Seniman Perlu Fokas Bangun Minda

Oleh: Arshad Hussin

 

 

KOTA KINABALU: Menteri DiJabatan Ketua Menteri Sabah,Datuk Haji Nasir Tun Sakaran,mengingatkan para seniman meletakkan aspek kesenian di atas landasan yang betul supaya boleh dijadikan alat membentuk kesejahteraan dan pembinaan insan.

 

Katanya,ini sejajar dengan peranan seniman mampu menyedarkan masyarakat memahami nilai-nilai kehidupan melalui nyanyian dan karya seni yang dihasilkan.

 

Sehubungan itu,katanya seniman perlu lebih fokas kepada aspek yang merangsang pembangunan minda dan pengisian ilmu kerana melalui penumpuan aspek tersebut golongan seniman akan menjadi kelompok manusia yang memiliki nilai hidup positif daripada sudut cara berfikir dan berkarya selari dengan kehendak Islam.

 

Nasir berkata, dunia hiburan masa kini kelihatan lebih condong kepada komersial dan populariti hingga melahirkan nyanyian,muzik,tarian,lirik lagu dan persembahan lebih berunsur keseronokan serta bermotifkan komersial.

 

Katanya,fenomena itu dilihat sebagai antara penyebab masyarakat semakin terpesong daripada tujuan kehidupan sebenar yang memfokas kepada kepentingan kebajikan umum,kemuliaan akhlak dan sopan santun sesuai dengan keperluan fitrah kejadian manusia.

 

Datuk Nasir berkata demikian sempena majis Pelancaran Karnival Dan Festival Seni Kompang / Marhaban sempena Karnival Kesenian Islam Negeri Sabah 1429H/2008M di Ruang Legar Wisma MUIS Kota Kinabalu.

 

Beliau menambah,membangun insan merupakan perkara utama perlu digembling bersama oleh setiap lapisan masyarakat dalam usaha melahirkan modal insan yang memiliki minda kelas pertama.

 

Datuk Nasir yang juga menteri bertanggungjawab mengenai Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah,menegaskan tanggungjawab itu turut dipikul oleh golongan seniman.

 

Meskipun kita tidak menafikan ramai dikalangan seniman telah memberikan tumpuan kepada perkara ini namun, kesinambungan usaha perlu terus ditingkatkan bagi memberi penekanan kepada aspek asas yang merangkumi soal akidah,akhlak dan budaya selaras dengan misi Islam yang membawa kesejahteraan kepada sekelian makhluk di dunia ini,” kata Nasir.

 

Nasir yang juga Pengerusi Karnival Kesenian Islam Negeri Sabah 1429/2008H,menjelaskan pameran Ekspo Halal yang dilaksana serentak dengan Karnival itu ingin menyemarakkan lagi semangat penyertaan pengusaha Islam dengan mengambil peluang dalam industri halal Negara dan antarabangsa berikutan potensi besar dalam bidang tersebut.

 

Katanya, industri halal tidak hanya tertumpu kepada produk makanan sahaja malah ia merangkumi perdagangan,produk pengguna,kosmetik,bahan kecantikan,kesihatan,produk herba dan farmaseutikal.

 

Pengusaha bumiputera Islam seharusnya segera bertindak dengan merebut peluang dalam industri halal ini kerana kita melihat hanya 20 peratus saja ianya dikuasai pengusaha bumiputera dan selebihnya sebanyak 80 peratus di Negara ini dimonopoli pengusaha bukan bumiputera,” kata Nasir.

 

Beliau menambah,dengan penekanan kepada sector pertanian dan industri asas tani oleh kerajaan pada masa kini,peluang perniagaan semakin terserlah dan mudah dimana sokongan kerajaan menerusi penyediaan jenis bantuan dan sokongan perlu segera dimanfaatkan.

 

Pembabitan usahawan Islam dalam industri makanan halal bukan sahaja meningkatkan ekonomi umat Islam tetapi juga dapat menyempurnakan fardu kifayah,” kata Nasir.