PERISYTIHARAN PENGAGIHAN PENDAPATAN SAHAM AMANAH SABAH (SAS) UNTUK TAHUN 2007 OLEH

Y.A.B. DATUK SERI MUSA HAJI AMAN

KETUA MENTERI SABAH, DI PEJABAT KETUA MENTERI

WISMA INNOPRISE, PADA 31 DISEMBER 2007

 

Sukacita dimaklumkan Saham Amanah Sabah (SAS) setakat 30 November 2007 telah berjaya memperolehi pendapatan kasar sebanyak RM24,788,452.  Pendapatan ini adalah hasil daripada urus niaga-urus niaga berikut:-

 

(i)                  Pasaran saham – 86.52 peratus {merangkumi hasil daripada Pasaran Saham Malaysia (66.44 peratus) dan daripada Pasaran Saham Asing (20.08 peratus)}

 

(ii)                Pasaran kewangan – 2.44 peratus

 

(iii)               Penerimaan dividen – 11.04 peratus

 

Setelah diambil kira jumlah perbelanjaan dan cukai, keuntungan yang boleh diagihkan kepada pemegang-pemegang unit ialah RM22,925,018.  Selaras dengan pencapaian ini, saya dengan sukacitanya mengisytiharkan pengagihan pendapatan SAS untuk tahun 2007 pada kadar 4 peratus bersih.

 

Pengagihan pendapatan pada kadar 4 peratus ini akan melibatkan pembayaran wang tunai sebanyak RM17,975,720. Pengiraan pembayaran pengagihan pendapatan ini dibuat berdasarkan kepada bilangan unit-unit SAS yang dipegang oleh para pelabur sebanyak 449,393,000 unit.  Jika dibandingkan dengan Nilai Aset Bersih SAS pada 30hb November 2007 iaitu RM0.2456 seunit, kadar hasil pengagihan pendapatan kepada pemegang-pemegang unit adalah 16.3 peratus.

 

Pencapaian pada tahun 2007 adalah positif jika dibandingkan dengan tahun 2006.  Pada tahun 2006 tidak terdapat perisytiharan pengagihan pendapatan.  Punca utama yang membolehkan SAS mengagihkan pendapatan pada tahun ini adalah kerana prestasi Bursa Malaysia yang terbaik di rantau ini dalam tahun 2007, iaitu Indeks Komposit melonjak tinggi pada tahap 1,396.98 mata pada 30hb November 2007, kenaikan sebanyak 29% jika dibandingkan dengan tahap 1,080.66 mata pada 30hb November 2006.

 

Pengagihan pendapatan ini akan dibayar kepada 54,285 pelabur yang terdiri daripada 45,601 atau 84 peratus pelabur orang perseorangan, 7,407 atau 13.64 peratus pelabur di bawah skim Projek Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT), 1,231 atau 2.27 peratus pelabur yang melabur melalui pinjaman bank dan 46 atau 0.09 peratus pelabur korporat.

 

Pembayaran pengagihan pendapatan ini akan dibuat melalui waran.  Walau bagaimanapun, bagi pelabur di bawah skim PPRT, mereka akan dibayar secara tunai ataupun melalui akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi mereka yang mempunyai akaun sedemikian.  Jumlah pembayaran akan ditentukan kemudian setelah akaun skim PPRT dikemas kini.

 

Selepas beroperasi lebih 13 tahun, termasuk pengagihan tahun 2007 ini SAS telah membayar pengagihan pendapatan bersih sebanyak 9 kali melibatkan pembayaran wang tunai sebanyak RM270,810,600 atau 60.32 peratus.

 

Bagi membolehkan pihak Saham Sabah Berhad mengemas kini akaun-akaun para pelabur sebelum pembayaran pengagihan dibuat, Saham Sabah Berhad telah memaklumkan Suruhanjaya Sekuriti dan Pemegang Amanah SAS iaitu Mayban Trustees Berhad pada 3 Disember 2007 untuk mengantung urus niaga SAS selama lima belas hari bermula dari 17 Disember 2007 hingga 31 Disember 2007.  Urus niaga akan berjalan seperti biasa pada 2 Januari 2008.

 

Sekian, terima kasih.