UCAPAN
Y.A.B. DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN, KETUA MENTERI SABAH, SEMPENA
PELANCARAN PESTA KAAMATAN PERINGKAT NEGERI SABAH 2008, BERTEMPAT DI DEWAN PAK
MUSA PEKAN BEAUFORT, PADA 1 MEI 2008
Terlebih dahulu saya mengambil kesempatan ini untuk
merakamkan penghargaan dan terima kasih atas kesudian mengundang saya hadir
bagi menyempurnakan Majlis Pelancaran Pesta Kaamatan Peringkat Negeri
2008. Dalam kesempatan ini juga saya mengucapkan
setinggi-tinggi syabas dan tahniah kepada seluruh ahli jawatankuasa penganjur atas
kejayaan penganjuran majlis ini. Saya percaya, kejayaan ini bukan sahaja
terletak pada daya usaha dan komitmen tinggi seluruh ahli jawatankuasa, tetapi
juga adalah hasil kerjasama dan sokongan daripada pelbagai lapisan masyarakat
di Daerah Beaufort ini.
Inilah antara hasrat murni kerajaan dengan menjadikan
daerah-daerah di Sabah sebagai tuan rumah secara bergilir bagi majlis
pelancaran Pesta Kaamatan Peringkat Negeri. Kerajaan melihat bahawa masyarakat
setempat yang terdiri daripada pelbagai lapisan etnik dan budaya harus diberikan
peluang untuk menyumbang dan terlibat secara langsung bagi menjayakan penganjuran
mana-mana pesta mahupun perayaan. Ini kerana merekalah yang memainkam peranan penting
mengerakkan usaha-usaha memartabatkan warisan seni budaya di negeri ini.
Di samping itu, daerah-daerah yang telah dipilih
untuk menjadi tapak pelancaran juga berpeluang untuk menonjolkan
potensi-potensi pelancongan yang terdapat di daerah-daerah tersebut. Di Daerah Beaufort ini misalnya, banyak
tempat menarik yang boleh dilawati oleh para pengunjung luar seperti kawasan
untuk melihat spesies Monyet Proboscis di Garama dan menikmati panorama malam
yang dihiasi dengan kehadiran burung kelip-kelip di Klias, selain menikmati
keindahan di sepanjang Sungai Padas semasa menyusurinya melalui aktiviti white water rafting.
Saya yakin, potensi-potensi pelancongan ini boleh
dikembangkan lagi melalui pelbagai inisiatif serta komitmen yang lebih baik dan
ini boleh dijadikan sebagai produk pelancongan yang boleh dikomersilkan untuk menjana
ekonomi dan seterusnya memperkenalkan Daerah Beaufort kepada masyarakat luar
terutamanya para pelancong asing.
Memandangkan masyarakat di Daerah Beaufort terdiri
daripada berbilang etnik dan budaya yang telah hidup bersama dalam suasana aman
dan harmoni, maka pemilihan daerah ini selaku tuan rumah pada tahun ini
bolehlah disifatkan sebagai simbolik kepada tema yang dipilih untuk perayaan
ini, iaitu “Keamanan Melalui Kebudayaan”. Kita perlu akui bahawa kehidupan yang
sentiasa diwarnai dengan amalan tradisi dan budaya akan membolehkan kita hidup
bermasyarakat dalam keadaan aman, tenteram dan selesa.
Sejarah telah membuktikan bahawa mana-mana bangsa
yang berjaya mengamalkan dan mengekalkan budaya sendiri dapat menghindarkan mereka
daripada perpecahan dan perbalahan sesama sendiri. Justeru, amalan hidup sedemikian wajar
diterapkan kembali di kalangan rakyat negeri ini supaya kita dapat mengekalkan
kehidupan yang aman dan harmoni, sekaligus mampu mencorakkan masa depan bangsa
yang lebih gemilang.
Kita seharusnya bersyukur kerana keamanan dan
keharmonian negara dan negeri ini membolehkan kita menganjurkan pelbagai acara
kebudayaan dengan meriah. Oleh itu, kita
perlu pergunakan sepenuhnya peluang dan kesempatan ini untuk mengangkat kembali
kebudayaan kita yang diwarisi sejak turun-temurun lagi. Inilah sebenarnya kekuatan masyarakat kita
yang masih kaya dengan warisan seni budaya yang boleh menjadi daya tarikan
utama masyarakat luar untuk berkunjung ke negeri ini.
Memandangkan Koridor Pembangunan Sabah (SDC) turut
memberi fokus terhadap usaha-usaha mengukuhkan kedudukan Sabah sebagai
destinasi pelancongan menarik, saya percaya warisan seni budaya kita juga boleh
diketengahkan untuk dijadikan daya tarikan utama pelancongan di negeri
ini. Walaupun pada masa ini sudah banyak
aktiviti kebudayaan yang dijadikan produk pelancongan tetapi belum bersifat
menyeluruh kerana hanya melibatkan sesetengah suku kaum atau etnik tertentu sahaja. Saya percaya, sekiranya seluruh etnik di
negeri ini yang terdiri lebih daripada tiga puluh etnik ditonjolkan kebudayaan
masing-masing khususnya melalui Lembaga Kebudayaan Sabah, matlamat menjadikan
Sabah sebagai destinasi pelancongan utama di rantau ini akan mampu
direalisasikan.
Dalam pada itu, saya berasa bangga disebabkan
penonjolan identiti budaya turut dititikberatkan dalam Pesta Kaamatan ini. Ini dapat dilihat daripada kalangan
masyarakat setempat yang hadir pada hari ini dengan memakai pakaian tradisi
masing-masing. Keadaan ini sebenarnya amat
bersesuaian dengan status Pesta Kaamatan yang telah diiktiraf sebagai perayaan
kebangsaan dan membenarkan seluruh lapisan rakyat sama-sama merayakannya dengan
perasaan muhibbah dan harmoni. Justeru, kita perlu kekalkan keadaan ini sebagai
jaminan bagi memantapkan perpaduan di kalangan rakyat dan sekaligus menyumbang
ke arah keamanan yang berterusan.
Sebelum mengakhiri ucapan ini, sekali lagi saya
mengucapkan syabas dan tahniah kepada seluruh pihak di Daerah Beaufort ini yang
telah sama-sama berperanan bagi memastikan kejayaan penganjuran majlis
ini. Saya berharap agar semangat
kerjasama seperti ini akan diteruskan pada masa-masa akan datang memandangkan
ia amat berguna dalam membentuk persefahaman dan perpaduan di kalangan
masyarakat setempat.
Dengan kata-kata itu, saya dengan sukacitanya
melancarkan perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri 2008 ini. Sekian, terima kasih.