UCAPAN
Y.A.B. DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN, KETUA MENTERI SABAH, SEMPENA MAJLIS PERASMIAN PROGRAM INTEGRASI
WARGA KERJA LEMBAGA KEMAJUAN IKAN MALAYSIA (LKIM) 2008
DI
STADIUM UNIVERSITI MALAYSIA SABAH, PADA 12 JUN 2008 (KHAMIS)
Terlebih dahulu marilah kita mengucapkan syukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana
dengan izin-Nya kita dapat bersama-sama dalam Program Integrasi Warga Kerja LKIM
2008. Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada
pihak penganjur atas jemputan bagi menggerakkan agenda penting dalam konteks peningkatan
kualiti dan modal insan khususnya bagi warga LKIM.
Usaha-usaha meningkatkan pengetahuan, kreativiti dan
kualiti di kalangan warga kerja sesebuah organisasi amatlah penting. Ini kerana
setiap warga mempunyai peranan masing-masing bagi menjayakan pelbagai rancangan
dan program pembangunan yang telah ditetapkan di peringkat jabatan dan agensi.
Ia selaras dengan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9) yang menekankan
kepentingan transformasi menyeluruh dalam aspek pembinaan modal insan dan penghijrahan
minda di kalangan rakyat. Justeru, usaha menganjurkan Program Integrasi Warga
Kerja ini adalah sangat bertepatan dalam usaha LKIM melahirkan warga kerja yang
berkualiti dan memupuk budaya kerja yang berprestasi tinggi pada sepanjang
masa.
Kerajaan Negeri Sabah sentiasa menyambut baik usaha-usaha
LKIM dalam meningkatkan lagi pembangunan dan taraf hidup rakyat di negeri ini
menerusi pelbagai insentif dan peluang, khususnya kepada golongan nelayan. Program
integrasi ini sebenarnya sedikit sebanyak dapat memberi gambaran dan pendedahan
kepada saudara saudari kepada corak kehidupan rakyat Sabah dan aspek-aspek
pembangunan yang diperlukan. Saya yakin bukan semua yang menyertai program ini
berpeluang mengunjungi atau berkhidmat di Sabah. Justeru, saya berharap saudara
saudari dapat memanfaatkan peluang ini untuk melihat perkembangan di sabah dari
prespektif sebenar dan seterusnya dapat membantu mempercepatkan program-prpgram
pembangunannya.
Pelaksanaan Koridor Pembangunan Sabah (SDC) merupakan
agenda utama pembangunan Kerajaan Negeri Sabah ketika ini. Menerusi SDC,
potensi Sabah dalam pelbagai sektor akan dibangunkan secara holistik dalam
tempoh 18 tahun akan datang (sehingga 2025) untuk menjana kemajuan ekonomi,
kemakmuran sosial dan meningkatkan kesejahteraan rakyat. Dalam masa yang sama,
kestabilan politik,
keharmonian lebih 32 kumpulan etnik, kepelbagaian budaya dan warisan serta kekayaan
biodiversiti berupaya melonjakkan kemajuan Negeri Sabah dalam pelbagai bidang.
Kemajuan ini adalah berpaksikan kepada beberapa aspek yang digariskan dalam
SDC. Antaranya; Sabah sebagai salah satu pintu gerbang utama di rantau ini bagi
tujuan perdagangan, pelaburan, dan pelancongan; Sabah sebagai sebuah negeri
yang menyediakan suasana kehidupan yang harmoni dan sejahtera tanpa mengira
bangsa mahupun agama; Sabah sebagai sebuah negeri yang mesra teknologi dalam
segenap aspek kehidupan untuk menjamin kualiti hidup yang lebih bermutu; Sabah
sebagai sebuah negeri yang kaya dengan peluang pekerjaan untuk semua golongan dan;
Sabah sebagai sebuah negeri yang selesa untuk didiami, dengan kualiti hidup
yang tinggi serta kepelbagaian budaya, warisan, dan alam sekitar.
Di samping itu, kerajaan menyasarkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) akan meningkat
empat kali ganda, kepada RM63.2 bilion pada tahun 2025, iaitu jangka masa
pelaksanaan SDC. Pelaksanaan koridor ini juga akan menjana 900,000 peluang
pekerjaan sementara kadar pengangguran pula akan dapat dikurangkan daripada 5.8
peratus pada tahun 2006, kepada 3.5 peratus pada tahun 2025, iaitu dalam masa
18 tahun daripada sekarang. Namun, yang paling penting pada tahun 2025 nanti,
kita berazam untuk membasmi kemiskinan secara total.
Bagi merealisasikan matlamat murni ini, kerajaan memerlukan kerjasama dan komitmen
daripada semua pihak termasuk LKIM. Antaranya dengan memperluaskan
program-program keusahawanan kepada nelayan khususnya melalui program “satu daerah satu produk” yang telah
diperkenalkan oleh LKIM. Di samping itu, perkampungan-perkampungan nelayan di
Sabah juga boleh diperkenalkan sebagai destinasi pelancongan desa yang unik dan
menarik di bawah program ‘homestay’.
LKIM juga diharap dapat memperkenalkan sistem pemasaran ikan dan penyimpanan
ikan yang baik agar hasil perikanan negeri Sabah seperti Tuna dapat dieksport
ke luar negara memandangkan Sabah kini sedang dalam usaha meningkatkan sektor
perikanan laut dalam.
Saya percaya menerusi pelbagai aktiviti sepanjang Program
Integrasi Warga Kerja LKIM 2008 ini, ia memberi faedah secara langsung bukan
sahaja kepada warga LKIM, bahkan kepada golongan sasar atau pelanggan semasa
saudara saudari menjalankan tugas-tugas seharian. Antaranya Program
Kecemerlangan dan Kecergasan Anggota LKIM. Ini kerana pembabitan aktif dalam
sukan akan membentuk warga kerja yang cergas, cekap, aktif, berdisiplin,
berdaya maju, dan berdaya tahan. Selain itu, sukan juga dapat memperkukuhkan
semangat kerjasama berpasukan dan mengeratkan integrasi dalam kalangan warga
LKIM serta masyarakat sekitar secara keseluruhannya.
Sebelum mengakhiri ucapan, saya berharap program-program seumpama ini akan
diteruskan pada masa-masa akan datang bagi memantapkan lagi tanggungjawab dan
komitmen saudara saudari menjayakan visi dan misi LKIM. Insya-Allah, dengan
semangat, komitmen dan sokongan padu daripada semua pihak, matlamat murni kita
untuk menggerakkan agenda pembangunan bagi
kesejahteraan rakyat akan dapat direalisasikan.
Dengan lafaz Bismillahir-Rahmanir-Rahim, saya dengan sukacitanya merasmikan
Program Integrasi Warga Kerja LKIM
Tahun 2008. Sekian, terima kasih.