UCAPAN Y.A.B. DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN, KETUA MENTERI SABAH, SEMPENA MAJLIS MAKAN MALAM JUBLI EMAS SAINT PAUL, BEAUFORT, DI DEWAN SEKOLAH MENENGAH ST. PAUL BEAUFORT, PADA 18 OGOS 2008

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

 

Terlebih dahulu saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga Saint Paul khususnya Jawatankuasa Penganjur atas kesudian mengundang saya untuk bersama-sama dalam Majlis Makan Malam Jubli Emas Saint Paul Beaufort.

 

Saya memuji usaha murni menganjurkan majlis ini bagi mengutip dana untuk pembangunan sekolah dan sekaligus sebagai majlis ‘reunion’ untuk semua bekas pelajar termasuklah saya sendiri.

 

Pada tahun ini, Saint Paul telah pun mencapai usia emasnya iaitu, 50 tahun. Dalam jangka masa tersebut telah banyak pencapaian dan kejayaan yang diperoleh seperti yang dapat kita saksikan pada masa ini.

 

Saya percaya kejayaan tersebut tidak diperoleh dengan mudah. Ternyata Sekolah Menengah Saint Paul kini amat jauh berbeza dengan Sekolah Menengah Saint Paul dahulu. Meskipun kita akui bahawa sekolah-sekolah ‘mission school’ tidak mendapat bantuan penuh kerajaan, namun perkembangan dan kemajuannya seperti yang dapat kita lihat pada hari ini sememangnya amat membanggakan.

 

Sesungguhnya semua ini adalah hasil komitmen tinggi pentadbiran sekolah dengan kerjasama pihak pengurusan Lembaga sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan masyarakat setempat. Usaha secara kolektif ini perlu ditingkatkan bagi mewujudkan suasana pembelajaran dan pengajaran yang kondusif. Sekalung penghargaan kepada semua pihak yang menyumbang ke arah pembangunan dan kemajuan sekolah Saint Paul, sama ada di peringkat tadika, sekolah rendah mahupun sekolah menengah.

 

Semoga sokongan dan kerjasama yang diberikan selama ini akan berkesinambungan untuk menjamin keutuhan sistem pendidikan dan menjadikan sekolah ini sebagai antara sekolah terbaik yang melahirkan ramai pemimpin pelapis pada masa depan.  Hakikatnya, ramai bekas pelajar sekolah ini yang telah berjaya dalam bidang masing-masing, sama ada dalam bidang politik, perundangan, perniagaan dan sebagainya.  Ini bolehlah disifatkan sebagai satu kejayaan yang cukup besar dan amat bermakna bagi sebuah “mission school” yang terletak di kawasan luar Bandar Raya Kota Kinabalu.

 

Peranan institusi pendidikan amat penting dalam lahirkan modal insan yang unggul selaras dengan matlamat Kementerian Pelajaran Malaysia. Kerajaan akan terus menggiatkan usaha memperkasakan bidang pendidikan demi memastikan matlamat melahirkan pelajar yang berilmu, berkemahiran, berdaya saing, berhemah tinggi, bersahsiah mulia, berdisiplin serta memiliki minda kelas pertama akan tercapai.

 

Kerajaan membelanjakan peruntukan yang besar untuk menjayakan pelaksanaan Misi Nasional, khususnya yang berkaitan dengan Teras Kedua iaitu, meningkatkan ilmu pengetahuan, kreativiti dan inovasi negara serta memupuk minda kelas pertama dalam kalangan rakyat.

 

Pada hari ini, masyarakat sentiasa meletakkan harapan yang tinggi terhadap guru berkualiti bagi melahirkan pelajar yang berkualiti. Ini kerana pelajar yang berkualiti tentulah akan melahirkan pemimpin yang berkualiti dan seterusnya mewujudkan sebuah negara yang maju. Pada tanggapan mereka, gurulah yang diharapkan untuk menentukan segala-galanya bagi mencorak masa depan masyarakat dan negara. 

 

Walau bagaimanapun, ada kalangan masyarakat yang terlalu bergantung sepenuhnya kepada guru. Tidak salah masyarakat meletakkan harapan tinggi kepada para guru. Tetapi perlu disedari bahawa usaha bagi melahirkan pelajar yang cemerlang dan berkualiti sebenarnya adalah peranan dan tanggungjawab semua pihak termasuk para ibu bapa, ahli keluarga, rakan sebaya, pemimpin dan masyarakat. 

 

Akhir kata, sekali lagi saya merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada semua yang terlibat menjana kemajuan dan kecemerlangan pendidikan khususnya dalam kalangan warga Saint Paul, Beaufort. Saya berharap segala sumbangan yang diperoleh daripada program ini sama ada dalam bentuk material, idea dan tenaga akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi membantu menjayakan pembangunan sekolah untuk faedah bersama.

 

Dengan harapan tersebut, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Makan Malam Ulang Tahun Jubli Emas Saint Paul, Beaufort.

 

Sekian, terima kasih.