Sumbangan Negeri RM50 Ribu Untuk Pembangunan

Masjid Baitur Rahman Banda Acheh

Oleh: Arshad Hussin

 

BANDA ACHEH: Menteri DiJabatan Ketua Menteri Sabah,Datuk Haji Nasir Tun Sakaran baru-baru ini telah mengetuai rombongan Masjid Bandaraya Kota Kinabalu melakukan lawatan rasmi ke Banda Acheh Darussalam.

 

Turuserta dalam lawatan itu Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS),Haji Amri Suratman,Setiausaha Rendah 1,Jabatan Ketua Menteri Sabah,Datuk Haji Ag.Sharin Alimin dan Pengerusi Program Al-Mubarak Masjid Bandaraya Kota Kinabalu,Haji Jamal Tun Sakaran.

 

Sempena lawatan itu Datuk Nasir dan rombongan menerima undangan Wakil Gubnur Provinsi Nanggroe Acheh Darussalam,Muhamad Nazar S.A.G. dan menyaksikan majlis menandatangani perjanjian (MoU) Pembangunan Masjid dan Pertukaran Aktiviti antara Masjid Bandaraya Kota Kinabalu dengan Masjid Raya BaiturRahman.

 

Majlis MoU itu diwakili Pengerusi Program Mubarak Masjid Bandaraya Kota Kinabalu,Haji Jamal Tun Sakaran dan Prof.Dr.Tgk.H.Azman Ismail mewakili Masjid Raya BaiturRahman serta disaksikan Ketua Dewan Kemakmuran Masjid (DKM) Acheh,Drs. H.Hasan Basry,Pengarah JHEAINS,Haji Amri Suratman dan Wakil Gubnur Acheh,Muhamad Nazar.

 

Datuk Nasir yang juga Menteri bertanggungjawab mengenai Hal Ehwal Agama Islam di Sabah menyampaikan sumbangan ikhlas Kerajaan Negeri Sabah sejumlah RM50 ribu kepada Wakil Gubnur Banda Acheh untuk tujuan pembangunan Masjid BaiturRahman sebanyak RM10 ribu dan bakinya RM40 ribu untuk rumah anak-anak yatim di Acheh.

 

Sebelum itu Datuk Nasir dan rombongan serta jemaah menghadiri taklimat Perancangan Strategik Pembangunan Masjid Di Alaf Baru;Masjid Sebagai Nadi Pembangunan Strategik Kemajuan Agama,Sosial & Ekonomi Ummah oleh Haji Jamal Tun Sakaran selepas solat Magrib di masjid Raya BaiturRahman Acheh dan disiarkan secara langsung melalui radio masjid Raya BaiturRahman ke seluruh Acheh dan Sumatera,Indonesia.