UCAPAN KHAS

Y.A.B. KETUA MENTERI SABAH

DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN

SEMPENA PESTA KAAMATAN 2008

 

Saya dan isteri serta keluarga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan “Kotobian Tadau Tagayo Do Kaamatan 2008” kepada seluruh masyarakat Kadazandusun dan Murut di Sabah kerana sekali lagi berpeluang merayakan Pesta Kaamatan pada tahun ini.  Saya juga ingin melahirkan rasa penghargaan dan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia di Sabah yang telah mengambil inisiatif untuk sama-sama memeriahkan perayaan ini dalam suasana aman dan harmoni.

 

Saya bersyukur dan berasa gembira disebabkan pada setiap tahun Pesta Kaamatan ini dirayakan oleh segenap lapisan rakyat di negeri ini, tanpa mengira fahaman politik, agama mahupun latar belakang etnik. Ini telah berjaya mengangkat Pesta Kaamatan sebagai perayaan peringkat nasional yang dikongsi bersama semua kaum.  Seperti perayaan-perayaan yang turut dirayakan oleh masyarakat lain, Pesta Kaamatan adalah masa yang sesuai bagi memupuk semangat muhibbah dan persefahaman antara satu sama lain di kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

 

Saya juga berasa gembira disebabkan Pesta Kaamatan terus kekal menjadi salah satu daripada produk pelancongan bernilai tinggi bagi Negeri Sabah.  Kerajaan Negeri sememangnya menyedari bahawa dengan menonjolkan Pesta Kaamatan sebagai perayaan peringkat nasional, ia akan menjadi satu pendekatan strategik untuk menggalakkan kehadiran lebih ramai pelancong asing ke Sabah khasnya dan Malaysia amnya. Ini juga akan menjadi sebahagian daripada usaha penting kerajaan dalam menjamin kejayaan program-program pembangunan kerajaan, termasuklah Hala Tuju Pembangunan dan Kemajuan Negeri Sabah dan Koridor Pembangunan Sabah.

 

Pada hari ini, sambutan Pesta Kaamatan turut dirayakan sebagai menghargai sumbangan hasil usaha para petani kita.  Kerajaan amat menyedari akan kepentingan dan potensi para petani di negeri ini, dan kerana itu Kerajaan Negeri akan berusaha sebaik mungkin untuk memastikan para petani di seluruh negeri ini dapat dilibatkan secara aktif dalam semua pelaksanaan dasar pembangunan ekonomi negeri, khususnya yang berkaitan dengan program-program kemajuan pertanian.

Kerajaan akan terus memberikan bantuan sewajarnya kepada masyarakat petani dan lain-lain sektor masyarakat untuk memperbaiki keadaan hidup mereka. Kerajaan sememangnya komited untuk meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat, tanpa mengira latar belakang kaum, agama dan sosial. Bagi menjayakan matlamat ini, kerajaan memohon kerjasama daripada seluruh rakyat untuk sama-sama bekerja dan berusaha membangunkan Negeri Sabah demi faedah dan kepentingan bersama.

 

Kini, Pesta Kaamatan telah berperanan lebih luas selari dengan tuntutan semasa. Pemilihan tema “Keamanan Melalui Kebudayaan” turut menggambarkan betapa Pesta Kaamatan berupaya menjadi wahana penting bagi kerajaan mencapai apa juga matlamat pembangunan termasuklah mewujudkan sebuah masyarakat Malaysia yang bersatu padu serta mementingkan kehidupan yang aman dan harmoni.  Pesta Kaamatan juga mampu menyuburkan lagi semangat integrasi kaum yang selama ini menjadi aset penting kepada perpaduan yang kukuh dan mantap di kalangan rakyat negara ini.

 

Justeru, sempena perayaan Pesta Kaamatan 2008 ini, saya mengambil kesempatan ini untuk menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia di Sabah supaya berusaha meningkatkan lagi tahap perpaduan dan keharmonian yang sedang kita nikmati sekarang, selain berusaha mengekalkannya demi kemakmuran dan keamanan berpanjangan. Saya berkeyakinan penuh bahawa kita akan dapat meneruskan usaha memelihara perpaduan dan keharmonian bagi mencapai kemajuan untuk faedah bersama.

 

Akhir kata, bagi pihak Kerajaan Negeri, saya dan keluarga sekali lagi mengucapkan “Kotobian Tadau Tagayo Do Kaamatan”.