UCAPAN  Y.A.B. DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN, KETUA MENTERI SABAH, DI MAJLIS PERASMIAN PREMIS BARU CAWANGAN BANK ISLAM MALAYSIA BERHAD KOTA KINABALU, DI PERKARANGAN BANGUNAN UMNO SABAH

KOTA KINABALU, PADA 13 JUN 2008

 

Terlebih dahulu, marilah kita memanjatkan setinggi-tinggi rasa syukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah izin-Nya, kita telah dapat bersama-sama pada pagi yang mulia ini sempena Majlis Perasmian Premis Baru Cawangan Bank Islam Malaysia Berhad Kota Kinabalu. Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada pihak pengurusan Bank Islam di bawah pimpinan Y.Bhg Dato’ Zukri Samat atas undangan kepada saya bagi menyempurnakan perasmian majlis penuh bermakna ini.

 

Saya difahamkan bahawa tahun 2008 ini genaplah 25 tahun usia Bank Islam iaitu bank pertama yang mengamalkan sistem perbankan syariah di negara kita. Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Bank Islam yang telah berjuang memartabatkan sistem kewangan Islam. Sesungguhnya, kemampuan kita untuk melaksanakan sistem kewangan Islam secara pragmatik adalah suatu rahmat yang dianugerahi Allah S.W.T.

 

Kita juga sedia maklum bahawa peranan dan keupayaan perbankan Islam di negara bermasyarakat majmuk hari ini telah membuktikan usaha Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam menonjolkan Malaysia sebagai sebuah hab perbankan Islam di rantau ini telah menampakkan kejayaan. Buktinya, perbankan dan kewangan Islam merupakan satu sistem kewangan pilihan yang telah diterima bukan sahaja oleh masyarakat Islam bahkan juga masyarakat bukan Islam. Malah sistem ini juga terbukti berdaya maju dan berjaya dalam sistem kewangan di peringkat global.

 

Saya turut difahamkan bahawa selepas 25 tahun, Bank Islam telah melalui satu proses transformasi untuk mencapai tahap yang lebih baik dalam segala urusannya. Pelancaran premis baru cawangan Kota Kinabalu pada hari ini melambangkan kesungguhan Bank Islam untuk meningkatkan imej dan identitinya ke arah menambah baik kualiti penyampaian perkhidmatan dan memantapkan lagi kemampuannya untuk memenuhi kehendak pelanggan. Saya yakin Bank Islam akan terus menjayakan muamalah Islam walaupun wujud banyak persaingan daripada lain-lain institusi perbankan Islam di negara kita ketika ini.

 

Syabas saya ucapkan kepada Bank Islam kerana telah berjaya menampilkan imej cawangan barunya yang lebih moden dan berkonsepkan ‘mesra pelanggan’ serta lengkap dengan kemudahan perbankan elektronik, sejajar dengan perancangan masa depannya untuk kekal kompetitif dan relevan dalam industri perbankan Islam di peringkat nasional dan global. Selain itu, saya percaya dengan peningkatan prasarana fizikal pejabat yang lebih sempurna ini akan memastikan persekitaran kerja yang kondusif dapat merangsang budaya kerja cemerlang serta menghasilkan tahap produktiviti yang lebih baik bagi warga kerja Bank Islam.

 

Dalam persekitaran sebegini, tumpuan kepada membina tenaga kerja yang berpengetahuan dan mahir dalam perkhidmatan kewangan adalah penting sebagai pelaburan masa hadapan. Justeru, saya mengalu-alukan usaha pengurusan Bank Islam untuk mendidik, melatih dan menggalakkan warga kerjanya membangunkan potensi mereka sepenuhnya bagi meningkatkan daya kerja yang berkualiti.

 

Seperti yang kita sedia maklum, kerajaan telah melancarkan Koridor Pembangunan Sabah (SDC) yang antara lain bertujuan untuk membasmi kemiskinan di negeri ini serta merapatkan jurang perbezaan antara bandar dan luar bandar secara lebih menyeluruh. Projek pembangunan koridor keempat Malaysia ini dijangka menerima pelaburan berjumlah RM105 bilion dalam tempoh 18 tahun pelaksanaannya. 

 

Saya amat yakin bahawa projek-projek di bawah SDC bukan sahaja bakal mengubah wajah Sabah dengan menyediakan landskap ekonomi yang baru tetapi juga dapat memastikan kemiskinan dapat dikurangkan secara konsisten di seluruh pelosok negeri, insya-Allah. Dalam kesempatan ini, saya menyeru agar Bank Islam serta para pelabur dapat memanfaatkan sepenuhnya potensi pertumbuhan ekonomi Sabah yang kian pesat terutamanya dalam pelan ekonomi SDC. Antaranya potensi dalam bidang pertanian bagi membolehkan kita meningkatkan kapasiti untuk menghasilkan makanan sendiri dan mengusahakan tanaman bernilai tinggi untuk dieksport. Untuk pengetahuan hadirin sekalian, kadar penghasilan minyak sawit di negeri ini adalah yang tertinggi di dunia.

 

Di samping sumber pertanian, sumber mineral dan perhutanan juga akan membolehkan Sabah memanfaatkan nilai aktiviti pembuatan selain daripada loji pemprosesan gas, penapisan minyak, produk berasaskan kayu serta agro-industri. Sabah juga akan dimajukan sebagai pintu gerbang utama rantau Asia Tenggara bagi tujuan perdagangan, pelaburan dan pelancongan.  Negeri ini juga akan memastikan agar kos bagi menjalankan perniagaan dapat dikurangkan melalui peningkatan rangkaian logistik yang merupakan antara daya tarikan unik pelabur tempatan dan asing ke negeri ini. Secara keseluruhannya, SDC Sabah akan memastikan pembangunan yang berkualiti dan berterusan bagi menjamin kesejahteraan serta kemakmuran untuk rakyat Sabah.

 

Potensi untuk sistem perbankan Islam berkembang di Sabah sememangnya amat cerah. Justeru, saya berharap Bank Islam akan terus mempelopori sistem ini bagi memberi pilihan terbaik kepada rakyat khususnya di negeri ini.  Saya percaya, manfaat daripada pelaksanaan SDC nanti akan turut dirasai oleh Bank Islam memandangkan ketika ini para pelabur asing juga semakin berminat untuk menggunakan perkhidmatan sistem perbankan Islam di negara kita.

 

Saya berdoa mudah-mudahan Bank Islam di bawah pimpinan Y.Bhg. Dato’ Zukri Samat akan berjaya mencapai objektif yang dirancangkan dan turut menyumbang kepada matlamat kerajaan menjadikan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam yang unggul di rantau ini. Dengan niat yang ikhlas dan disusuli daya usaha yang gigih, saya yakin segala usaha pembangunan Bank Islam selama ini akan terus mendapat keberkatan daripada Allah S.W.T.

 

Dengan lafaz Bismillahhirahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan premis baru Cawangan Bank Islam Malaysia Berhad, Kota Kinabalu, Sabah.

 

Sekian, wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.