UCAPAN Y.A.B.
DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN KETUA MENTERI SABAH, PADA MAJLIS JAMUAN
NEGERI SEMPENA PEMBUKAAN RASMI PENGGAL PERTAMA PERSIDANGAN DEWAN UNDANGAN
NEGERI SABAH KALI KE-13 2008 DI DEWAN BANKUASI DEWAN UNDANGAN NEGERI SABAH, PADA
30 APRIL 2008
Bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu
Wataala kerana dengan limpah izin dan rahmat-Nya jua, kita dapat bersama-sama
menghadiri Majlis Jamuan Negeri, sempena Pembukaan Rasmi Penggal Pertama,
Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah, kali yang ke-13.
Majlis ini tentunya sungguh bermakna kerana
ia mencatatkan satu lagi sejarah penting dalam politik negeri
Sesungguhnya, keyakinan dan sokongan padu
rakyat jelas membuktikan bahawa jika kita terus berusaha dengan gigih, bekerja
keras, ikhlas dalam perjuangan kita membela nasib rakyat, InsyaAllah, rakyat
juga tentu menghargai dan akan tetap setia bersama-sama dengan kerajaan.
Bersempena dengan persidangan kali ini, saya
menyeru semua pihak agar memahami dan menghayati intipati Ucapan Dasar Tuan
Yang Terutama, Yang di-Pertua Negeri semasa majlis pembukaan pagi tadi. Ini
kerana, ia memperincikan pencapaian terkini dan matlamat pelaksanaan pelbagai
sektor penting yang menjana kemajuan negeri.
Antaranya berkaitan pertumbuhan ekonomi,
kemakmuran sosial, keberkesanan sistem penyampaian kerajaan, pelaksanaan Halatuju
Pembangunan dan Kemajuan Negeri, Laporan Kajian Separuh Penggal Rancangan
Malaysia Kesembilan, perkembangan pelaksanaan Koridor Pembangunan Sabah dan
aspek-aspek lain yang berkaitan.
Justeru, semua wakil rakyat hendaklah
memanfaatkan sepenuhnya peluang perbahasan dengan mengutarakan pendapat,
saranan dan hujah yang bernas bagi kepentingan rakyat yang kita wakili dan
masyarakat keseluruhannya. Rakyat meletakkan harapan yang tinggi dan akan
melihat dan memantau bukan sahaja prestasi kita sebagai wakil rakyat secara
individu tetapi juga menilai kewibawaan dan imej kerajaan secara
keseluruhannya.
Persidangan kali ini bukan sahaja menjadi
platform perbahasan semata-mata, sebaliknya ia menuntut komitmen tinggi kita
sebagai pemimpin dalam menyuarakan hasrat rakyat yang kita wakili di peringkat
akar umbi. Hakikatnya, majoriti rakyat
Jika semasa kempen pilihanraya lalu, kita
berjaya meyakinkan rakyat menerusi hujah dan gerak kerja kempen yang
teratur, sekarang adalah masa untuk kita
terus bekerja dan membuktikan semula kepada rakyat bahawa mereka telah membuat
pilihan yang tepat, kerana Kerajaan Barisan Nasional adalah satu-satunya wadah
dan pilihan yang terbaik untuk rakyat.
Kerajaan telah dan sedang memperhebatkan lagi
pelaksanaan pelbagai program pembangunan untuk kepentingan rakyat dan kemajuan
negeri yang tercinta. Antaranya ialah Halatuju Pembangunan dan Kemajuan Negeri,
Rancangan Malaysia Kesembilan dan Koridor Pembangunan Sabah. Justeru, bagi
merealisasikan matlamat program-program pembangunan ini, ia memerlukan
kerjasama dan komitmen semua pihak.
Dalam konteks ini, kerajaan yakin bahawa dengan wujudnya kestabilan
politik hasil daripada keutuhan kerajaan, ia akan meningkatkan lagi keyakinan
pelabur asing dan tempatan terhadap prospek dan kekukuhan fundamental ekonomi
negeri untuk bersaing di peringkat domestik dan global. Ia juga berupaya
mewujudkan suasana pelaburan yang kondusif untuk menjana kemajuan yang
berterusan bagi faedah rakyat.
Kestabilan politik turut menjadi pemangkin
kerjasama yang erat dan perkongsian pintar antara sektor awam dan sektor
swasta, dalam memacu program-program pembangunan ekonomi dan sosial di negeri
ini. Usaha ini sedang giat dilaksanakan menerusi aktiviti-aktiviti yang
mempunyai nilai tambah yang tinggi dan pembentukan modal insan yang berkualiti,
selain penyediaan peluang-peluang perkhidmatan, perniagaan dan pekerjaan, bagi
meningkatkan lagi taraf sosioekonomi rakyat.
Kejayaan pelaksanaan dasar-dasar dan
program-program pembangunan kerajaan juga banyak bergantung kepada komitmen dan
dedikasi anggota perkhidmatan awam. Dalam kesempatan ini, saya ingin merakamkan
setinggi-tinggi penghargaan khususnya kepada seluruh warga perkhidmatan awam
Negeri dan Persekutuan yang telah menunjukkan komitmen terbaik dan cemerlang
dalam membantu Kerajaan Negeri bagi merealisasikan program-program pembangunan
dengan lebih efektif.
Sebagai jentera penggerak dan pelaksana
dasar-dasar dan program-program pembangunan, saya berharap agar komitmen ini
terus dipertingkatkan terutama dalam konteks penambahbaikan dan peningkatan
kecekapan sistem penyampaian kerajaan kepada rakyat di semua peringkat.
Saya percaya, kerjasama yang erat antara
anggota perkhidmatan awam Negeri dan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri akan
terus dimantapkan bagi memperhebatkan lagi pelaksanaan usaha-usaha pembangunan
selaras dengan matlamat Halatuju Pembangunan dan Kemajuan Negeri Sabah,
Rancangan Malaysia Kesembilan dan Koridor Pembangunan Sabah.
Bagi pihak semua wakil rakyat, saya sekali
lagi merakamkan jutaan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh rakyat
negeri ini yang terus memberikan sokongan dan kerjasama kepada kerajaan dengan
memastikan keselamatan, keamanan dan kemakmuran yang kita nikmati kini terus
dipelihara dan dikekalkan.
Kami insaf dan sedar, bahawa sokongan yang
tidak berbelah bahagi rakyat kepada Kerajaan Barisan Nasional yang
diterjemahkan dalam pilihanraya umum lalu, bukanlah satu keistimewaan. Sebaliknya,
kepercayaan itu adalah amanah dan tanggungjawab yang perlu kami tunaikan dengan
sebaik mungkin.
Saya menyeru agar semua lapisan rakyat tanpa
mengira kaum, agama dan fahaman politik untuk terus mengukuhkan kerjasama,
perpaduan dan berganding bahu bersama-sama Kerajaan Negeri dan Kerajaan
Persekutuan bagi menjayakan pelbagai agenda pembangunan. Kita tidak seharusnya
membuang masa dengan perkara-perkara yang tidak produktif seperti mempercayai
khabar angin dan fitnah yang akhirnya akan melemahkan kekuatan dan menjejaskan
kemajuan kita.
Marilah kita merapatkan barisan, mengukuhkan
tekad, dan memandang jauh ke hadapan. InsyaAllah, dengan petunjuk dan hidayah
dari Allah S.W.T., keikhlasan kepimpinan kerajaan dan sokongan padu rakyat,
kita mampu menjadikan Negeri Sabah sebuah negeri yang maju dan cemerlang demi
kesejahteraan kita dan generasi akan datang.
Sekian, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.