Pastikan Tanah Kubur Tidak Sesak,kata Datuk Nasir

Oleh: Arshad Hussin

 

KOTA KINABALU: Semua Jawatankuasa Masjid disetiap daerah negeri ini diminta memainkan peranan masing-masing memastikan tanah perkuburan Islam di kawasan mereka diurus dengan baik dan tidak sesak bagi mengelak pengambilan tanah persendirian yang berhampiran.

 

Menteri DiJabatan Ketua Menteri Sabah,Datuk Haji Nasir Tun Sakaran,menjelaskan berhubung perkara itu kerajaan negeri telah mengarah semua Pegawai Daerah mengenalpasti serta memantau tanah-tanah perkuburan Islam yang perlu diselenggara dengan baik.

 

Datuk Nasir yang juga Menteri bertanggungjawab mengenai Hal Ehwal Agama Islam di Sabah,menggesa Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) mengenalpasti kawasan baru bagi mengelak kesesakan selain memastikan kedudukan perkuburan lebih teratur dan tersusun.

 

Katanya,ini termasuk memastikan tanah perkuburan Islam mempunyai kemudahan lampu bagi membolehkan urusan pengkebumian pada waktu malam.

 

Berhubung dengan cadangan penswastaan pengurusan dan pengendalian tanah perkuburan Islam di Sabah,beliau berkata,cadangan tersebut perlu kajian teliti dan terperinci dengan mengambilkira pelbagai faktor sebelum dilaksanakan kerana bimbang cadangan itu bakal membebankan anggota keluarga orang yang meninggal dunia ekoran penswastaan itu.