UCAPAN KETUA MENTERI SABAH, Y.A.B. DATUK SERI MUSA HAJI AMAN SEMPENA FIRST INTERNATIONAL CONFERENCE ON RURAL MEDICINE, ICORM 2007 DI THE MAGELLAN SUTERA, SUTERA HARBOUR

KOTA KINABALU,  PADA 28 OKTOBER 2007

 

Pertamanya, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak penganjur atas kesudian mengundang saya untuk hadir dan seterusnya merasmikan majlis ini.

 

Saya amat berbesar hati dan gembira pada malam ini kerana telah dapat bersama-sama dengan organisasi-organisasi penting, iaitu Universiti Malaysia Sabah khasnya Sekolah Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia dan United Nations-International Institute for Global Health (UNU) yang masing-masing mempunyai tanggungjawab dan sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan terbaik, khususnya yang berkaitan dengan penjagaan kesihatan kepada masyarakat.

 

Persidangan antarabangsa ini bukan sahaja akan memperkukuhkan lagi integrasi nasional antara kedua-dua buah institusi besar iaitu akademik dan kesihatan, malah bakal membuahkan hasil yang lumayan untuk kedua-dua pihak dalam jangka masa panjang apabila kedua-duanya nanti berjaya melahirkan para doktor yang berkualiti dan sedia untuk berkhidmat di mana jua, di samping memajukan tahap kesihatan masyarakat di luar bandar.

 

Negeri Sabah, seperti yang kita kenali sememangnya kaya dengan sumber-sumber alam semulajadi yang berpotensi untuk dijadikan sumber kajian dalam perubatan. Negeri Sabah juga merupakan salah sebuah negeri yang mempunyai kawasan desa yang agak luas berbanding dengan negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia.  Namun hakikat yang perlu kita hadapi ialah status kesihatan di negeri ini masih agak ketinggalan dan statistik menunjukkan peratusan penyakit-penyakit berjangkit di kawasan desa di negeri ini masih belum menunjukkan sebarang penurunan.

 

Selaras dengan matlamat hala tuju dan hasrat bukan sahaja daripada pihak penganjur malah juga kerajaan sendiri untuk meningkatkan dan mempelbagaikan kaedah yang sesuai untuk memperbaiki tahap kesihatan di kalangan masyarakat dan juga perkhidmatan kesihatan yang diberikan. Penyakit berjangkit di kawasan pedalaman bukanlah satu fenomena baru malah ia semakin meningkat terutamanya kepada golongan yang mempunyai penyakit yang berkaitan dengan cara hidup atau ‘lifestyle’, maka seharusnya pendidikan perubatan yang berkualiti perlu didedahkan

 

Persidangan ini memang sesuai sekali dijadikan sebagai pentas bagi golongan masyarakat yang prihatin demi memenuhi kehendak dan keperluan pada masa sekarang, pengetahuan dan pendedahan dalam menangani permasalahan haruslah berkonsepkan pendekatan yang holistik khususnya untuk masyarakat tempatan yang terdiri daripada berbilang bangsa, kaum dan kebudayaan yang berbeza.

 

Saya menyarankan agar hadirin sekalian menggunakan sepenuhnya peluang yang ada sekarang disebabkan topik-topik yang diketengahkan dalam persidangan ini amat berguna dan membawa manfaat yang besar.  Di samping itu, isu-isu yang disampaikan juga boleh dijadikan sebagai panduan dan idea dalam melahirkan kesedaran tentang kepentingan meningkatkan serta meluaskan ilmu pengetahuan dalam pelbagai jenis penyakit, dan perkhidmatan kesihatan serta kaedah yang sesuai kepada para penduduk di kawasan desa.

 

Pertukaran pandangan dan idea di kalangan pakar-pakar perubatan adalah perlu kerana akhirnya pendekatan seumpama ini akan memberi manfaat dan memperkayakan pengalaman dan keupayaan masing-masing serta menyumbang kepada kesihatan dan penyelidikan perubatan sejagat.

 

Saya sekali lagi mengucapkan syabas kepada Universiti Malaysia Sabah khususnya kepada Sekolah Perubatan kerana telah berjaya menganjurkan persidangan antarabangsa ini.  Usaha ini juga menunjukkan keprihatinan pihak penganjur terhadap kesihatan masyarakat di kawasan desa di Malaysia khasnya di negeri Sabah ini. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur yang terdiri daripada pihak Sekolah Perubatan UMS, Kementerian Kesihatan Malaysia dan juga United Nations University - International Institute for Global Health, UNU yang telah bertungkus lumus untuk memastikan kelancaran majlis pada malam ini.

 

Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya melahirkan harapan yang tinggi agar usaha menaik taraf kesihatan masyarakat seperti ini akan terus berkekalan dan menjamin peningkatan kualiti hidup di kalangan rakyat di negeri ini, sekaligus menyumbang ke arah kemakmuran ekonomi negeri secara keseluruhannya.

 

Dengan kata-kata itu, saya dengan sukacitanya merasmikan persidangan “First International Conference on Rural Medicine 2007”.

 

Sekian.  Terima kasih.