UCAPAN ALU-ALUAN Y.A.B. DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN, KETUA MENTERI SABAH SEMPENA MAJLIS TAKLIMAT MEMANTAPKAN JENTERA PENYELARASAN PROGRAM PEMBASMIAN KEMISKINAN ANJURAN UNIT PENYELARASAN PELAKSANAAN (ICU) JABATAN PERDANA MENTERI, DI BALLROOM 1, ARAS 1, THE MAGELLAN SUTERA HARBOUR RESORT

KOTA KINABALU, PADA 4 FEBRUARI 2008

 

Terlebih dahulu, marilah kita sama-sama panjatkan setinggi-tinggi rasa syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah izin dan rahmat-Nya, kita telah berkesempatan berhimpun pada pagi ini untuk sama-sama menghadiri Majlis Taklimat Memantapkan Jentera Penyelarasan Program Pembasmian Kemiskinan anjuran Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri.  Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada pihak ICU JPM atas kesudian mengundang saya untuk menyampaikan sepatah dua kata-kata aluan dalam majlis penuh bermakna ini.

 

Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih atas usaha pihak ICU JPM ke Sabah bagi mengadakan road show dan taklimat berhubung langkah memantapkan jentera penyelarasan pelaksanaan program pembasmian kemiskinan.  Sesungguhnya inisiatif murni ini amat bertepatan dengan usaha kerajaan untuk mencapai sasaran mensifarkan kemiskinan tegar dan mengurangkan kadar kemiskinan hingga ke paras 2.8% menjelang akhir tahun 2010.  Saya difahamkan bahawa majlis taklimat ini merupakan salah satu daripada beberapa siri taklimat yang dianjurkan oleh pihak ICU JPM ke seluruh negeri-negeri di Malaysia.

 

Kerajaan Negeri Sabah turut menghargai inisiatif yang diambil oleh pihak ICU JPM untuk menerangkan dengan lebih terperinci lagi tentang hasrat kerajaan dalam menangani gejala kemiskinan di kalangan rakyat khususnya di Sabah.  Usaha ini sememangnya amat dialu-alukan memandangkan Negeri Sabah masih mencatatkan kadar kemiskinan yang tinggi terutamanya yang melibatkan golongan miskin tegar luar bandar yang mendiami kawasan pedalaman dan pesisir pantai.

 

Seperkara yang menjadikan majlis taklimat ini lebih bermakna apabila semua Ahli Yang Berhormat di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, Pegawai-pegawai Daerah, Mayor, Presiden-presiden Majlis Perbandaran serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan yang terlibat dengan program pembasmian kemiskinan turut dilibatkan secara langsung.  Kerjasama dan tanggungjawab seperti inilah yang amat dituntut, bukan sahaja oleh kerajaan tetapi juga di kalangan rakyat jelata yang masih tergolong di bawah kategori miskin tegar.  Justeru, saya berharap agar semua lapisan kepimpinan pentadbiran yang dilibatkan dalam majlis ini akan menggunakan ruang dan peluang ini untuk mencari pendekatan terbaik bagi sama-sama membasmi gejala kemiskinan di kalangan rakyat negeri ini.

 

Dalam konteks Negeri Sabah, usaha-usaha ke arah pembasmian kemiskinan ini menjadi fokus utama kerajaan negeri dalam melaksanakan program-program pembangunan terutamanya di kawasan luar bandar.  Penyelarasan program-program pembasmian kemiskinan dibuat di peringkat daerah melalui Jawatankuasa Pembasmian Kemiskinan Daerah yang dipengerusikan sendiri oleh Pegawai Daerah.  Bantuan kepada golongan miskin dan miskin tegar akan diselaraskan dengan lebih tersusun dan diagihkan tanpa mengira kaum dan agama.  Selaras dengan konteks pembangunan semasa, program pembasmian kemiskinan ini turut diberi penekanan serius oleh kerajaan negeri di bawah pelaksanaan Koridor Pembangunan Sabah (SDC).

 

Kita sedia maklum bahawa SDC baru sahaja dilancarkan oleh Y.A.B. Perdana Menteri pada 29 Januari yang lalu, dan antara lainnya bermatlamat merapatkan jurang sosio-ekonomi antara bandar dan luar bandar serta membasmi kemiskinan supaya seluruh lapisan rakyat dapat menikmati faedah pembangunan secara lebih saksama.  Sehubungan itu, majlis pada hari ini bolehlah disifatkan sebagai salah satu daripada rangka kerja berterusan kita untuk ‘membebaskan’ golongan rakyat yang terlibat daripada belenggu kemiskinan tegar. 

 

Kita perlu ingat bahawa dalam menjamin kejayaan pelaksanaan ini kita tidak boleh bertindak sendirian disebabkan gejala kemiskinan di negeri ini kebanyakannya tersebar luas di kawasan luar bandar dan pedalaman. Ini amat memerlukan kerjasama daripada semua pihak terutamanya di peringkat daerah.  Oleh itu, kehadiran tuan-tuan dan puan-puan sekalian pada hari ini sememangnya tepat pada masanya untuk kita sama-sama menangani insiden kemiskinan di kalangan rakyat Sabah yang diberitakan masih ramai di negeri ini.

 

Berdasarkan statistik yang direkodkan sehingga 30 September tahun lalu, bilangan golongan miskin tegar yang berdaftar bagi Negeri Sabah adalah berjumlah 21,514 orang.  Daripada jumlah ini, seramai 13,802 orang dikategorikan sebagai miskin tegar produktif sementara 3,708 orang pula sebagai miskin tegar tidak produktif.  Manakala, 4,004 orang diletakkan di bawah kategori miskin tegar Orang Kurang Upaya (OKU).  Kesemua golongan ini telah dan akan menerima bantuan dalam pelbagai bentuk daripada kerajaan seperti bantuan rumah, bantuan peningkatan pendapatan dan bantuan latihan kemahiran.

 

Sehubungan itu, Kerajaan Negeri amat berterima kasih atas penyaluran peruntukan tahun 2007 yang berjumlah RM101.3 juta oleh pihak Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah serta FELDA yang dilakukan di bawah Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR).  Kita berharap pada tahun ini lebih banyak lagi peruntukan akan dapat disalurkan ke negeri ini oleh agensi-agensi yang berkenaan supaya kita dapat pastikan matlamat mensifarkan kemiskinan tegar menjelang akhir tahun 2010 tercapai, di samping sebagai inisiatif penggerak bagi pelaksanaan Koridor Pembangunan Sabah yang memasuki fasa pertama tahun ini.

 

Kita juga berharap agar program-program pembasmian kemiskinan yang dilaksanakan di bawah SPKR dan telah terbukti berjaya menangani insiden kemiskinan di negeri ini, seperti Program Peningkatan Pendapatan (PPP), Program Bantuan Rumah (PBR), Program Kecemerlangan Pendidikan (PKP) dan Program Pembangunan Masyarakat Setempat (PPMS) terus diperhebatkan lagi dengan menyebarluaskannya ke seluruh lubuk kemiskinan di Sabah.  Bagi memastikan program pembasmian kemiskinan ini dapat dilaksanakan secara lebih menyeluruh, penglibatan dan kerjasama aktif daripada semua pihak sama ada di peringkat negeri mahupun persekutuan amatlah diperlukan untuk menjayakan agenda pembasmian kemiskinan di negeri ini.

 

Akhir sekali, saya sekali lagi mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak ICU JPM khususnya kepada Ketua Pengarah ICU, Y.Bhg. Tan Sri Khalid Ramli kerana telah membawa majlis berimpak tinggi ini ke Sabah.  Saya difahamkan, Tan Sri Khalid sendiri akan menyampaikan salah satu daripada sesi taklimat yang diadakan pada hari ini.  Semoga usaha yang kita gembleng bersama ini akan menghasilkan impak yang baik dan seterusnya menjamin peluang yang sama rata di kalangan rakyat Sabah bagi meningkatkan kualiti hidup masing-masing.

 

Dengan kata-kata itu, saya akhiri ucapan ini dengan lafaz wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.