Kerajaan Alu-Alukan Usaha Golongan Profesional Perubatan UMS

Oleh: Arshad Hussin

 

KUDAT: Kerajaan amat mengalu-alukan usaha golongan professional perubatan dari Institusi Pengajian Tinggi membantu masyarakat luar bandar menjaga kebersihan dan kesihatan.

 

Menteri DiJabatan Ketua Menteri Sabah,Datuk Haji Nasir Tun Sakaran menjelaskan pemeriksaan perubatan secara percuma terhadap penduduk kampong merupakan satu langkah yang amat murni dan dapat membantu kerajaan merealisasikan masyarakat yang sihat serta maju membangun.

 

Beliau berkata demikian sempena melancarkan Program Sunathon 2008 anjuran bersama gabungan pelajar-pelajar Sekolah Perubatan Universiti Malaysia Sabah (UMS);Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Cyberjaya University College of Medical Science (CUCMS) di SMK Sikuati II di sini.

 

Majlis berkhatan beramai-ramai itu disertai lebih 100 orang kanak-kanak dan dihadirisama Wakil Naib Canselor UMS, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa),Prof.Dr.Sanudin Haji Tahir,Timbalan Dekan Sekolah Perubatan UMS,Prof.Madya Dr.Zainal Ariffin Mustapha,Penyelaras Program Sunathon 2008,Haminuddin Hassan,Pengarah Program Sunathon 2008,Cik Ayuni Rameli.

 

Nasir berkata,program Sunathon dan kempen kesihatan itu dapat memberi manfaat serta bantuan kepada masyarakat mengutamakan kehidupan yang sihat dan menjaga kebersihan alam sekitar.

 

Katanya,Program Keluarga Angkat yang diwujudkan beberapa tahun lalu telah sebanyak sedikit membantu masyarakat mendapat pendedahan tentang kepentingan kesihatan dalam kehidupan harian.

 

Nasir berkata,dengan pembinaan bangunan baru Sekolah Perubatan UMS di daerah itu bagi kegunaan pelajar-pelajar perubatan semasa posting.

 

Katanya,dengan adanya kemudahan seumpama itu akan memberikan lagi suntikan semangat untuk terus menabur khidmat bakti kepada masyarakat.

 

Kita berharap usaha sekolah perubatan ini akan menjadi teladan kepada sekolah-sekolah pengajian tinggi lain di negeri ini untuk membangun masyarakat luar Bandar serta rakyat keseluruhannya, kata Nasir.