ilmu demi masa depan mereka.  Tidak ketinggalan juga ramai juga penduduk di luar bandar yang masih dibelenggu kemiskinan, kurang bernasib baik, ibu tunggal, anak yatim, orang kurang upaya dan sebagainya.

 

Justeru, kerajaan sentiasa berusaha untuk membantu golongan ini.  Pelbagai langkah telah dilaksanakan, dipantau dan ditambah baik untuk menentukan keberkesanannya agar sampai kepada golongan sasaran. Bagaimanapun, ia memerlukan kerjasama dan komitmen sepenuhnya daripada semua pihak sama ada jabatan dan agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta dan rakyat secara keseluruhannya. Program pada petang ini adalah contoh terbaik kerjasama seumpama ini di antara kerajaan negeri dengan masyarakat setempat melalui salah satu daripada agensinya iaitu Perbadanan Pinjaman Sabah (SCC).

 

Inisiatif murni SCC melalui projek amal kemasyarakatan adalah selaras dengan usaha kerajaan membantu golongan yang memerlukan. Saya mengucapkan terima kasih dan syabas kepada Ahli Lembaga dan Pengurusan SCC kerana mempunyai hasrat yang mulia, prihatin dan berjiwa rakyat sehingga dapat mengalihkan sebilangan keuntungan selepas cukai tahunannya untuk membiayai projek-projek amal kemasyarakatan.

 

Kerajaan Negeri memuji usaha murni SCC ini yang tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu rakyat khususnya meningkatkan lagi kemudahan dan kelengkapan pendidikan untuk kepentingan anak-anak kita. Dalam konteks ini, kita tidak seharusnya mengukur kejayaan sesebuah syarikat korporat hanya berdasarkan jumlah keuntungan tahunan atau pulangan saham, dividen atau bonus kepada ahli-ahlinya semata-mata. Tetapi kejayaan sebenar syarikat berkenaan juga mesti dilihat dari segi komitmen dan kesungguhannya untuk berkongsi kemakmuran dan keuntungan syarikat dalam  menunaikan CSR kepada masyarakat. Saya berharap lebih banyak lagi sektor korporat yang tampil dan mencontohi usaha murni SCC ini.

 

Sumbangan seperti ini sangat dialu-alukan kerana ia bukan sahaja kemudahan kepada penduduk setempat tetapi dapat mengukuhkan hubungan silaturrahim dan semangat kekitaan di antara masyarakat setempat dengan pegawai dan kakitangan kerajaan serta sektor korporat.  Saya berharap agar SCC meneruskan usahanya yang murni ini untuk membantu kerajaan menangani masalah rakyat di kawasan-kawasan lain di negeri ini.

 

Saya juga menyeru kepada masyarakat setempat dan para pelajar agar memanfaatkan kemudahan ini dengan sebaik-baiknya. Elakkan pembaziran dan gunalah kemudahan ini dan pastikan ia sentiasa dalam keadaan terbaik membantu membangunkan diri dan minda demi untuk masa depan negeri dan negara kita.

 

Akhir kata, semoga dengan usaha murni dan keprihatinan menunaikan CSR kepada masyarakat yang memerlukan, SCC akan terus berkembang maju dan mencatatkan prestasi yang lebih cemerlang pada masa-masa yang akan datang.

 

Dengan harapan tersebut, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Penyerahan Projek-Projek Amal-Tangungjawab Sosial Korporat (CSR) Perbadanan Pinjaman Sabah (SCC) - Asrama Desa, Kg. Bambangan, Membakut, Perpustakaan Desa, Kg. Padas Damit, Beaufort dan SRK St. John, Beaufort.

 

Sekian, terima kasih.