UCAPAN Y.A.B. DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN, KETUA MENTERI SABAH SEMPENA MAJLIS PELANCARAN PERAYAAN PESTA REGATTA LEPA KE-15 2008 SEMPORNA, DI PADANG PEKAN SEMPORNA PADA 19 APRIL 2008

 

Bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah kurnia-Nya saya dapat hadir untuk bersama-sama dengan masyarakat Semporna dalam majlis yang sungguh meriah dan gilang-gemilang ini. Sesungguhnya, perayaan Regatta Lepa ini mempunyai makna yang amat  signifikan kerana ia bukan sahaja menjadi platform untuk kita mengetengahkan kebudayaan tradisi tempatan. Malah ia menjadi pemangkin pengukuhan perpaduan dan keharmonian di kalangan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.

 

Saya juga gembira kerana perayaan ini telah masuk edisi kali ke-15 penganjurannya. Lebih membanggakan lagi apabila ia telah pun mendapat pengiktirafan yang tinggi dari Kerajaan Negeri dan Persekutuan.  Saya percaya kejayaan tersebut adalah hasil daripada sokongan padu masyarakat tempatan terhadap dasar-dasar dan program-program kerajaan, yang telah diterjemahkan menerusi kemenangan cemerlang Barisan Nasional negeri dalam pilihanraya umum lalu.

 

Sehubungan itu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada seluruh rakyat Sabah khususnya masyarakat Semporna yang terus setia memberikan sokongan tidak berbelah bahagi dan mandat besar kepada kerajaan Barisan Nasional. Kami insaf dan amat menyedari bahawa inilah kepercayaan dan amanah rakyat yang akan kami tunaikan dengan penuh tanggungjawab bagi memacu kemajuan negeri dan menjamin kesejahteraan rakyat.

 

Pelancongan merupakan sektor penting yang merancakkan pembangunan ekonomi negeri. Sektor ini menjadi pelengkap Dasar Halatuju Pembangunan dan Kemajuan Negeri Sabah dan pemangkin pelaksanaan Koridor Pembangunan Sabah (SDC). Kawasan Pantai Timur Sabah khususnya Daerah Semporna merupakan growth areas yang mempunyai pelbagai potensi pembangunan yang perlu dimanfaatkan dan diterokai.

 

Selain kekayaan dan keindahan biodiversiti, keunikan dan kepelbagaian budaya tradisi masyarakatnya seperti Perayaan Regata Lepa ini merupakan satu khazanah yang perlu terus dimartabatkan. Dalam konteks SDC juga, daerah Semporna berada di Sub-Wilayah Timur mempunyai potensi besar dalam Zon Industri Marin dan Pelancongan.

 

Dalam konteks ini, Kerajaan Negeri menerusi Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar akan sentiasa memberikan sokongan dan komitmen khususnya kepada Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan terutama bagi meningkatkan lagi prestij dan keunikan perayaan ini ke peringkat antarabangsa. Semangat ini bersesuaian dengan tema penganjuran pada tahun ini iaitu ‘Lepa Pendukung Pelancongan Global’.

 

Justeru, saya berharap agar perayaan Pesta Regatta Lepa tidak hanya dilihat sebagai produk pelancongan semata-mata. Ini kerana menerusi pelbagai acara yang diadakan sepanjang tiga hari ini, ia jelas membuktikan kepada dunia bahawa kita berjaya hidup dalam suasana harmoni dan bersatu padu meskipun berbeza agama, bangsa dan budaya.

 

Kita turut menunjukkan kepada dunia bahawa dalam mengejar kemajuan, adat dan budaya tetap kita pertahankan. Dalam kita rancak membangunkan prasarana pelancongan, kita tetap komited memelihara keindahan alam semulajadi. Kita juga akan mempertahankan dan sama sekali tidak akan menggadaikan kekayaan khazanah biodiversiti yang ada.

 

Saya juga menyarankan agar usaha-usaha promosi dan pemasaran yang lebih strategik dan meluas dipergiatkan lagi khususnya dalam menarik penyertaan antarabangsa untuk memeriahkan lagi acara-acara yang diadakan sepanjang Perayaan Regatta Lepa ini. Saya percaya usaha ini tidak akan menghakis keaslian dan keunikan budaya tradisi kita malah akan memartabatkan budaya dan sekaligus menjulang nama baik negeri Sabah di persada global.

 

Selain itu, saya menyeru agar masyarakat di daerah ini melipatgandakan lagi usaha untuk menghasilkan produk-produk tempatan yang berkualiti, mempunyai nilai kreativiti yang tinggi dan dilengkapi pakej yang menarik sebagai tarikan utama pelancong. Selain mempromosi keindahan seni kreatif tempatan, ia juga merupakan satu langkah terbaik kita untuk mempelbagaikan rantaian produk pelancongan, menambahkan pendapatan dan meningkatkan lagi taraf sosioekonomi penduduk.

 

Aspek keselamatan, keselesaan dan kebersihan merupakan antara elemen penting dalam mengekalkan prospek dan potensi pelancongan di sesebuah daerah. Dalam konteks keselamatan, meskipun keadaan sekarang adalah stabil dan selamat, namun kerajaan akan sentiasa berusaha bagi meningkatkan langkah-langkah keselamatan di daerah ini dan kawasan pulau-pulau pesisir bagi memastikan situasi keselamatan sentiasa berada pada tahap yang terbaik. Ini amat penting bagi menjamin keselamatan rakyat dan memelihara kedaulatan negara sekaligus mengukuhkan keyakinan pelancong untuk terus mengunjungi negeri ini.

 

Saya menyedari bahawa aspek keselesaan pelancong juga perlu diberikan perhatian. Antaranya, kemudahan penginapan seperti hotel dan chalet yang mencukupi. Dalam konteks ini, Kerajaan Negeri Sabah telah pun bersetuju dan sedang mengenal pasti tapak yang sesuai untuk lokasi pembinaan Hotel Seri Malaysia di daerah ini. Komitmen Kerajaan Negeri ini  antara lain bagi memenuhi keperluan tempatan dan menampung limpahan pengunjung, khususnya setiap kali berlangsung sesuatu perayaan seperti Pesta Regatta Lepa ini.

 

Dalam masa yang sama, saya berharap agar semua pihak sentiasa megambil berat kepentingan untuk memelihara kebersihan dan keindahan persekitaran. Tanggungjawab ini tidak seharusnya dibebankan kepada pihak berkuasa tempatan sebaliknya memerlukan komitmen dan kerjasama dari seluruh lapisan masyarakat.

 

Marilah kita memanfaatkan sepenuhnya kekayaan biodiversiti, keunikan budaya dan warisan serta keharmonian masyarakat  berbilang kaum di negeri ini. Sesungguhnya, saya yakin bahawa penganjuran perayaan Pesta Regatta Lepa ini akan terus memahatkan nama Negeri Sabah dan khususnya Daerah Semporna, sebagai destinasi pelancongan dan kebudayaan yang tiada tolok bandingnya dalam peta pelancongan dunia. Ia seterusnya akan menjana kecemerlangan negeri dan menjamin kesejahteraan rakyat.

 

Sebelum mengakhiri ucapan, terimalah dua rangkap pantun sebagai penutup bicara untuk majlis yang penuh bermakna pada malam ini;

 

Sekian, wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.