TEKS UCAPAN Y.A.B. DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN, KETUA MENTERI SABAH, SEMPENA MAJLIS PELANCARAN KEMPEN KESEDARAN MISI MEMBINA HIJAU PERINGKAT NEGERI SABAH, DI PUSAT PERDAGANGAN SABAH TELUK LIKAS, KOTA KINABALU

19 OGOS 2008

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

 

Marilah kita memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan  limpah kurnia-Nya kita dapat bersama-sama pada pagi ini sempena Majlis Pelancaran Kempen Misi Membina Hijau Peringkat Negeri Sabah. Saya mengucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak penganjur atas jemputan ke majlis yang amat bermakna kepada semua pihak sama ada rakyat, kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta di negeri ini.

 

Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas kepada PUSPANITA Kebangsaan kerana telah menjayakan Kempen Misi Membina Hijau Peringkat Kebangsaan yang dirasmikan oleh Y.A.B. Perdana Menteri pada 15 Mac 2007, diikuti bengkel dan dialog Polisi Misi Membina Hijau. Sesungguhnya kepercayaan Y.A.B. Perdana Menteri kepada PUSPANITA untuk menggerkkan kempen ke seluruh negara merupakan satu penghormatan yang tinggi terhadap kewibawaan dan komitmen tinggi PUSPANITA bagi merealisasikan usaha murni ini.

 

Konsep membina Hijau adalah aktiviti pembangunan yang diambil kira untuk mengurangkan pembaziran tenaga, air dan sumber serta menyediakan persekitaran dalaman yang sihat dengan menggunakan bahan-bahan mesra alam.  Dalam konteks pembangunan, antara cabaran yang dihadapi oleh industri pembinaan adalah kualiti bahan binaan yang perlu sesuai dengan persekitaran dan alam semulajadi.

 

Justeru, Kempen kesedaran Membina Hijau ini memang tepat pada masanya dengan menekankan kepentingan pembangunan mampan yang mengambil kira keenam-enam kriteria untuk Membina Hijau iaitu; Kemampanan Tapak Pembangunan (Sustainable site Planning); Penjimatan Air (Safeguarding Water and Water Efficiency); Kecekapan Tenaga (Energy Efficiency and renewable Energy); Penjimatan Sumber dan Bahan (Conservation of Materials and Resources); Kualiti Persekitaran Dalaman (Indoor Environmental Quality) dan; Inovasi Dalam Rekabentuk (Innovation in Design).

 

Jika diteliti kesemua kriteria tersebut, sememangnya ia belum dilaksanakan secara meluas dalam industri pembinaan. Dalam konteks ini, konsep Membina Hijau merupakan alternatif yang boleh dilaksanakan. Justeru, saya berharap semua peserta akan memanfaatkan peluang ini untuk memahami lebih lanjut tentang konsep Membina Hijau di samping bertukar-tukar fikiran dan berkongsi pengalaman bagi menetapkan amalan terbaik dalam industri pembinaan bangunan. Melalui usaha ini, kita dapat mengurangkan pembaziran dalam pembinaan dan operasi pembangunan, pembinaan bangunan yang berkualiti dan mesra alam.

 

Dengan mengamalkan Misi Membina Hijau, kita dapat mengimbangkan antara aktiviti pembangunan Alam Sekitar dengan Alam Semulajadi.  Ini boleh dicapai melalui kerjasama yang dimeterai dalam kerja-kerja pembangunan melibatkan penghuni dan pemilik aset dan juga semua pengguna demi untuk menjaga dan mengekalkan khazanah ciptaan Tuhan ini.

 

Media global menyifatkan tahun 2007 adalah tahun yang paling banyak berlaku perubahan iklim dan pemanasan global. Isu ini menjadi semakin meruncing yang memberikan isyarat jelas bahawa alam semulajadi semakin terancam akibat pembangunan yang tidak terancang.

 

Oleh itu, kesedaran setiap individu amat penting untuk mengekalkan dan mengimbangi ekologi alam semulajadi. Y.A.B. Perdana Menteri seringkali menekankan betapa pentingnya kita memelihara dan menghargai kesempurnaan bumi ciptaan Tuhan ini yang merupakan tanggungjawab kita bersama sebagai penghuninya. Bagaimanapun, kerajaan ingin menegaskan bahawa kita sama sekali tidak menolak atau menafikan kepentingan pembangunan kepada kemajuan negara dan kesejahteraan rakyat.

 

Tetapi, ia perlu seiring dengan pemuliharaan alam sekitar yang lebih mampan untuk kepentingan kita dan generasi akan datang. Krisis tenaga yang berlaku sekarang memberikan sinar dalam pemulihan pemanasan global dan sejajar dengan Misi Membina Hijau kerana ia akan mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian dengan menggalakkan penggunaan kenderaan awam, mempergiatkan lagi penyelidikan penggunaan Tenaga Bersih dan Pembangunan Mekanisme seperti biofosil dan nuklear.

 

Saya juga difahamkan bahawa PUSPANITA bergiat dengan Kursus Horticulture Landscape sejajar dengan aspirasi Y.ABhg Datin Seri Jeanne Abdullah, isteri kepada Y.A.B. Perdana Menteri. Dengan mewujudkan taman herbal dan edible garden di kediaman sendiri,  ia bukan sahaja menjimatkan perbelanjaan rumah, bahkan dapat mengurangkan import bahan pertanian.  Penjimatan ini juga akan mengukuhkan lagi fundamental ekonomi negara sekaligus mengurangkan pemanasan global.

 

Akhir kata, sekali saya merakamkan jutaan terima kasih kepada PUSPANITA dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah yang telah berganding bahu menjayakan Kempen Kesedaran Misi Membina Hijau. Saya yakin matlamat murni kempen ini akan tercapai untuk kemakmuran dan kesejahteraan kita dan generasi akan datang.

 

Dengan harapan tersebut, saya dengan sukacitanya merasmikan Pelancaran Kempen Kesedaran Misi Membina Hijau Peringkat Negeri Sabah.

 

 

Sekian, terima kasih.