Semporna Pesat Membangun

Oleh: Arshad Hussin





KOTA KINABALU: Daerah Semporna yang dikenali dengan destinasi pelancongan menarik memiliki lebih 40 buah pulau kini semakin pesat membangun sejak 50 tahun negara mencapai kemerdekaan.


Daerah Semporna yang terletak dalam kawasan Parlimen Semporna terbahagi kepada tiga kawasan Dewan Undangan Negeri iaiu Kawasan DUN Senallang,DUN Bugaya dan DUN Sulabayan bersempadan dengan DUN Balung Tawau telah berkembang maju dari segi prasarana dan kemudahan - kemudahan asas yang dibangunkan kerajaan Barisan Nasional.


Antara lain termasuklah kemudahan perhubungan jalanraya,bekalan air,letrik,pembinaan beberapa buah sekolah menengah dan rendah yang baru bagi memudahkan rakyat Semporna menikmati pembangunan pendidikan dari pra sekolah sehinggalah ke sekolah menengah bagi menjamin generasi baru mendapat pendidikan secukupnya.


Ahli Dewan Undangan Negeri N.53 Senallang,Datuk Haji Nasir Tun Sakaran,menjelaskan kepesatan pembangunan tersebut merupakan hasil daripada nikmat kemerdekaan yang dicapai negara sejak 50 tahun kini.


Beliau menambah,pada masa kini tumpuan perlu diberikan perhatian khususnya di Semporna mengenai aspek pembangunan infrastruktur,pelajaran,agama,ekonomi,sosial dan kesihatan.


Katanya,walaupun sudah banyak pembangunan telah disalurkan kerajaan ke daerah ini namun masih banyak lagi yang perlu diberikan perhatian seperti jalan-jalan kampung yang perlu dibina dan dinaiktaraf.


“ Selaku Wakil Rakyat di Kawasan DUN Senallang,saya berterima kasih kepada kerajaan khususnya kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah,Jabatan Pembangunan Persekutuan Sabah yang telah banyak memainkan peranan serta tanggungjawab mereka khususnya di dalam membina dan menaiktaraf beberapa jalan kampung di Semporna,” kata Nasir.


Datuk Haji Nasir berkata demikian sempena Program Bersama YB Anda secara langsung di Sabah FM (RTMKK) pagi tadi.


Nasir menjelaskan, kerajaan juga telah membina Pangkalan Tentera Laut di kawasan Tagasan serta mengwujudkan pos-pos kawalan tentera di beberapa buah pulau di daerah itu bagi menjamin keselamatan rakyat,pelancong dalam dan luar negara piak kerajaan juga telah mengambil langkah meningkatkan kawalan keselamatan khususnya di perairan Semporna.


“ Kita mengucapkan terima kasih kepada pihak keselamatan khususnya kepada anggota-anggota tentera dan anggota Polis yang sentiasa memantau kegiatan negatif khususnya yang melibatkan golongan remaja,” kata Nasir.


Nasir menjelaskan selain itu beberapa projek pembangunan kerajaan kini sedang dalam perancangan untuk dilaksanakan di Semporna termasuklah projek Pembinaan Muzium Tun sakaran dan pembinaan jambatan yang menghubungkan Pulau Bum Bum dengan tanah besar Semporna dan jalan pesisir pantai dari pecan Semporna ke Kampung Tinagayan dalam kawasan DUN Bugaya.


“ Semua projek yang telah dan sedang serta akan dilaksanakan itu merupakan satu bukti kerajaan sentiasa berusaha dan komited memberikan kemudahan,keselesaan seterusnya membela nasib rakyat,” kata Nasir.


Datuk Nasir yang juga Menteri DiJabatan Ketua Menteri Sabah,berkata pemimpin-pemimpin terdahulu bukan hanya mewariskan kemerdekaan semata-mata malah mewariskan kepada barisan kepimpinan hari ini semangat setiakawan dan musyawarah antara kaum.


“ Selaku pemimpin,aspek perpaduan adalah penggerak utama kepada pembangunan negara dimana lima prinsip Rukun Negara hendaklah ditanamkan dalam diri setiap rakyat Malaysia,” kata Nasir.


Bersempena dengan sambutan kemerdekaan negara ke-50 tahun beliau serta keluarga mengucapkan Selamat Merayakan Hari Kemerdekaan kepada seluruh rakyat Malaysia dan berdoa semoga Malaysiaku Gemilang kekal dengan keamanan dan perpaduan rakyat terus terpelihara semoga rakyat hidup aman dan makmur.Salam Merdeka!.