TEKS UCAPAN Y.A.B. DATUK SERI MUSA HAJI AMAN, KETUA MENTERI SABAH, SEMPENA MAJLIS PERASMIAN PEMBUKAAN NADWAH KEPIMPINAN PELAJAR ISLAM SEKOLAH-SEKOLAH MENENGAH, KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA, PERINGKAT KEBANGSAAN KALI KE-5 TAHUN 2007, BERTEMPAT DI KOMPLEKS TABUNG HAJI, KOTA KINABALU, PADA 8 SEPTEMBER 2007

 

 

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah rahmat dan kurnia-Nya, kita dapat berkumpul pada hari yang penuh bermakna pada hari ini sempena dengan Majlis Nadwah Kepimpinan Pelajar Islam Sekolah-sekolah Menengah Kementerian Pelajaran Malaysia Peringkat Kebangsaan Kali Ke-5. Sesungguhnya perhimpunan dalam majlis seperti ini amatlah tinggi nilainya dalam usaha membentuk insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.

 

“Islam Hadhari Menjana Kepimpinan Bestari”, iaitu tema Nadwah Kepimpinan Pelajar Islam Peringkat Kebangsaan pada tahun ini sewajarnya dihayati dan dijadikan sebagai obor penyemarak jiwa para pelajar.  Mereka perlu disedarkan betapa harapan negara begitu tinggi kepada mereka sebagai peneraju kepimpinan masa depan. Budaya kepimpinan bestari merupakan model kepimpinan yang perlu dihayati dan dijiwai sepenuhnya. Hanya pemimpin yang berwibawa sahaja yang mampu bertahan menghadapi pelbagai dugaan dan cabaran kepimpinan masa kini.

 

Kejayaan seseorang pemimpin itu biasanya bergantung kepada kecekapan komunikasinya dengan orang lain sehingga mampu mewujudkan kepercayaan, kerjasama dan pengiktirafan yang diperlukan. Oleh itu pemimpin harus mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang unggul seperti berwibawa, berkeyakinan diri, bijaksana, berhemah serta mengamalkan nilai-nilai kepimpinan yang tinggi.

 

Krisis kepimpinan di kalangan umat Islam masa kini sangat membimbangkan. Keadaan ini sedikit sebanyak telah mempengaruhi peranan mereka dalam kancah persaingan global. Umat Islam seolah-olah tidak mampu meletakkan diri mereka pada tahap yang boleh dibanggakan, sedangkan jumlah mereka hampir mencapai 2.3 bilion di seluruh dunia.  Umat Islam juga memiliki kekayaan sumber aslinya seperti minyak dan gas. Sekiranya sumber alam ini dapat diurus dengan baik, tidak mustahil umat Islam mampu menentukan masa depan politik dan ekonomi dunia. Tetapi apa yang berlaku sekarang, umat Islam sering dilabel dengan pelbagai imej buruk seperti kemiskinan, kemunduran, kejahilan, pengganas dan sebagainya.

 

Umat Islam hendaklah bangkit untuk merealisasikan sabda Rasulullah S.A.W.  bahawa “Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya”.  Semua ini akan dapat dicapai sekiranya umat Islam itu sendiri berubah dan bersungguh-sungguh dalam membuat perubahan.  Ini tentunya melibatkan gaya kepimpinan generasi muda Islam yang perlu diberikan kesedaran dan suntikan semangat disebabkan masa depan dan kepimpinan masa depan adalah terpikul di atas bahu mereka. Justeru, adalah menjadi tanggungjawab kita memberi tunjuk ajar dan kemahiran yang secukupnya agar mereka dapat mengembangkan potensi ke arah kecemerlangan dan kejayaan.  Ini dapat dicapai dengan mengadakan program seperti yang diadakan pada hari ini secara berterusan. Inilah masanya untuk kita menyemai benih-benih kepimpinan dalam diri generasi hari ini agar mereka menjadi insan yang berketerampilan dalam menentukan hala tuju masa depan negara.

 

Pendidikan merupakan pelaburan terpenting membentuk generasi berkepimpinan bestari bagi negara pada masa hadapan. Oleh itu kita semua, khususnya para pelajar sekalian merupakan pemangkin utama dan tonggak bagi memastikan segala hasrat kerajaan tercapai. Komitmen dan kepimpinan pelajar hari ini bakal membawa perubahan kepada masyarakat pada masa hadapan dalam usaha mencapai Wawasan Negara. Kita perlu sedar bahawa dengan ilmu pengetahuan, seseorang itu akan lebih mampu memahami persekitaran dan sensitif kepada keperluan semasa serta mampu berfikir secara lebih rasional dalam menangani pelbagai permasalahan yang dihadapi. Lazimnya, ilmu juga menjadi penanda aras kepada kestabilan politik, ekonomi dan taraf sosial masyarakat sesebuah negara.

 

Seseorang pelajar yang bakal menjadi pemimpin bukan sahaja bertanggungjawab untuk mewariskan ilmu pengetahuan kepada generasi seterusnya, tetapi mereka juga perlu menyemai nilai-nilai hidup yang murni. Menambah nilai dalam setiap tindakan akan turut menentukan berjaya atau gagalnya sesebuah bangsa itu. Ilmu pengetahuan tanpa dibekalkan dengan nilai yang mulia belum tentu dapat melahirkan masyarakat yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

 

Kita juga mengharapkan dengan adanya program-program seperti ini, akan melahirkan para pelajar yang mencintai ilmu pengetahuan dan membudayakan ilmu itu dalam bentuk yang lebih praktikal. Saya juga berharap melalui program Nadwah Kepimpinan Pelajar ini, pelajar kita akan dapat mempraktik ilmu yang diperolehi serta mampu mengembalikan umat Islam kepada asas fundamental yang terkandung dalam al Quran dan Hadis yang merupakan teras pembinaan tamadun Islam.

 

Melalui program Nadwah Kepimpinan Pelajar ini juga kita berharap akan mampu melahirkan pemimpin yang memiliki ciri-ciri serta ketrampilan yang selari dengan tuntutan era teknologi maklumat. Seseorang pemimpin perlu ada kebolehan melaksanakan perubahan yang ketara ke arah literasi teknologi, berdaya fikir, berdaya saing dan mampu bersaing dalam persekitaran kerja yang bercorak global serta bijak menggunakan peralatan-peralatan era teknologi maklumat. Oleh itu, program nadwah kepimpinan ini boleh diibaratkan sebagai tapak semaian untuk melahirkan barisan kepimpinan yang berkarisma serta berketrampilan tinggi.

 

Kita tidak mahu generasi hari ini cemerlang dalam bidang akademik semata-mata dan pada masa yang sama emosi mereka lemah dan mudah terpengaruh dengan anasir negatif yang sering dikaitkan dengan gejala sosial dan salah faham dengan tuntutan agama serta fahaman fanatik. Kita hendaklah menerapkan kepada mereka tentang keutuhan budaya dan moral yang tinggi supaya mereka dapat menjadi insan kamil (sempurna) yang mengamalkan hidup berkualiti.

 

Apabila kita diberi kepercayaan untuk menerajui kepimpinan masa depan, maka sewajarnya kita merealisasikan impian itu  agar mejadi satu kenyataan.  Pembangunan negara dan masyarakat itu perlu menjurus ke arah mencapai Wawasan 2020 dengan berteraskan pembangunan modal insan.  Modal insan perlu dibangunkan secukupnya kerana ia menjadi instrumen utama dalam pembangunan dan kemajuan negara.

 

Apabila kita memimpin manusia, sebenarnya kita menggalas tanggungjawab yang amat besar. Kita perlu menunaikan amanah kerana dalam Islam setiap diri kita adalah pemimpin. Dengan itu, kehidupan kita di dunia ini biarlah disulami dengan jasa bakti kepada orang lain supaya kehidupan kita sentiasa diberkati dan diredhai Allah S.W.T.  Seperti kata pepatah Melayu “Hidup pokok biar berbuah, hidup manusia biar berjasa”.

 

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Nadwah Kepimpinan Islam Peringkat Kebangsaan kali ke-5 Tahun 1428 H/2007M.

 

Sekian, wabillahittaufiq walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.