UCAPAN Y.A.B. KETUA MENTERI SABAH DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN, SEMPENA MAJLIS PECAH TANAH PEMBANGUNAN BLOK BARU SEKOLAH    SJK   (C)   SHAN  TAO,  KOTA KINABALU  PADA  17  APRIL  2008

Selamat pagi dan salam sejahtera.

Terlebih dahulu, saya ingin menyampaikan salam hormat dan takzim Y.A.B. Ketua Menteri Sabah—Datuk Seri Panglima Musa Hj. Aman kepada tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Y.A.B. Ketua Menteri ingin memohon maaf kerana tidak dapat hadir bersama-sama kita pada majlis ini dan dengan itu, saya telah diamanahkan untuk menyampaikan ucapan beliau seperti berikut :-

Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Lembaga Pengurusan Sekolah SJK ( C) Shan Tao, Kota Kinabalu kerana sudi mengundang saya hadir dan seterusnya menyempurnakan upacara pecah tanah bangunan blok baru di sekolah  ini.

Kita sedia maklum bahawa golongan pelajar merupakan aset penting kepada negara.  Golongan pelajar pada hari ini adalah tulang belakang negara pada masa hadapan. Andai kata kita berjaya  mewujudkan generasi pelajar dengan penuh ilmu pengetahuan, bermoral tinggi,cekap dan amanah, sudah tentu masa depan negara kita akan terjamin.  Walau bagaimanapun dunia sekarang penuh dengan pelbagai cabaran terutama sekali dalam proses membangunkan taraf pendidikan dikalangan generasi muda.  Oleh demikian Kerajaan telah memfokuskan segala pembangunan sekolah termasuk infrastruktur, menyediakan kemudahan  alat bantu mengajar yang terbaru, kelengkapan IT dan juga sentiasa meningkatkan kualiti guru bagi memastikan kejayaan dalam bidang pendidikan.

Di samping usaha memperkasakan sekolah kebangsaan,  kerajaan juga tidak akan mengetepikan kepentingan dan pembangunan sekolah-sekolah aliran lain.  Pada bulan Januari tahun ini , Kementerian Pelajaran Malaysia telahpun  menyalurkan lebih kurang RM4.5 juta kepada sekolah-sekolah aliran lain termasuk sekolah-sekolah Jenis kebangsaan Cina.  Selain itu, Kerajaan Negeri Sabah juga memberi bantuan modal pembangunan hampir RM8 juta kepada sekolah-sekolah pada tahun yang lepas .  Usaha-usaha seperti ini akan terus dilaksanakan sepanjang masa demi memenuhi keperluan pendidikan untuk semua lapisan masyarakat.

Pada hari ini, langkah Lembaga Pengurusan Sekolah merancang pembinaan blok bangunan baru untuk menampung bilangan murid yang bertambah merupakan satu tindakan yang tepat dan berani.  Kita sudah maklum bahawa  membina sebuah bangunan baru memerlukan kos yang besar.  Justeru saya  ingin memberi kepujian kepada ahli jawatankuasa Lembaga Pengurusan Sekolah yang  berani memikul tanggungjawab ini.  Dengan komited dan kerjasama semua pihak, sudah tentu matlamat ini akan tercapai.  Kerajaan Negeri juga sentiasa memberi sokongan dan bantuan terhadap rancangan ini.  Dengan ini, saya mengumumkan Kerajaan Negeri  akan memberi peruntukan sebanyak RM250,000.00 (Dua ratus lima puluh ribu ringgit) untuk kos pembinaan bangunan baru ini..

Akhir sekali , saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Pecah Tanah Blok Bangunan Baru SJK (C) Shan Tao. 

Sekian , Terima kasih.