UCAPAN Y.A.B. DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN, KETUA MENTERI SABAH, SEMPENA MALAM ANUGERAH KHAS Y.A.B. KETUA MENTERI, DI AUDITORIUM TUN RAFFAE, MENARA TUN MUSTAPHA PADA 27 MEI 2008 (SELASA)

 

Terlebih dahulu saya merakamkan jutaan terima kasih kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) atas jemputan untuk merasmikan Malam Anugerah Khas Y.A.B. Ketua Menteri. Saya berasa amat gembira dapat bersama-sama dengan para penyanyi dan pemuzik veteran negeri Sabah yang kita raikan dalam majlis yang sungguh bermakna dan gilang-gemilang ini.

 

Kerajaan Negeri Sabah dengan kerjasama DBKK mengambil inisiatif menganjurkan majlis yang julung-julung kali diadakan ini bagi mengiktiraf sumbangan dan menghargai jasa para penyanyi dan pemuzik veteran kita yang telah berusaha dengan gigih dengan menunjukkan kejayaan yang outstanding dalam bidang yang diceburi.

 

Justeru, kita akan menyaksikan seramai 48 orang penyanyi dan pemuzik negeri Sabah yang telah mengharumkan nama negeri Sabah dengan memartabatkan kejayaan seni yang amat membanggakan sama ada di peringkat negeri, kebangsaan mahupun antarabangsa. Kita sedia maklum, era 50an dan 60an adalah era kegemilangan para penyanyi kelahiran Sabah yang telah menempa kejayaan demi kejayaan di peringkat nasional, khususnya  dalam Pertandingan Bintang Radio anjuran RTM yang cukup popular pada masa itu.

 

Saya percaya bahawa kejayaan para penyanyi dan pemuzik veteran kita tidak dicapai dengan mudah. Umum mengetahui bahawa menjadi anak seni memang banyak cabaran dan rintangan sesuai dengan perkembangan pesat industri nyanyian dan muzik. Selain menjadi figura masyarakat, khalayak juga mempunyai ekspektasi yang tinggi terhadap kualiti hasil seni yang diterbitkan.

 

Kepesatan industri seni tanahair dengan kelahiran begitu ramai artis dari negeri-negeri lain seolah-olah menenggelamkan zaman kegemilangan artis-artis dari Sabah. Tetapi dengan kegigihan dan semangat yang kental serta kreativiti dalam seni persembahan yang disesuaikan dengan trend semasa, ramai penyanyi dan pemuzik veteran kita yang terus mencipta nama sehingga ke hari ini.

 

Kini kita juga menyaksikan ramai bakat muda yang mengharumkan nama negeri Sabah dalam bidang seni dengan menjuarai beberapa program realiti di peringkat kebangsaan. Antaranya Ray yang memenangi Suara Emas Bintang RTM, Ayu berjaya dalam rancangan One In A Million  dan yang terbaru Stacy telah dilobatkan sebagai juara Akademi Fantasia (AF) musim ke-6 pada minggu lepas. Malah terdapat juga yang telah berjaya sebagai komposer dan artis rakaman. Sesungguhnya kejayaan mereka ini amat membanggakan kita semua kerana ia jelas membuktikan semangat Sabah Boleh, bahawa anak-anak tempatan Sabah juga berbakat besar dan tidak kurang hebatnya dalam bidang seni.

 

Bagiamanpun, kejayaan ini perlu terus dipertingkatkan secara berterusan dan tidak hanya bersifat sementara. Dalam mengekalkan populariti, kualiti nyanyian dan kreativiti muzik yang kita hasilkan juga perlu sentiasa diutamakan. Dalam konteks ini, para penyanyi veteran kita boleh dijadikan contoh dan sumber inspirasi kepada generasi muda untuk menempa kejayaan yang lebih cemerlang dan berpanjangan pada masa akan datang. Dengan berkongsi pengalaman luas, ilmu dan bakat semulajadi yang dimiliki, penyanyi-penyanyi veteran ini perlu menjadi mentor kepada generasi muda dalam bidang nyanyian dan muzik.

 

Kerajaan Negeri Sabah sememangnya menggalakkan penyertaan bakat-bakat muda dalam program-program mencungkil bakat seni mereka. Ini kerana melalui bidang nyanyian dan muzik, ia dapat memupuk semangat perpaduan dan keharmonian di kalangan rakyat berbilang kaum. Gabungan genre muzik dan alunan irama lagu dari pelbagai suku kaum yang diolah dalam bait-bait indah berupaya menghasilkan lagu yang menarik dan diminati oleh semua kaum.

 

Menerusi pelbagai kategori anugerah yang diberikan, ia jelas membuktikan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa mengiktiraf sumbangan semua pihak dalam konteks pembangunan dan kesejahteraan rakyat termasuk golongan penyanyi dan pemuzik. Bak kata Seniman Agung kita Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, ‘irama dan lagu tidak dapat dipisahkan, jika dipisahkan rosaklah lagu, pincanglah irama’. Begitulah sinonimnya hubungan antara penyanyi dan pemuzik. Itulah juga hasrat kerajaan negeri yang akan sentiasa komited dan akrab dengan golongan seni bagi memartabatkan kecemerlangan Negeri Sabah di persada seni nasional dan antarabangsa.

 

Sebelum mengakhiri ucapan, jutaan terima kasih kepada DBKK atas komitmen tinggi menganjurkan majlis ini. Setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan juga kepada semua penerima anugerah dan semoga para penyanyi dan pemuzik veteran yang kita raikan akan terus mencipta kejayaan dalam bidang yang diceburi.

 

Dengan harapan tersebut, saya dengan sukacitanya merasmikan Malam Anugerah Khas Y.A.B. Ketua Menteri.

 

Sekian, terima kasih.