Karnival Kesenian Islam Mula 21 hingga 25 Julai ini

Oleh: Arshad Hussin

 

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) buat pertama kalinya akan menghimpunkan beberapa program kesenian Islam dan pengisian lain berkaitan Islam yang lebih menyeluruh dan mampu menarik audian.

 

Seperti ditahun-tahun sudah beberapa kesenian Islam dilaksanakan bersempena dengan sambutan perayaan hari-hari kebesaran Islam yakni Festival Nasyid dilaksana sempena sambutan Ma’al Hijrah manakala Festival Seni Kompang dan Marhaban pula dilaksana sempena sambutan Maulidur Rasul S.A.W.

 

Menteri DiJabatan Ketua Menteri,Datuk Haji Nasir,berkata pada tahun ini Karnival Kesenian Islam Negeri Sabah 1429H/2008M akan diadakan di Wisma MUIS bermula 21 hingga 25 Julai depan.

 

Menurut Datuk Nasir,Jawatankuasa Induk Sambutan Perayaan dan Hari Kebesaran Islam telah memutuskan untuk menggabung semua program yang berkaitan dengan kesenian Islam di bawah satu jenama Karnival Kesenian Islam Negeri Sabah 2008.

 

Datuk Nasir berkata demikian sempena Sidang Media Karnival itu di Wisma Muis dan dihadirisama Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah(JHEAINS),Haji Amri A.Suratman;Setiausaha Rendah 1 JKM,Datuk Haji Ag.Sharin Alimin,Timbalan pengarah Rancangan Jabatan Penyiaran Sabah,Hashim Jeffry dan Timbalan Pengarah Jabatan Penerangan Sabah,Ibrahim Jahar.

 

Beliau menjelaskan karnival tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat kepada khazanah seni budaya warisan Islam dan penggunaan barangan halal khususnya generasi muda;membudayakan masyarakat terhadap kesenian nasyid dan kompang/marhaban;melahirkan generasi pewaris berkebolehan menguasai bidang berkenaan sebagai satu pendekatan jangka panjang memulihara kesenian tersebut disamping pembudayaan ilmu yang meliputi cara hidup seharian.

                                                                                                                          

 

Datuk Nasir yang juga Menteri bertanggungjawab mengenai Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah,menambah antara lain program kesenian yang digabungkan dalam carnival itu termasuklah Bicara Seni dengan kerjasama RTM Sabah;Ekspo Halal dikendalikan bersama agensi kerajaan;Ekspo Buku dikendalikan DBP Cawangan Sabah;Festival Seni Kompang dan Marhaban Peringkat Negeri Sabah;Festival Nasyid Peringkat Negeri Sabah;Mahrajan Sastera Islam Ke-18.

 

Selain itu karnival itu juga mengadakan Konvensyen Halal yang akan menjelaskan kepada peserta tentang produk halal meliputi semua elemen menjurus kepada halal dan haram sesuatu makanan atau barangan mengikut hukum syarak.

 

Katanya,konvensyen Halal itu terbuka kepada orang awam dan pengusaha produk halal bermula pada 24 Julai 2008 jam 8.00 pagi di Dewan Saadah Wisma MUIS.

 

Nasir berkata,majlis pelancaran Karnival itu akan diadakan pada 23 Julai ini sementara penyampaian hadiah pada 24 Julai 2008 yang dijangka akan disempurnakan oleh TYT Yang DiPertua Negeri Sabah,Tun Datuk Seri Panglima Haji AhmadShah Abdullah.

 

Nasir menambah,majlis itu juga akan dihadiri sama YAB Ketua Menteri Sabah,Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman dan Yang Amat Berbahagia Datin Hajjah Faridah Tussin,menteri-menteri cabinet,pembantu-pembantu menteri,pemimpin masyarakat tempatan,badan-badan NGO’s serta orang ramai dan pelajar sekolah.

 

“ Kita berharap program yang disusun atur sempena Karnival Kesenian Islam ini akan dapat mempertingkatkan kefahaman mengenai seni Islam sekaligus menanamkan kecintaan kepada budaya yang ISLAMIK disamping melestarikan kesenian Islam supaya terus terpelihara,” kata Nasir

 

Sehubungan itu Datuk Nasir menyeru seluruh masyarakat Islam khususnya di sekitar Bandaraya ,Papar,Tuaran dan daerah-daerah berhampiran dating beramai-ramai ke Karnival tersebut yang akan bermula pada 21 hingga 25 Julai 2008 di Wisma MUIS.