UCAPAN KETUA MENTERI SABAH, Y.A.B. DATUK SERI MUSA HAJI AMAN, DI MAJLIS PENYAMPAIAN DIVIDEN PESERTA FELCRA BERHAD TAHUN 2007 PERINGKAT WILAYAH SABAH, DI HOTEL PROMENADE, KOTA KINABALU, PADA 2 OKTOBER 2007

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Pertamanya, saya memanjatkan rasa syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah rahmat-Nya pada hari ini kita dapat berhimpun bersama-sama bagi meraikan para peserta FELCRA Berhad yang akan menerima dividen bagi tahun 2007.  Saya mengucapkan terima kasih kepada jawatankuasa penganjur atas undangan dan memberi kesempatan kepada saya untuk menyampaikan sepatah dua kata di majlis ini.

 

Saya juga mengucapkan terima kasih atas sokongan padu rakyat yang tidak berbelah bagi ketika kita bersama melaksanakan agenda pembangunan negara khususnya di negeri ini.

 

Saya berasa amat gembira disebabkan rakyat bukan sahaja menerima dengan baik rancangan-rancangan pembangunan kerajaan malah telah bersama-sama menyertainya demi memastikan pembangunan yang dibawakan kerajaan ini benar-benar memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.

 

Saya mengucapkan tahniah kepada seluruh warga staf dan peserta FELCRA Berhad khususnya di negeri Sabah kerana telah menunjukkan komitmen yang cukup baik dalam membantu memajukan sektor luar bandar di negeri ini.

 

Berkat kerjasama semua pihak, iaitu daripada Kerajaan Pusat menerusi FELCRA Berhad, Kerajaan Negeri dan rakyat di negeri ini, sehingga kini FELCRA Berhad Sabah telah dapat memajukan lebih daripada 5,800 hektar atau 14,500 ekar tanah dengan tanaman komoditi sawit yang boleh memberi manfaat kepada lebih 1,700 penduduk kampung.

 

Kita semua sedia maklum bahawa FELCRA berhad adalah salah satu agensi kerajaan yang kini berstatus syarikat milik penuh kerajaan yang diberi tanggungjawab khusus untuk melaksanakan program-program obligasi sosial untuk masyarakat desa yang bersama-sama memacu pembangunan luar bandar.

 

Usaha-usaha murni membangunkan sektor luar bandar ini, perlu digemblengkan bukan sahaja di peringkat kerajaan tetapi juga memerlukan penyertaan menyeluruh dan berkesan daripada rakyat khususnya warga desa pada keseluruhannya.

 

Bagi  merealisasikan usaha ini, gerakan pembangunan bersepadu oleh semua pihak yang melibatkan kerajaan, FELCRA Berhad, pemimpin peserta, pihak berkuasa kerajaan negeri atau mungkin penglibatan pihak swasta adalah amat diperlukan.

Kita perlu menggariskan rangka pembangunan jangka panjang yang lengkap sekiranya kita ingin mengubah senario sektor luar bandar di negeri Sabah ini menjadi satu model one-stop rural development centre.

Dalam kesempatan ini, saya sukalah memaklumkan bahawa dari segi impak pembangunan, alhamdulillah, FELCRA Berhad Sabah akan meneruskan amalan mengagihkan dividen kepada kira-kira 1,386 pesertanya berjumlah RM7.74 juta (RM7,735,477.45) iaitu:-

 

1).        Sebanyak RM4.70 juta (RM4,701,758.94) untuk dividen Hari Raya 2007; dan

 

2).        Sebanyak RM3.03 juta (RM3,033,718.51) untuk dividen persekolahan 2008.

 

Sumber pembayaran dividen ini diperoleh daripada lebihan pendapatan ladang-ladang yang dimajukan oleh FELCRA Berhad berdasarkan penyata untung rugi tahun 2006 dan sebahagian daripadanya disumbangkan oleh penyata untung rugi tahun 2007 yang dikira sehingga Jun tahun ini.

 

Saya turut mengambil kesempatan ini untuk menjelaskan bahawa kerajaan akan sentiasa berusaha dan mengambil pendekatan baru termasuk menggubal dasar dan strategi yang sesuai untuk membangunkan sektor luar bandar untuk tempoh jangka panjang.  Kerajaan BN di bawah pimpinan Y.A.B. Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Bin Haji Ahmad Badawi, akan terus memfokuskan kepada empat (4) pembangunan sektoral bagi insan di luar bandar iaitu, pembangunan modal insan berminda kelas pertama, pembangunan ekonomi desa, pembangunan infrastruktur, utiliti & ameniti sosial dan pembangunan teknologi maklumat & komunikasi.

 

Kerajaan telah memperkenalkan kaedah bersepadu dalam usaha memastikan program pembangunan dilaksanakan secara holistik dan dengan sempurna melalui penekanan kepada pembabitan pejabat daerah dan pemimpin tempatan serta wakil rakyat untuk terlibat sama dalam aspek-aspek perancangan, pelaksanaan dan pemantauan projek.

 

Selain itu, kerajaan akan terus memantau usaha melaksanakan kemudahan-kemudahan asas seperti jalan kampung, bekalan air & elektrik luar bandar supaya imej sektor luar bandar akan lebih baik dan setaraf dengan kemudahan-kemudahan di bandar menjelang tahun 2020.

 

Sememangnya menjadi matlamat kerajaan untuk membangunkan masyarakat luar bandar ke arah kecemerlangan dan menjadikan kawasan luar bandar sebagai kawasan yang produktif, maju, menarik dan menguntungkan.  Hasrat ini akan dapat direalisasikan segera oleh kepimpinan masyarakat setempat menerusi sumbangan dan kesepakatan dalam memainkan peranan yang aktif, membangunkan keseluruhan aspek dalam sektor ini seperti aktiviti perladangan, pembangunan sosial, pendidikan, perkhidmatan dan sebagainya.

 

Pembangunan tidak akan berjaya sepenuhnya tanpa sebarang penglibatan secara langsung daripada rakyat disebabkan kaedah menyuntik pembangunan sehala sudah tidak sesuai dipraktikkan sekarang ini.  Sebaliknya, rakyat perlu peka dan prihatin terhadap keperluan pembangunan setempat dan menghantar isyarat maklum balas kepada kerajaan supaya pembangunan yang dibawa sesuai dan dapat dilaksanakan secara bersama.

 

Bukti kejayaan yang dicapai pada hari ini adalah hasil positif yang dapat dilihat, dirasai dan dinikmati oleh rakyat di kawasan luar bandar dan sebagai contoh perisytiharan dividen peserta FELCRA Berhad di Sabah yang saya umumkan sebentar tadi.  Inilah bukti yang dapat dilihat daripada kesungguhan kerajaan dalam membela rakyat.

 

Sebagai mengakhiri ucapan ini, sekali lagi saya mengucapkan tahniah kepada seluruh warga peserta yang telah membuktikan kesungguhan dan bekerja keras dalam memajukan sektor luar bandar di negeri ini.

 

Saya ingin melihat agar lebih banyak perubahan positif berlaku di kalangan warga desa di negeri ini dengan memperlihatkan pemikiran yang lebih maju, positif dan responsif kepada arus pembangunan nasional.  Saya berharap perubahan positif ini akan menjadi pegangan kepada seluruh warga peserta khususnya untuk generasi kedua FELCRA.

 

Sekian, terima kasih.