UCAPAN PERASMIAN Y.A.B. DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN KETUA MENTERI SABAH, SEMPENA MAJLIS PAMERAN DAN SUKAN TRADISI, PERAYAAN PESTA KAAMATAN PERINGKAT NEGERI SABAH TAHUN 2008, DI HONGKOD KOISAAN PENAMPANG, PADA 30 MEI 2008

 

Terlebih dahulu, saya mengucapkan selamat menyambut perayaan Pesta Kaamatan Tahun 2008 kepada semua rakyat negeri Sabah khususnya masyarakat Kadazandusun dan Murut serta masyarakat etnik lain yang sama-sama memeriahkan sambutan perayaan ini.  Saya juga mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak penganjur kerana telah sudi mengundang saya untuk hadir dan seterusnya menyempurnakan perasmian majlis penuh bermakna pada pagi ini.

 

Kita seharusnya bersyukur kerana negeri ini sentiasa dianugerahi dengan keamanan, seperti yang telah kita kecapi pada hari ini sehingga membolehkan kita menikmati kehidupan dalam suasana yang harmoni dan sejahtera. Selain itu kita juga dapat merancang dan menentukan hala tuju pembangunan negara mengikut kemahuan dan citarasa kita sendiri. Persefahaman dan kerjasama antara kaum di negeri ini khususnya dan Malaysia amnya adalah amat penting dalam mengekalkan keharmonian di negeri ini demi mencapai serta merealisasikan impian kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju pada tahun 2020.

 

Pada hari yang sungguh bermakna ini, sekali lagi pada tahun ini kita dapat berkumpul dan bersama-sama untuk memeriahkan lagi Majlis Pelancaran Pameran dan Sukan Tradisi sempena Pesta Kaamatan Tahun 2008.  Saya percaya, perayaan ini bukan sahaja dirayakan oleh masyarakat di kalangan etnik KadazanDusun dan Murut bahkan juga mendapat sambutan daripada segenap lapisan masyarakat di negeri ini.  Justeru, perayaan sebegini telah memberikan peluang kepada semua lapisan masyarakat di negeri ini untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim, melahirkan semangat kerjasama, perpaduan dan kesejahteraan hidup demi mewujudkan negara yang aman dan damai.

 

Saya berasa amat bangga disebabkan penonjolan identiti kebudayaan melalui Pameran dan Sukan Tradisi telah dititikberatkan dalam Pesta Kaamatan ini.  Ini merupakan satu usaha yang murni yang memerlukan sokongan dan penglibatan semua pihak.  Negara kita amat kaya dengan aktiviti sukan dan rekreasi warisan sejak dahulu lagi. Keunikan sukan tradisional yang kita miliki ini sewajarnya dipelihara dan dipromosikan bagi memastikannya tidak hilang ditelan zaman. Banyak sukan tradisional yang perlu digiatkan kembali dan penganjuran aktiviti sukan tersebut secara hakikatnya tidak memerlukan kos yang banyak.

 

Oleh yang demikian, saya menyeru agar agensi-agensi kerajaan yang berkaitan serta penggerak sukan dan rekreasi di negeri ini khususnya badan-badan sukan dapat menghidupkan kembali serta memajukan sukan tradisional. Dengan ini, dapatlah kita menyemarakkan nilai-nilai dan keunikan sukan ini serta dapat mengekalkan pula warisan budaya kita daripada ditenggelami arus kebangkitan nilai-nilai moden. Saya yakin, sukan dan rekreasi tradisional kita dapat diketengahkan hingga ke peringkat antarabangsa sekiranya usaha promosi yang terancang dan sistematik dapat dilakukan. Dalam konteks ini, saya sekali lagi menyeru kepada semua masyarakat di negeri ini agar sama-sama berusaha supaya  Sukan Tradisi kembali mendapat sambutan di kalangan generasi muda.

 

Keunikan yang dimiliki oleh Malaysia yang kaya dengan warisan budaya, tradisi dan kepercayaan merupakan aset penting kepada negara. Pada hakikatnya, negara kita menjadi negara yang dihormati dan mendapat pengiktirafan daripada masyarakat antarabangsa kerana keupayaan Malaysia mentadbir dan mengurus rakyat yang berbilang kaum dan kepercayaan dalam suasana aman dan harmoni. Kejayaan ini adalah hasil daripada usaha dan kerjasama semua pihak melalui semangat perpaduan, hormat-menghormati dan sikap bertoleransi dalam kalangan masyarakat negara ini.

 

Selain itu, kesetabilan politik negara ini juga telah meyakinkan para pelabur dan para pelancong luar negara untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi utama mereka. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan begitu komited dan telah melipatgandakan usaha supaya perpaduan dan keharmonian yang kita kecapi pada hari ini mampu dipertahankan selamanya. Sememangnya tidak dinafikan bahawa ada cubaan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab untuk berusaha memecahbelahkan atau menghancurkan keharmonian yang kita miliki. Walau bagaimanapun saya penuh yakin bahawa rakyat Sabah sudah cukup matang malahan boleh berfikir secara rasional untuk menilai yang mana intan atau permata.

 

Usaha berterusan Kerajaan Negeri mahu pun Kerajaan Persekutuan dalam meningakatkan lagi kesejahteraan rakyat di negeri ini melalui Koridor Pembangunan Sabah merupakan satu lagi pendekatan baru ke arah menjana pembangunan ekonomi di negeri ini, yang akan dinikmati oleh semua rakyat Sabah. Pelan koridor tersebut telah dibentuk dengan mengambil kira budaya, keharmonian dan kesefahaman yang wujud dalam kalangan masyarakat di negeri ini, di samping menyeimbangkan perpaduan wilayah negeri ini. Pelaksanaan koridor ini akan menjadi pemangkin kepada sosioekonomi masyarakat setempat yang akan membantu meningkatkan lagi kualiti hidup rakyat. Ini sekaligus dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara satu sama lain dan akan menyumbang ke arah suasana hidup yang aman dan harmoni.

 

Sektor pertanian merupakan salah satu intipati penting program di bawah pelaksanaan Koridor Pembangunan Sabah yang akan memberi manfaat kepada para petani untuk menikmati unjuran peningkatan pembangunan ekonomi. Oleh itu, para petani memainkan peranan penting untuk turut serta menjayakan program ini khususnya dalam meningkatkan produktiviti pengeluaran makanan. Dalam hubungan ini, perayaan Pesta Kaamatan seharusnya dijadikan suntikan semangat kepada semua lapisan masyarakat khususnya masyarakat luar bandar bagi menyahut cabaran ini terutama dalam konteks melipatgandakan usaha untuk mejayakan program pembangunan sektor pertanian. Saya percaya sekiranya perkara ini diusahakan dengan bersungguh-sungguh sektor pertanian berupaya menjadi penyumbang utama kepada ekonomi negeri dan negara.

 

Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah dan syabas kepada Jawatankuasa Induk Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2008 yang diketuai oleh Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan serta semua ahli Jawatankuasa Kecil/Pelaksana yang terlibat dalam menjayakan majlis pada pagi ini. Saya juga menaruh harapan yang tinggi agar majlis dan perayaan ini akan terus dihayati sebagai pemangkin kepada perpaduan dan kemajuan negara.

 

Dengan kata-kata itu, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Pameran dan Sukan Tradisi Sempena Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah tahun 2008.

 

Kopivosian om Kounsikaan Tadau Tagazo do

Kaamatan

 

Sekian dan terima kasih.